Nebiras Terbit Semula 'As The Sky Turns Black' Dalam Format Digipak CD Selepas 31 Tahun

oleh: zizi hashim

Cukup dikenali sebagai salah satu di antara pioneer muzik metal bawah tanah di Malaysia, Nebiras kembali selepas 'vakum' selama lebih 31 tahun untuk menghidupkan zaman kegemilangan mereka dengan penerbitan semula album 'As The Sky Turns Black' (ATSTB) dalam format digipak CD atas desakan permintaan para peminat setia mereka. Tertubuhnya band berasal dari Taman Medan Petaling Jaya ini seawal tahun 1988 dengan nama asal Necrofist. Dengan masih mengekalkan elemen klasik album yang diterbitkan oleh Dark Journey Records pada tahun 1993 dalam bentuk kaset dengan sentuhan rekabentuk baharu dan penambahbaikan kualiti audio untuk lebih mesra telinga bagi generasi baru dan yang terdahulu.

"Ramai yang minta suruh print CD disebabkan kaset dalam simpanan mereka sudah rosak dan ada juga yang tak sempat beli masa tu. Kalau ada jual pun, saya dapat tahu ianya dijual dengan harga mahal hingga mencecah harga rm150 sekeping pun ada." tutur Nocturno Belial selaku vokalis Nebiras ketika ditemui pada sidang media majlis pelancaran re-issue mini album tersebut pada 27 Oktober 2024 baru-baru ini bertempat di kompleks membeli-belah Campbell. "Disebabkan banyak permintaan, kita pun setuju untuk release dalam bentuk CD, upgrade sound dia dan tentunya kualiti lebih bagus dari yang sebelum ini." 

Menurutnya lagi, pembaharuan ini termasuklah sentuhan visual segar karya Zul Apache yang dipilih untuk menggantikan rekabentuk asal oleh Shah Jehan, vokalis Rator sementara proses pemindahan dari format analog ke digital telah dilakukan di Oslo, Norway oleh Oystein Moe. Proses mastering pula dikendalikan oleh AP Filthgrindz dari Filthgrindzworks bagi memastikan album ini menghasilkan kualiti audio terbaik. Muzik Thrash/Death Metal bawaan Nebiras banyak terinspirasi dari band-band seperti Sacrifice, Kreator, Sarcofago dan Sodom pada awalnya, telah mengalami perubahan genre kepada pengaruh Black Metal dari band-band seperti Dark Throne dan Mayhem. Ini sekaligus mengangkat nama Nebiras sebagai band peneraju muzik Black Metal tempatan.

"Transformasi dari nama Necrofist kepada Nebiras turut menandakan perubahan genre yang lebih berat dan penuh energi. Pertukaran nama ini selari dengan minat kami yang semakin mendalam dalam muzik Black Metal.” jelas Nocturno. Album 'As The Sky Turns Black' membawa kenangan kepada 5 anggota asal Nebiras iaitu Nocturno Belial (vokal), Y. Occultus (gitar), Omen de Nefarious (bass), Agathos Daemon (gitar) dan Mutilated (dram) yang mula merakamkan album ini pada tahun 1992 di Studio BT Production, Subang Jaya. Album ATSTB mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sehingga 500 unit laris terjual pada ketika itu, justeru membawa kepada penerbitan semula dalam bentuk CD seiring dengan perubahan zaman dan teknologi.

Mini album yang memuatkan 5 buah lagu iaitu "In the Name of Horned Divine", "Dawn of the Black Mass", "Retribution by the Ancient Entity", "The Holocaust of Apocalypse" dan "Outro" memperdengarkan pengaruh kental muzikaliti Black Mental ala Beherit, Varathron, Mayhem dan Dark Throne, terus menjadi kegilaan dan meraih semakin ramai peminat. Nebiras sebenarnya tidak pernah hilang dan masih aktif sehingga kini meski ahli line-up mereka sering silih bertukar ganti. Kesemua line-up Nebiras masih ada lagi kecuali pengasas dan gitaris asal kumpulan ini iaitu Y. Occultus yang telah pun meninggal dunia pada tahun 1994 pada usia awal 20-an akibat kemalangan jalanraya.

Inisiatif yang dilakukan oleh label MoonDusk Production bagi menerbitkan semula album mini klasik Nebiras dalam format digipak ini diharap mampu memenuhi permintaan para peminat mereka yang tidak sempat memilikinya suatu ketika dahulu. Album ini dijual dengan harga RM35 seunit beserta sekeping poster percuma dan ia juga dicetak dalam kuantiti yang sangat terhad. “As The Sky Turns Black” versi digipak ini dibawakan khas oleh MoonDusk Production telah pun berada di pasaran mulai 27 Oktober 2024. Dapatkannya segera di kedai-kedai muzik berhampiran ataupun melalui wakil-wakil distro yang anda percayai. Apakah Nebiras akan membuat comeback atau cukup sekadar 1 mini album ini? Sama-sama kita tunggu kejutan dari mereka...

foto kredit: Pa Pa Din