Naratif Emosi Muzikal Chlypdy Melalui Single 'Kelabu 2024'

oleh: zizi hashim

Tampil berani mengeksplorasi emosi dalam bayangan kelabu kehidupan, Chlypdy (Cilipadi) mempertaruhkan "Kelabu" sebagai single terbaru yang mengusung naratif mendalam tentang penderitaan hidup, ketekunan serta harapan. Band indie rock kelahiran tahun 2019 itu mengambil masa 1 bulan untuk menghasilkan karya mendalam ciptaan Qalish Muqri yang dirakam, diadun dan menjalani proses mastering di studio Atas By Bijanfx. Menyerlahkan dedikasi Chlypdy dalam meneroka kelainan, melodi nan indah "Kelabu" kental dipengaruhi nuansa muzikal band-band seperti Pesawat, The Times, Oasis dan Grey SkyMorning.

Sarat membawa kisah tentang sokongan tanpa henti dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, "Kelabu" menggambarkan usaha untuk mengangkat seseorang daripada kejatuhan mereka yang paling gelap, menyampaikan mesej tentang kepedulian dan solidariti. Memetik sedikit senikata yang mengalunkan “Capai tanganku laju, Biarku warnai semua kelabu itu, Semampu aku”, lagu ini menjadi sebuah sinar harapan, memancarkan cahaya kepada mereka yang sedang bergelut dengan saat-saat kelabu dalam kehidupan.

"Usah gundah gulana, kuatkan hatimu sayang" pula ketara mendorong kata-kata pujukan dalam usaha memberi semangat dan perangsang untuk lari dari kesedihan dan bangkit menghadapi cabaran meski jatuh berulang kali. Kuat terinspirasi dari gabungan pengalaman sebenar yang dihadapi oleh Chlypdy sendiri, mereka melihat setiap insan yang sedang bergelut dengan masalah kehidupan mempunyai kekuatan yang mampu menyala semula dengan sokongan daripada orang-orang sekeliling. Pesan realistik yang cuba disampaikan membawa pengaruh positif bukan sahaja dari senikata malahan dari melodi yang menggetarkan jiwa.

Menurut Chlypdy, inspirasi untuk menulis "Kelabu" ini datang daripada pemerhatian mereka sendiri mengenai apa yang berlaku di sekeliling mereka, terutamanya selepas pandemik COVID-19. “Kami melihat segala kesusahan, kesedihan, kekecewaan dan kemurungan yang berlaku ketika COVID melanda. Pada waktu yang sama, kami melihat ramai juga manusia-manusia biasa yang turut menghadapi ujian yang sama tetapi masih sanggup menghulurkan tangan membantu kesusahan yang dihadapi insan lain.” Untuk makluman, Chlypdy merupakan sebuah band indie rock yang membawa vibes ‘cinta dan harmoni' (love & peace). "Kelabu" merupakan single kedua mereka selepas "Sampai Bila".

Dengan harapan untuk meraih tempat di hati para pendengar tempatan, Chlypdy meletakkan hasrat yang tinggi dalam keterbukaan minda untuk menerima kedalaman emosi yang terluah dari ciptaan "Kelabu" dengan senang hati. Turut mengakui cabaran terbesar adalah dalam memastikan mesej yang cuba disampaikan melalui senikata dapat dihargai oleh semua golongan pendengar yang gemarkan muzik bawaan mereka. Melihat single terbaru ini sebagai langkah permulaan untuk menghasilkan lebih banyak karya yang seumpamanya, Chlypdy mengkhayalkan perspektif cerita yang bukan sekadar menghiburkan tetapi juga meninggalkan impak ketabahan dan inspirasi bertahan hidup yang kental.

Diterbitkan oleh Putu Ceri dari Masdo, air tangan terbaru Chlypdy ini dilihat sebagai pembuka laluan yang lebih luas terhampar di hadapan mereka untuk terus menembusi industri muzik arus perdana. Berbekalkan visi untuk mencipta kepelbagaian irama yang menyentuh hati dan memberi inspirasi melalui muzik mereka, Chlypdy menganggap kemunculan single terbaru ini menjadi satu titik permulaan kepada peluang yang lebih besar. Jom nikmati dan hayati "Kelabu" bersama-sama menerusi muzik video ini.