Malam Laguan Puisi: Bunyian Irama dan Prosa, Apresiasi Karya Sasterawan Negara

oleh: zizi hashim

10 buah lagu puisi yang diangkat untuk dipersembahkan akan merangkumi karya-karya agung Sasterawan Negara, seperti Datuk Seri A. Samad Said, Dato’ Usman Awang, Datuk Dr. Zurinah Hassan, Dato' Baha Zain, Dato' Rahman Shaari dan Prof. Emeritus Muhamad Hj. Salleh. Setiap prosa kata akan menjadi jendela bunyi, membuka perspektif kepada keindahan bahasa dan seni yang mendalam. Tenggelam dalam alunan muzik, penonton akan dibawa merasai getaran jiwa, seolah-olah setiap nota adalah detak jantung puisi itu sendiri.

Acara ini bukan hanya untuk mereka yang mencintai puisi, tetapi juga untuk semua yang ingin merasai keajaiban gabungan silang budaya 2 dunia artistik ini. Satu inisiatif yang wajar diberi sokong hasil usaha oleh FB Media Ventures, di bawah naungan Arts For All Seasons (ArtsFAS) dan Yayasan Hasanah, dengan sokongan Kementerian Kewangan Malaysia. Sebuah usaha yang bertujuan untuk melestarikan dan mengangkat seni puisi dan muzik ke puncak yang lebih tinggi.

Panggung Eksperimen ASWARA bakal menjadi pentas bagi sebuah eksperimentasi seni yang bukan biasa biasa pada tanggal 8 Februari 2025. Akan bergema suara-suara puitis, di mana muzik dan puisi bersatu dalam harmoni indah di satu malam yang diberi nama 'Malam Laguan Puisi: Bunyian Irama Dan Prosa'. Di sini, puisi ditulis dengan tinta emosi akan dilagukan oleh artis-artis tersohor seperti Aqasha, Azizul Haqim, Ayu Damit, dan Leaism. Membawa penonton menyelami makna di sebalik setiap puisi sekaligus memberi nyala rasa di hati yang paling terdalam.

"Tak semua puisi boleh dilagukan, oleh sebab itu saya memilih puisi karya nama-nama besar Sasterawan Negara ini yang saya rasakan sesuai untuk komposisi muzik. Ada juga puisi karya lain yang sudah saya lagukan tetapi saya simpan dulu untuk projek mendatang." bicara dimulakan dengan introduksi dari Shamsul Cairel selaku Pengarah Projek dan Muzik dari FB Media Ventures dalam nada teruja untuk berkongsi cetusan ilham yang bakal direalisasikan pada 'Malam Laguan Puisi' nanti.  

"Dari 10 buah lagu, 3 daripadanya ialah lagu yang pernah dirakamkan sebelum ini iaitu "Jentayu" nyanyian duet oleh Datuk Nora Ariffin dan Dato' Sheila Majid adalah puisi dari Dato' Usman Awang, "Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang" nyanyian kumpulan Harmoni adalah puisi karya Datuk Dr. Zurinah Hassan dan "Tetamu Senja" nyanyian Kopratasa adalah puisi dari Datuk Seri A. Samad Said. Selebihnya 7 lagu lagi adalah komposisi terbaru yang akan diperdengarkan buat pertama kalinya pada 'Malam Laguan Puisi' itu nanti." ceritanya lagi penuh teruja.

"Konsep  persembahan ala Teaterikal, bermain dengan efek bunyi dan penceritaan LED, ada deklamasi yang dicantumkan dengan lagu, boleh dikatakan eksperimental juga. Julung kalinya juga pertemuan artis mainstream dan indie berkolaborasi, sebagaimana yang diketahui Azizul Haqim sangat dikenali dengan lagu-lagu Tradisional, Ayu Damit dan Aqasha sudah sinonim dengan nyanyian puisi manakala Leaism mewakili scene indie." tambah Shamsul Cairel sambil menggambarkan harapan melalui gabungan ini dapat membangkitkan minat dan penghargaan generasi muda terhadap seni puisi dan muzik.

Aqasha yang lebih dikenali sebagai pelakon berbanding penyanyi turut berkongsi cerita tentang penglibatannya dalam acara ini, "Saya sangat berbesar hati atas kesudian Abang Sham menjemput saya. Saya sudah pernah bekerjasama dengan beliau sebelum ini dan saya suka pada konsep yang cuba diketengahkan, apresiasi seni terhadap karya-karya agung ini. Saya percaya sebagai anak seni yang berkecimpung selama lebih 20 tahun, kita perlu mengenal mereka yang datang sebelum kita. Dari situ baru kita dapat mengetahui rentetan sejarah melalui seni di tanahair, dan pada saya apresiasi ini sangat perlu kerana jika tidak diberi perhatian, lama kelamaan mungkin generasi akan datang lupa tentang nilai artistik sedia ada."

Aqasha turut berpendapat dia harus memikul tanggungjawab ini supaya ianya dapat dilestarikan untuk generasi akan datang. Sambil mengekspresikan harapan agar projek sebegini akan sentiasa mendapat sambutan dan perhatian daripada masyarakat, Aqasha akui keberadaannya di ruang ini adalah atas dasar minat mendalam terhadap idola-idola yang dijadikan inspirasi. Contohnya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pernah berkata "Bahasa melambangkan Bangsa" membuatkan Aqasha amat tertarik dengan ideologi itu dan ianya menjadi pendorong untuk beliau terus melibatkan diri dalam industri seni.

Sebagai penggiat seni indie, Leaism melahirkan rasa teruja dapat turut serta kerana selama ini minatnya memang sudah cenderung ke arah ritma yang berkaitan dengan puisi dalam penulisan lagu. Dari situ Leaism mula belajar bermain gitar dan mencipta lagu-lagu sendiri. "Apabila dapat peluang sebegini dalam konsep puisi berskala besar, satu medium yang saya tak pernah terokai dengan bersungguh, kerana saya rasa ianya sangat delicate dari segi takut salah pegang, salah susun, saya dapat belajar di mana kita tak perlu takut untuk eksplorasi. Apatah lagi sekarang ini antara mainstream dan indie sudah ada garis blur yang dapat buka dan beri ruang untuk generasi baru meneroka keunikan puisi."

"Sebenarnya anak-anak muda kita lebih 'lapar'kan sesuatu karya yang datang dari akar umbi kita sendiri. Justeru ini adalah inisiatif yang saya sangat bangga untuk menjadi sebahagian darinya kerana saya menjadi salah seorang yang mempromosikan puisi dan 'beri makan' dari segi jiwa. Dari puisi itu sendiri banyak benda boleh dibuat. Saya memang ternanti-nanti projek yang lain dari yang lain, boleh expand apa yang saya ingin belajar kerana saya salah seorang dari yang 'lapar' itu. Ini adalah platform yang saya rasa menarik untuk diterokai." demikian menurut Leaism penuh antusias. 

Pada 'Malam Laguan Puisi' itu nanti, setiap seorang akan menyanyikan 2 lagu secara solo dan 1 lagu secara duet, berlangsung dalam durasi 1 jam 30 minit bermula dari jam 9 malam. Lagu-lagu ciptaan terbaru dihasilkan sepenuhnya oleh Shamsul Cairel kerana halatuju dipegang mutlak olehnya dalam memastikan ianya tidak menjadi caca marba. Tiada sebarang pertukaran langsung dibuat dari puisi asal kerana setiap sasterawan begitu sensitif sekiranya hasil karya mereka diubah dan demi menjaga keaslian maksud yang tersirat dan tersurat. Kesemua lagu sudah siap, hanya menunggu latihan untuk menyesuaikan vokal bersama susunan muzik. Ilham projek yang tercetus setahun lalu, bermula pada Oktober 2024 baru-baru ini untuk menyusun atur dan mempromosikan acara.

Jom sama-sama merayakan keindahan seni, di mana muzik dan puisi bergabung, mencipta satu malam yang penuh dengan apresiasi dan inspirasi. Saksikan, rasai, dan hayati keindahan yang terlahir dari deklamasi prosa kata-kata dan bunyian melodi. Informasi tentang harga tiket dan lain-lain akan menyusul tidak lama lagi.

Foto Kredit: Pa Pa Din