oleh: zizi hashim
Digarap oleh trio komposer muda iaitu Nuha Nik, Fahimi Rahmat dan Brendonse7an, 'Terpikat' sebuah karya yang menterjemahkan getar perasaan remaja melalui harmoni pop dan sentuhan elektronik, dendangan MissAlvy, suara sosok yang baru merekah dari industri hiburan tanahair. Perjalanan seorang Pempengaruh Media Sosial meredah dimensi muzik, tercermin dalam potret perasaan tersembunyi, kisah seorang yang terpesona namun terkurung dalam keraguan, sebuah naratif universal yang bergema di kalangan generasi muda. Rocketfuel Entertainment, dengan visi menempa bakat kreatif, melihat potensi MissAlvy bukan sekadar sebagai influencer atau pelakon, tetapi sebagai seniman multidimensi.
"Terpikat" adalah bukti transformasi artistik, di mana media sosial bukan lagi sekadar platform, melainkan jambatan menuju impian. “Umpama mimpi menjadi kenyataan, saya tidak menyangka akan menjadi penyanyi satu hari nanti!” luah MissAlvy yang melakonkan watak Siew May, salah satu watak utama dalam drama bersiri “Kelas Tahanan Cikgu Hiragi” terbitan Astro yang sedang meledak di serata Asia Tenggara. “Menjadi influencer yang dikenali ramai terjadi dengan tidak sengaja. Saya hanya berkongsi gambar-gambar dan video-video untuk tujuan ‘suka-suka’ sahaja. Tapi lama-kelamaan bilangan pengikut di akaun media sosial bertambah ramai dan dari situ peluang berlakon pun muncul.” jelas MissAlvy.
Ibarat bulan jatuh ke riba, pintu muzik terbuka luas untuk MissAlvy apabila Rocketfuel Entertainment melihat permata tersembunyi di sebalik bakat influencer muda yang menanti untuk diasah sebaiknya. "Muzik sudah mengalir dalam darah saya sejak kecil, meski saya bermula sebagai seorang pempengaruh dan pelakon." ujar MissAlvy melahirkan rasa bersyukur sambil menegaskan tekadnya menembus pasaran dunia hiburan melalui pentas nyanyian. Sher Leen Wee, Ketua Rocketfuel Entertainment, dengan visi positifnya yakin setiap bakat seni layak mengejar mimpi dan wajar diberikan platform yang sesuai untuk berkarya. “MissAlvy merupakan bintang baharu Rocketfuel yang kami sunting kerana bakat semulajadi yang dimilikinya. Suaranya berpotensi komersial." tegas Sher Leen, percaya bakat sebegini tidak boleh disia-siakan.
Melalui 'Terpikat', MissAlvy bukan sekadar melompat genre, tetapi mengukir jejak peribadi dalam industri muzik. Sebuah perjalanan yang membuktikan mimpi tidak mengenal sempadan. Lahir dari kisah peribadi, sebuah pengakuan cinta yang tersembunyi di mana tercetusnya idea penghasilan lagu ini, MissAlvy bertanya, “Pernah tak kita berdepan dengan momen menyukai seseorang secara diam-diam tetapi tidak tahu bagaimana hendak meluahkannya? Saya yakin ramai boleh relate dengan perasaan itu.” Mengajak pendengar meneroka perasaan tersembunyi yang universal melalui melodi ini, MissAlvy bukan sekadar memperkenalkan suara, tetapi membuka ruang untuk setiap jiwa yang pernah merindukan dalam diam.
"Terpikat" adalah potret perasaan seseorang yang timbul secara tiba-tiba, tentang rasa keterujaan dan tertarik kepada seseorang dari kejauhan, gembira hanya dengan melihat, namun terkurung dalam ketakutan untuk mengambil langkah seterusnya. MissAlvy mengemas kisah ini dalam balutan pop dan sentuhan EDM, menjadikan pengakuan cinta sebagai sebuah karya yang riang ceria dan playful. "Ini interpretasi perasaanku." ujarnya, menandakan lagu ini sebagai diari peribadi yang diubah menjadi melodi. Melalui kerjasama dengan tenaga kerja produksi, "Terpikat" muncul sebagai pengakuan cinta generasi digital - intim, spontan, dan menawan.
Hampir setahun lamanya MissAlvy mengasah 'Terpikat', sebuah perjalanan muzik yang bukan sekadar rakaman, tetapi pencarian identiti artistik. "Mencari material yang benar-benar menyentuh jiwa saya." ujarnya, menyerlahkan komitmen mendalam terhadap setiap not dan lirik. Walaupun baru bermula, semangat untuk meneroka genre dan selok-belok muzik tidak padam. Setiap rakaman adalah langkah pendewasaan, setiap idea kreatif dari pasukan produksi membentuk suara autentiknya. 'Terpikat' adalah janji MissAlvy kepada dirinya sendiri untuk sentiasa berkembang dan bereksplorasi.
“Semoga semua pendengar akan ‘terpikat’ dengan lagu ini, dan tersentuh dengan mesejnya. Saya juga berharap agar lagu ini dapat mendekatkan saya dengan peminat semua dan menjadi inspirasi buat semua yang mendengarnya." bisik MissAlvy penuh harapan. Lagu 'Terpikat' kini sudah boleh dimuat turun di iTunes dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman utama seperti KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. Manakala video muzik single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network.