Musisi Versatile Kekuatan Utama Sigma Replacement Band

oleh: zizi hashim
foto kredit: mms / malaysia music scene

“Kami semua boleh menyanyi, semua boleh mainkan beberapa instrument muzik. Masing-masing ada melantunkan vokal tersendiri untuk beberapa lagu dalam album SELEMBUT SUARA KIRANA ini. Sebab saya pentingkan versatiliti, kalau ada apa-apa hal seorang dari kami tak dapat hadir, seorang lagi boleh ganti.” tutur Amy Sigma membuka cerita pada petang Ahad 17 Disember ketika sidang media pelancaran album Sigma Replacement Band berlangsung di Kona Mokapot Coffee KL. “Sebab tu juga nama band kami letak Sigma ‘Replacement’ bermaksud semua line-up boleh cover setiap posisi, sekiranya perlu. Saya sendiri nyanyi 4 lagu dalam album ini.”

Versatiliti tentunya datang bersama kualiti, kerana mementingkan kualiti  dalam setiap ahli itulah maka pemilihan dibuat dengan teliti dan penuh hati-hati.  Menerajui sebuah band yang sarat visi dan misi ini, Amy akui mengambil masa yang agak lama untuk comeback dengan material yang diperam 25 tahun lamanya. “Walaupun kami hasilkan album dengan 11 buah lagu, namun kami pertaruhkan single “Selembut Suara Kirana” untuk lebih menonjol dari lagu-lagu lain dengan idea mengadaptasikan muzik melalui novel. Muzik video pun kami dah siap rekod juga.” ujar Amy yang lebih banyak bersuara berbanding yang lain. Kesemua ahli hadir pada petang itu memberi komitmen sepenuhnya buat Sigma Replacement band. Mereka terdiri daripada Jai (bass), Akim Analogi (dram), Pejal Seroja (gitar), Baihaqi (gitar utama) dan Amy Sigma (gitar kedua). 

Bekerjasama dengan penulis novel Nurin Natasya dan Rossa, maka terhasil lah pakej novel bersama CD dan T-shirt yang eksklusif. Turut bertindak sebagai emcee pada petang itu, Nurin Natasya yang baru berusia 20 tahun dilihat berpotensi untuk menggilap minat dan bakat penulisannya untuk pergi lebih jauh lagi dalam industri. Majis pelancaran petang itu dimulakan dengan bacaan doa oleh Baihaqi, introduksi pengenalan band sebelum rakan-rakan media memulakan sessi interaksi soal-jawab bersama band.

“Sebenarnya, ada cerita yang memberi inspirasi pada saya untuk hasilkan lagu “Selembut Suara Kirana” ini, cerita yang tersimpan lama dan rapi, akhirnya sekarang baru boleh direalisasikan. Saya duduk dengan penulis novel yang juga merupakan anak sulung saya, bercerita kepadanya, kemudian dia olah jadi cerita lengkap yang bersesuaian dengan memori zaman rock penuh nostalgia yang saya cuba wujudkan melalui lagu.” 

“Berinspirasi dari kisah cinta Dato’ Awie dengan seorang gadis bernama Mesayu Kirana suatu ketika dahulu, meski tidak menjadi realiti, ingin saya abadikan melalui lagu ini. Ketika baru mula bertapak dalam industri, mengejar ambisi dan populariti, terselit gossip percintaan ini. Dato’ Awie sendiri pun dah bahagia dengan kehidupan sendiri, namun pada saya biarlah nilai sentimental kisah cinta ini terpatri pada CD dan Novel kami ini.” dengan raut wajah penuh harapan, Amy Sigma membisik cerita. “Lebih eksklusif lagi inspirasi kenangan cinta ini bukan hanya bersemadi pada lirik tetapi juga pada manuskrip novel.” 

Petang itu, rakan media dihiburkan dengan showcase 2 lagu dari Sigma Replacement Band melalui lagu “Selembut Suara Kirana” vokal nyanyian Akim dan “Putar” pula dilantunkan oleh Pejal secara akustik. Baihaqi yang baru berusia 13 tahun, masih menuntut di Sekolah Seni Malaysia Johor, kelihatan begitu yakin mengalunkan melodi walaupun tampak malu-malu. Pada usia semuda itu, tentunya belum banyak pengalaman yang diraih, namun dengan pimpinan dari bapa kandungnya dan line-up yang lain, Baihaqi mempamerkan corak permainan gitar yang tak kurang hebatnya.

Mendapat pendidikan gitar dari pelbagai cikgu gitar, pernah juga belajar di Yamaha Music, kelebihan Baihaqi adalah dia berkebolehan membaca skor muzik dan tab gitar. Agak mencabar baginya yang masih bersekolah untuk membahagi masa dengan band dan pembelajaran, namun disebabkan posisi boleh berganti-ganti mengurangkan sedikit tekanan, prioriti tetap pada study dan edukasi. 

Antara lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam album ini adalah “Instrumental Beradu” yang menampilkan Nafie dari band Spider, “Bosan”, “Hasrat”, “Kehancuran”, “Persembahan Citraku”, “Haluan Keinsafan”, “Gegar”, “Putar”, “Bagai Malam” dan track bonus “Kasih Suci by Baihaqi”. Untuk makluman, Band Sigma Replacement ini terhasil dari pecahan beberapa buah band seperti Analogi, Seroja dan mempunyai waris line-up dari band SYJ atau Sofea. Kesemua 11 lagu ini telah mendapat kelulusan sepenuhnya untuk disiarkan di RTM baru-baru ini. 

“Saya adalah pelajar yang mengambil jurusan pemasaran sebenarnya, tetapi minat menulis mulai datang apabila diberi kepercayaan untuk menghasilkan novel ini.” ujar Nurin Natasya ketika diwawancara pada petang itu. “Idea asal novel ini oleh Rossa yang juga merupakan makcik saya, terhasil ketika saya masih kecil, saya yang sambung mengolah novel ini sehingga siap, tetapi saya tetap nak letak kredit nama makcik saya kerana dia yang memulakan.” 

Sambil senyum tersipu-sipu, Nurin berkata, “Lebih-lebih lagi bila hasil tulisan saya mendapat sokongan daripada YAB Datuk Wira Hajah Mas Ernieyati yang memuji usaha saya,  merasa bangga, terharu dan tumpang gembira dengan terbitan berkualiti Sigma Replacement. Sebagai anak jati Masjid Tanah Melaka, saya berharap hasil karya seni ini dapat diangkat ke peringkat lebih tinggi lagi.” begitu tersusun tuturkata Nurin Natasya.

“Novel ini ada 19 babak, 260 mukasurat semuanya, saya tulis dengan ayat-ayat santai supaya yang baca juga turut rasa santai. Sebab saya nak tarik generasi sekarang suka membaca semula. Tak boleh tulis berat-berat sangat.” sambil ketawa kecil Nurin menyambung, “Lirik-lirik lagu, gambar-gambar kenangan band, sedikit ilustrasi diselitkan di perantaraan bacaan bagi mewujudkan interaksi pembaca dengan lagu-lagu yang diputarkan. Promosi pun banyak buat secara indie di media sosial selama ini, dengan adanya sidang media hari ini, saya harap akan ada lebih banyak promosi lagi  buat kami.”

Muzik video lagu “Selembut Suara Kirana” yang dirakamkan baru-baru ini bakal berada di platform digital tidak lama lagi, rencananya pada 21 Disember nanti. Elemen muzik rock telah diolah untuk menyerlahkan dan melengkapkan jalan cerita pada sebuah adaptasi. Berteraskan genre Rock N Roll, kesemua 11 lagu dalam album ini dijangka bakal menghiburkan dan memberi impak rock yang berleluasa. Berikan apresiasi sewajarnya pada sentuhan hasil karya anak seni berpotensi besar yang julung kalinya diterbitkan dalam bentuk edisi seumpama ini. Melalui perspektif sendiri, jangan tunggu lama untuk mendapatkan novel dan CD ini segera agar anda ‘bisa membezakan antara seruling bayu dan selembut suara Kirana’. 

Langkah demi langkah meniti kepada pelancaran album ini, bukanlah angan-angan kosong. Amy Sigma ingin berkongsi rasa hati yang berpadu melalui nada indah dari komposisi lagu-lagu yang tercipta. “Saya nak kembalikan muzik rock pada zaman Exist dan Ekamatra.” Satu-satunya band yang berani mengeluarkan pakej 3 in 1 seperti ini, Amy menekankan bukan hanya memandang keuntungan, namun lebih kepada kepuasan berkarya. Harapan beliau untuk sama-sama mewarnai industri muzik rock kreatif wajar diberi sokongan positif dan inovatif. Meski selama ini menyepi dan baru kini merasakan sudah masa untuk menjelma. 25 tahun mengumpul pengalaman, menyimpan impian, semoga Sigma Replacement terus kekal bergemerlapan.

Luangkan masa bukan buang masa, pembelian secara langsung melalui Whats App Legasi Sigma di 018-2944186 atau mukabuku Sigma Replacement Band. Bagi menunjukkan solidariti mereka, setiap RM10 pada pembelian CD dan Novel ini akan disumbangkan pada tabung Palestin.