Maliq & D’Essentials Hadir Dengan Konsert Tour Album ‘Can Machines Fall In Love?'

oleh: zizi hashim

Mempersembahkan sebuah lagi pengalaman muzik yang luar biasa, Kharisma Music yang sangat dikenali sebagai penganjur konsert terkemuka tanahair, membawa secara langsung band jazz dan soul terkenal di Indonesia MALIQ & D’Essentials. Konsert di beri gelar ‘CAN MACHINES FALL IN LOVE? ALBUM TOUR’ pada 29 Disember 2024 ini, bertempat di Megastar Arena, KL bermula jam 8 malam. “Kharisma Music telah terbang ke Jakarta bagi mendapatkan hak eksklusif untuk mengadakan konsert MALIQ & D’Essentials di Kuala Lumpur buat peminatnya di Malaysia,” kata En. Ahmad Jeffny, Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music.

Terbentuk pada 15 Mei 2002, MALIQ & D'Essentials untuk pertama kalinya mengadakan konsert pada skala besar di 2 buah negara iaitu Indonesia dan Malaysia, dalam rangkaian jelajah tour promosi album terbaru mereka bertajuk 'Can Machines Fall In Love?' (CMFIL ?) yang telah dilancarkan pada bulan Mei lalu. Ini merupakan album ke-9 band ini setelah 22 tahun berkecimpung di industri muzik. Dibarisi line up yang terdiri dari Angga Puradiredja, Indah Wisnuwardhana, Widi Puradiredja, Java, Lale dan Ilman Ibrahim, mereka bersemangat dan teruja menjayakan konsert di beberapa provinsi di Indonesia, dan kemudian yang terakhirnya di Malaysia.

“Ini adalah rangkaian jelajah tour pertama kami setelah lebih dari 20 tahun berkarya sejak ditubuhkan. Peminat di Malaysia dapat mengantisipasikan pertunjukan berdurasi lebih dari 2 jam yang menampilkan lebih dari 20 lagu secara keseluruhan, termasuk komposisi muzik istimewa, dan dilengkapi dengan kemasan audio-visual dan aturan tata cahaya yang menarik. Yang pasti konsepnya berbeza daripada apa yang pernah kami hadirkan sebelum ini.” ujar Widi selaku pemain dram MALIQ & D’Essentials. Widi bercerita lagi, "Apa saja lagu yang dimuatkan di album CMFIL? akan dinyanyikan saat konsert, begitu juga dengan menyelitkan lagu-lagu dari album sebelumnya. Hal ini dilakukan agar konsert berjalan lancar, kerana belum tentu semua penonton tahu dan hafal dengan lagu baru MALIQ & D'Essentials." Kata-katanya memberi logik.

Tidak hanya sekadar menyanyikan lagu-lagu viral seperti 'Kita Bikin Romantis', 'Aduh' atau 'Begini Begitu', bahkan konsert ini membuka peluang kepada MALIQ & D'Essentials berinteraksi secara langsung dengan para peminatnya untuk merayakan pencapaian mereka dalam berkarya selama dua dekad. Ahmad Jeffny berharap penonton yang hadir bakal terhibur dengan penampilan dari MALIQ & D'Essentials kerana penampilan mereka sangat dinantikan di Malaysia. “Semoga pembeli tiket dapat merasakan malam penuh romantis dengan alunan lagu mereka yang membuai perasaan serta mengembalikan nostalgia masa lalu." ujarnya berkobar-kobar.

Tiket-tiket ke konsert ‘CAN MACHINES FALL IN LOVE? ALBUM TOUR’ sudah pun mula dijual pada 3 September 2024 lalu di laman web www.ticket2u.com/maliq&d’essentials dan terbahagi dalam beberapa kategori: Begini [Standing] - RM288, Begitu [Standing] - RM188, Kita Bikin Romantis [Seated]    - RM338, Aduh [Seated]- RM258, Meet & Greet [Add-On]- RM298