oleh: zizi hashim
"Dengan jualan tiket melebihi 4,000 unit setakat ini, ianya sangat membangkit rasa teruja yang begitu ketara dan semakin meluas di sekitar festival 'One Love Music 2024' ini." tutur Muhammad Zul Aqil atau lebih mesra dengan panggilan John selaku Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tuff KL ketika ditemui di sidang media pengumuman barisan artis dan butiran acara pada 6 November 2024 bertempat di Cornerstone IPC, Jalan Ampang baru-baru ini. "Selaras dengan misi Tuff KL untuk menyatu-padukan orang ramai melalui bumbung muzik dan komuniti, boleh saya katakan di sini bahawa One Love Music 2024 merupakan cerminan kuat visi tersebut." tambahnya lagi penuh bersemangat.
Memberi gambaran sekilas tentang festival muzik terbesar yang akan berlangsung pada 21 Disember 2024, pihak penganjur Tuff KL memilih Dewan A, MAEPS Serdang sebagai lokasi yang dirasakan strategik buat festival ini. Bakal mencipta sejarah tersendiri dengan menampilkan persembahan daripada 12 artis ikonik yang menghimpun artis-artis popular dari Malaysia-Indonesia selama 12 jam tanpa henti. Nama-nama besar seperti Kugiran Masdo, Bunkface, Hujan, Insomniacks, Drama Band, 53 Universe (satu-satunya wakil genre Hip Hop) dan pencetus irama Ska di Malaysia, Gerhana Ska Cinta sebagai duta muzik dari Malaysia manakala barisan figura wanita papan atas dari Indonesia terdiri dari Feby Putri, Nadin Amzah, Nabila Taqiyyah dan Salma Salsabil sebagai pelengkap seri diterbangkan khas jauh dari Indonesia.
Menurut Muhammad Zul Aqil lagi, "One Love Music 2024 bukan hanya sekadar sebuah konsert, bahkan ia mengambil pendekatan gerakan kuasa muzik yang bertujuan untuk menghubungkan dan memanfaatkan setiap individu daripada pelbagai latarbelakang muzik. Pada ketika hubungan sosial di era masakini adakalanya dilihat terlalu rapuh, di sinilah letaknya peranan atau fungsi utama festival One Love Music ini dalam memberi peringatan tentang kebersamaan komuniti dan sekaligus kegembiraan perpaduan yang mampu dibawa oleh pengaruh muzik secara langsung. Sejak awal kami bermula pada tahun 2021, kami bertransformasi daripada menjual merchandise pertama kepada penganjuran acara yang bukan sahaja menghibur namun pada masa yang sama turut memberi impak positif."
Turut ditemui pada petang itu ialah Hassan Choudhury selaku penaja utama dan Ketua Pegawai Eksekutif MOVETIX dari AirAsia MOVE, tidak mahu ketinggalan turut berkongsi kegembiraan berhubung kolaborasi bersama Tuff KL untuk festival One Love Music 2024 ini. "Acara seperti One Love Music Festival pasti akan menyatukan peminat dan artis, terutamanya dengan barisan talenta tanahair dan antarabangsa yang luarbiasa. Sebagai sebahagian daripada platform ejen pelancongan dalam talian (OTA), harapan kami adalah untuk mempermudahkan pencinta muzik dan peminat artis hebat ini menikmati pengalaman perjalanan yang lancar kerana mereka dapat menempah tiket acara, penerbangan, hotel, perjalanan mereka ke tempat itu dan banyak lagi dengan nilai terbaik melalui aplikasi AirAsia MOVE. Tidak sabar rasanya untuk bekerjasama dengan Tuff KL bagi mewujudkan pengalaman tak terlupakan bagi semua orang."
Terdapat pelbagai pilihan struktur kategori tiket ditawarkan, termasuk Early Bird (Berdiri) pada harga RM55, General Admission RM150, Rockzone pada RM169, dan pakej Meet & Greet eksklusif pada harga RM450 (terhad kepada 50 peminat sahaja). Tiket dibuka untuk jualan diwww.ticketmelon.com/olmfest. Dimaklumkan kemaskini terbaru setakat ini, tiket kategori Meet & Greet dan Early Bird telah laris terjual manakala kategori Rockzone hanya tinggal 40% sahaja dan kategori General Admission pulak tinggal 60% sahaja lagi. Jangan terlepas dan ketinggalan untuk mencipta pengalaman festival yang tiada tandingannya dalam meraikan kuasa muzik untuk menyatukan masyarakat dari segenap lapisan bersama Tuff KL dan rakan strategik Dzili Empire dan lain-lain pada 21 Disember 2024 nanti.