Pelancaran Serentak: Jersi Terbaru Karyawan FC, Azmi Saat Pertaruh Single Terbaru ‘Majnun’

oleh: zizi hashim 

Beberapa agenda yang telah direncanakan berjalan serentak pada petang 11 Ogos 2024 yang lalu, bertempat di hadapan pawagam ikonik Coliseum bersempena dengan program Santai Seni@TAR. Majlis dimulakan terlebih dahulu dengan pelancaran single terbaru ‘Majnun” yang merupakan projek solo dari Azmi Saat, sang vokalis Caliph Buskers. Setelah hampir 2 tahun tidak tampil dengan sebarang karya, kini Azmi Saat membuat comeback dengan penuh tanda-tanya, siapakah ‘Majnun’ yang dimaksudkan itu?

“Saya cuba sebaiknya untuk menyatu dengan perasaan dan emosi dalam penyampaian sebuah penceritaan disebalik lagu ‘Majnun’ ini.” Azmi Saat memulakan bicara. Tampil ceria dan penuh teruja untuk berkongsi cerita di sebalik single terbarunya itu, Azmi menambah, “Lagu ini adalah cerminan dari pengalaman peribadi saya sendiri. Ketika saya berhadapan dengan perasaan mendalam yang kompleks, saya luahkan pada setiap bait dan nota ritma demi memberi rasa yang dapat dijiwai bersama pendengar.” 

Karya terbaru diberi judul ‘Majnun’ ini menceritakan tentang pahit yang harus ditelan oleh Majnun, hati yang mencintai namun terhalang dari memiliki, maka hanya bayangan yang dibuai mimpi dan terpaksa akur pada hakikat cinta tidak semestinya memiliki. Meski perit, itulah keindahan cinta sejati yang tersemat mati dalam hati, selamanya. Sedemikian mendalam penjiwaan yang dikiaskan, Azmi Saat berkata “Lagu ini bukanlah sekadar tentang cinta, tetapi lebih kepada bagaimana kita menghadapi perasaan yang tidak terungkap dan terucap.”

‘Majnun’ memiliki aura tersendiri dimana dipercayai hanya Azmi Saat sahaja yang dapat mengekpresikan penghayatan dengan sangat baik berdasarkan kredibiliti yang telah menjadi ‘nilai tambah’ pada portfolio perjalanan karier Azmi Saat secara solo. Single ‘Majnun’ telah dilancarkan sejak 19 Julai lagi dan sudah boleh mulai ditonton secara eksklusif di saluran YouTube MAPMUSIC, dalam masa yang sama boleh dimainkan dan didengari melalui aplikasi penstriman online Spotify, iTunes, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer, TikTok dan YouTube Music.

Usai pelancaran single, majlis dilanjutkan dengan pelancaran Pasukan dan Jersi Rasmi Karyawan Football Club yang mendapat tajaan dari Panca Abadi Automobil Sdn Bhd dan sokongan dari jenama selipar premium ANH. Majlis turut diserikan dengan kehadiran ikon lagenda bolasepak negara iaitu Dato’ Dollah Salleh, Dato’ Subadron Aziz dan Faiz Subri ‘PUSKAS’ sebagai penasihat pasukan pada majlis pelancaran petang itu. Kehadiran 3 figura terkenal ini sedikit sebanyak mencuri perhatian semua.

Difahamkan terdahulu Karyawan sememangnya mempunyai Biro Sukan yang agak aktif terutama pasukan Bolasepak dan Bowling. Pernah menerima pelbagai pelawaan bagi perlawanan persahabatan dari Semenanjung hingga ke Sabah Sarawak, sayangnya ia terhenti agak lama disebabkan pelbagai faktor lebih-lebih lagi apabila pandemik melanda beberapa tahun yang lalu.

Saranan dari Hairee Kool untuk mengaktifkan kembali pasukan Bolasepak dengan mengemukakan barisan pemain hebat yang terdiri dari para selebriti disambut baik oleh Karyawan. Apatah lagi kesudian 3 ikon bolasepak negara untuk turut serta membuat penampilan istimewa pada mana-mana siri perlawanan yang bersesuaian dilihat sebagai kombinasi gah dan hebat bagi pasukan Karyawan FC. 

“Ini adalah ruang kami dan rakan-rakan artis untuk merapatkan lagi ukhwah sesama kami disamping kekal aktif dan sihat. Ianya adalah aktiviti yang amat kami gemari dari zaman remaja dan pastinya acara sebegini juga memberi peluang buat para peminat bertemu kami di padang bola. Mahu tengok Johan Raja Lawak, Anye Yassin dan rakan-rakan artis yang lain ‘buat lawak’ gelecek bolak, silalah jemput Karyawan Football Club ya.” ujar Hairee Kool selaku Kapten dan Koordinator Pasukan “Kami mahu terus berseni dengan tubuh badan yang sihat.” tambah Dato’ Freddie Fernandez pada petang itu penuh bersemangat mengakhiri perbualan. Barisan pemain Karyawan FC yang lain antaranya terdiri dari Lan Zailan, Meerqeen, Riot Kool, Aidil Aziz, Shah Slam, Hasnol, Osama Yamani, Tony Tuah, Johan Raja Lawak, Riyad dan ramai lagi.

Untuk sebarang jemputan perlawanan persahabatan dengan pasukan Karyawan FC, boleh menghubungi terus kepada Koordinator pasukan di talian 011-64595069 (Hairee Kool) atau 012-2071400 (Dato’ Freddie Fernandez). Ada yuran tertentu yang dikenakan bagi bayaran token kepada pemain selebriti ini dan beberapa peratus akan dimasukkan ke dalam Tabung Kebajikan Karyawan bagi membantu artis yang uzur dan menghadapi kesulitan. 

Majlis Pelancaran pada petang itu turut disajikan dengan persembahan istimewa Ahmad Ebadey yang mendapat jolokan ‘Michael Jackson Malaysia’ dengan 4 buah lagu iaitu “Billie Jeans”, “Beat It”, “Singkong Dan Keju” dan “Smooth Criminal”. Cukup menghiburkan dengan stail tersendiri yang meniruvasi gaya Michael Jackson, Ebadey dilihat sebagai bintang jalanan yang berpotensi besar untuk pegi lebih jauh lagi.