oleh: zizi hashim
Bakal berlangsung sebuah 'Festival Seni Insan Istimewa' pada tanggal 30 November dan 1 Disember 2024 dengan memilih lokasi Panggung Bandaraya Kuala Lumpur, Dataran Merdeka, dari jam 10 pagi hingga 8 malam. Susulan dari kejayaan edisi pertama pada Oktober 2022, festival yang kini dikenali sebagai “OKU FEST 2.0” kembali dengan pelbagai pengisian baharu dan menarik untuk meraikan bakat serta keunikan komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU). Dengan tema "My Ability is Stronger Than My Disability", festival ini bertujuan membuktikan bahawa kekurangan bukanlah penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan luar biasa yang perlu diterokai dan diraikan, disamping mengubah persepsi tentang kekurangan menjadi kekuatan tersendiri.
Majlis perasmian akan disempurnakan kelak oleh YB Senator Tuan Isaiah D. Jacob, Ahli Dewan Negara yang mewakili komuniti OKU. 'OKU Fest 2.0' ini dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), serta rakan strategik seperti Malaysian Association for the Blind (MAB), Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), dan Dyslexia Genius. Turut terlibat didalam acara ini ialah golongan selebriti seperti Radhi Kahlid, Rozita Rohaizad, Mel Wings dan ramai lagi.
"Golongan OKU bukanlah golongan yang mengharapkan simpati atau golongan minta sedekah. Mulai tahun 2025, golongan OKU akan memberi balik kepada negara melalui sumbangan dari segi kesenian, terhadap ekonomi negara. Ini adalah perlu." tutur YB Senator Tuan Isaiah bersungguh-sungguh ketika ditemui pada petang sidang media yang berlangsung pada 27 November bertempat di Dewan Ismail Md Salleh, Kompleks MAB baru-baru ini. "Semoga melalui program festival OKU Fest 2.0 akan ada satu sinar harapan baru buat komuniti insan istimewa mulai 2025 nanti."
Sepanjang 2 hari festival berlangsung, pelbagai aktiviti telah dirancang untuk memenuhi minat serta meraikan bakat golongan istimewa.
Antaranya:
• Pertandingan Akhir Bakat Seni Suara SBM
• Pertandingan Canting Batik khas untuk kanak-kanak autisme dengan hadiah wang tunai
• Persembahan OKU Jam menampilkan bakat luar biasa seperti Rizwan dan Lan Taroo, persembahan istimewa oleh Amal AF/Ex-OAG dan kumpulan muzik ska, Reloveution
Selain itu, satu sesi forum bertajuk “Autism Adalah Superpower!” turut diadakan, menampilkan YB Altimet, ADUN Lembah Jaya yang juga seorang individu dyslexia, sebagai salah seorang panelis. Pada hari ke-2, acara kemuncak termasuk OKU Fest Idol dan Bengkel KL Street Artist, iaitu program khas pengambilan permit seniman jalanan yang memberi peluang eksklusif kepada warga OKU.
Pameran dan jualan seni turut menjadi daya tarikan festival ini, meliputi seni muzik, seni kraf, seni catan, dan pelbagai bidang lain, yang menampilkan bakat komuniti OKU termasuk mereka dengan kelainan upaya penglihatan, pendengaran, pertuturan, anggota badan, dan autisme. Program ini diadakan secara percuma dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Orang ramai digalakkan hadir untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan istimewa kita dan menyaksikan sendiri kekuatan serta keindahan seni yang dipersembahkan.
OKU FEST 2.0 diadakan secara percuma dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Orang ramai digalakkan hadir untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan istimewa kita dan menyaksikan sendiri kekuatan serta keindahan seni yang dipersembahkan. Bagi individu OKU yang berminat menyertai program ini, sila hubungi urusetia di 014-7176276 (Amad) untuk maklumat lanjut.
Marilah bersama-sama meraikan bakat dan keunikan komuniti istimewa ini. “OKU FEST 2.0” adalah bukti nyata bahawa kekurangan bukanlah halangan, tetapi pemangkin kepada kejayaan! Jumpa anda di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur pada 30 November dan 1 Disember 2024, jangan ketinggalan!