oleh: zizi hashim
Siri Jelajah konsert amal, Legends yang akan diadakan pada 1 November 2024 ini diteruskan pula ke Sabah demi misi dan usaha murni Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) membantu para artis dan ahlinya. Siri Jelajah anjuran Karyawan ini merupakan yang kedua selepas diadakan di ibukota pada bulan Jun lalu dan juga konsert pertama persatuan, di bawah pimpinan Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez sejak negara dilanda wabak COVID-19.
Dijadualkan berlangsung di Sabah International Convention Centre, Dato' Khadijah Ibrahim selaku Pengerusi Karyawan berkata seramai 11 pemuzik dan penyanyi akan menyertai persembahan di Kota Kinabalu nanti, termasuklah dirinya sendiri bergandingan bersama Dato' Ramli Sarip dan Dato' Jamal Abdillah, serta gitaris terkenal, Man Keedal. Konsert yang direncanakan berdurasi hampir 3 jam itu juga menampilkan penyanyi terkenal kelahiran Sabah, iaitu Jimmy Palikat, Ayu Damit, Azharina Azhar, Mad Sabah, Daniesh Suffian dan Hairee KOOL. "Bagi menambah kehangatan, turut diterbangkan ke Kota Kinabalu nanti ialah bintang yang makin menyerah iaitu Aina Abdul." ujarnya.
“Sepertimana konsert di Kuala Lumpur baru-baru ini, persembahan di Sabah nanti juga bertujuan yang sama iaitu bagi mengumpul dana untuk Tabung Kebajikan Karyawan dalam usaha membantu meringankan beban para penggiat seni yang memerlukan. Sejak 6 bulan yang lepas, Karyawan telah memberi bantuan kepada lebih 100 artis yang sakit atau kehilangan keupayaan untuk bekerja. Antaranya ialah Isma Aliff, Ross Ariffin, Rahim Maarof, Zaiton Sameon, Sofia Ibrahim, Zaleha Hamid, Fredo dan ramai lagi." sambungnya lagi yang turut memberi penghargaan kepada Hotel Seri Pacific untuk penajaan sidang media pada 26 September 2024 yang lalu.
Berbanding pada konsert terdahulu, selain Dato' Khadijah Ibrahim, turut disenaraikan adalah Dato' Ramli Sarip, Dato' Jamal Abdillah dan gitaris terkenal, Man Keedal. Melihat 4 legenda di satu pentas tentunya akan memberikan energi luar biasa pada majlis yang dijangka meraih kehadiran sehingga 2,500 orang. Sementara itu, adalah tidak lengkap malam itu nanti tanpa persembahan bakat-bakat besar kelahiran Sabah sendiri, antaranya Ayu Damit dan Azharina, selain kejutan manis daripada Aina Abdul. Ini merupakan antara usaha gigih Karyawan dalam mengenengahkan generasi pelapis agar industri seni tanahair terus bersemarak,
Menurut Dato' Khadijah lagi, "Usaha yang dilakukan Karyawan ini selaras dengan saranan Presidennya untuk memastikan bantuan berterusan dapat dilaksanakan, terutama bagi membantu penggiat seni yang uzur dan tiada upaya untuk meneruskan kelangsungan hidup. Kejayaan penganjuran malam Legends sebelum ini yang berhasil mengumpul dana lebih RM100,000 telah mendorong Karyawan untuk merancang bagi membawa majlis berkenaan ke Johor Bahru, nanti." jelasnya.
Matlamat utama acara ini adalah untuk mengumpul dana bagi membantu penggiat seni veteran yang berdepan kesulitan hidup, apatah lagi yang uzur dan hilang sumber pendapatan, dan memerlukan sokongan secara konsisten sebagaimana yang diumumkan Presiden Karyawan, Datuk Freddie. Karyawan mempunyai senarai panjang bagi penggiat seni yang memerlukan perhatian. Seramai 15 anak seni telah disenaraikan sebagai penerima bantuan menerusi majlis di Sabah nanti, namun Karyawan berharap akan lebih banyak dana dapat dikumpul dan lebih ramai dapat dibantu.
Justeru itu, Karyawan juga mengambil kesempatan untuk meraikan beberapa anak seni Sabah yang akan diundang sebagai tetamu pada malam berkenaan dalam usaha memperkukuhkan hubungan selain sebagai tanda kepedulian persatuan.
Pemilihan Kota Kinabalu sebagai lokasi ke-2 siri Jelajah Malam Legends ini, antara lain untuk menyokong kegiatan pelancongan di Sabah, selain memenuh permintaan peminat, termasuk dari Brunei. “Penampilan penyanyi dan pemuzik legenda pada malam eksklusif seperti ini tentunya dapat memanfaatkan peminat, termasuk daripada Brunei dan Sarawak, malah ada juga pertanyaan diterima daripada peminat di Singapura. Sambil berhibur dan beramal, malam Legends ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada acara untuk menarik kehadiran pelancong ke Sabah, sekali gus menyokong industri dan ekonomi negeri.” tambahnya dengan senyuman.
Karyawan mengalu-alukan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sebagai Tetamu Kehormat; dif-dif kehormat yang lain seperti Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, serta Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Haji Sabin Samitah.
Jualan meja, 10 orang semeja, telah mula dibuka pada harga RM3,000, RM5,000, RM10,000, RM20,000 dan RM50,000. Bagi penajaan meja VIP RM100,000, penawaran merangkumi manfaat sebagai rakan penaja sepanjang promosi membabitkan penganjuran majlis. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Freddie di 012-2071400, atau Azman di 016-2338888/ 016- 2302621.