Mahardika: Konsert Julung Kali di Pulau Pinang Pada Malam Hari Merdeka

oleh: zizi hashim 

Konsert Mahardika gelar diberi, tanggal 30 Ogos tak lama lagi, memilih Spice Arena Penang sebagai lokasi, cepat-cepat lock date dan set reminder dalam diari, sebab dengan Spider, Masdo dan Ella kita ada temujanji. Dijangka 3 jam akan berdurasi, puluhan lagu-lagu hits bakal tersaji, maka jangan tergigit jari dan rugi sendiri, sebab tak mungkin akan berulang kembali. Ini adalah konsert di Pulau Pinang yang julung kali sebagai sambutan Ambang Merdeka yang mensasarkan kehadiran lebih 10,000 membanjiri arena. Sebuah produksi dari The Dons Group, manakala pengurusan tiket melalui www.ticket2u.com boleh mulai dibeli, sudah terjual 50% kalau tak silap ada tinggal sikit lagi.

Spice Arena Penang dengan kapasiti 12,000 orang dijangka bakal menghimpun para peminat setia Spider, Masdo dan Ella dari seluruh pelusuk untuk sama-sama menikmati satu keajaiban muzikal gabungan yang bakal bikin sensasi ini. Konsert berskala besar ini pastinya menjadi saksi tercipta sejarah dalam industri seni kerana kombinasi muzikal Spider, Masdo dan Ella adalah buat pertama kali. Masing-masing mempunyai kriteria dan aura tarikan dari pelbagai aspek yang akan disusun bagi persembahan mereka nanti. Pertaruhan gaya pementasan ‘trademark’ yang dikuasai trio ini akan disulami dengan susunan gabungan audio visual secara muzikal. 

Eskspetasi berkumandangnya lagu-lagu hits yang menjadi ‘all-time favorite’ adalah sesuatu yang pasti. Jangkakan kuasa energi dan stamina luarbiasa pada malam hari merdeka yang digabungkan menjadi akronim ‘Mahardika’. Lebih menarik lagi apabila setelah 3 dekad, kali ini baru Spider nak buat konsert di Pulau Pinang. Mempunyai fanbase yang sangat kuat berdasarkan kejayaan konsert mereka baru-baru ini berpadu pula dengan kugiran dambaan generasi masakini iaitu Masdo, diperkukuhkan lagi dengan kemunculan istimewa Ratu Rock Negara, Ella pastinya konsert ini bakal menggegarkan malam merdeka 30 Ogos 2024 nanti.

Begitu yakin setiap band memiliki kekuatan masing-masing, Syed Mohamad atau mesra dengan panggilan Don dari The Dons Group selaku penganjur konsert memberitahu, “Selalunya konsert percuma di ambang merdeka lebih banyak tertumpu di Kuala Lumpur. Sana sini sekitar KL akan kita dengar konsert itu dan ini tapi lain halnya pula di Pulau Pinang. Kalau ada sambutan pun selalunya di Padang Kota, itu pun yang biasa-biasa saja. Ini lah yang cuba kami bawakan dengan konsert yang dijangka gilang-gemilang bukan sahaja menarik perhatian warga Pulau Pinang sahaja malahan dari Singapura juga ada turut membeli tiket, dari KL dan lain-lain lagi.” 

Merahsiakan elemen surprise yang bakal dibuat dan telah direncanakan, Don menyifatkan Spider, Ella dan Masdo sebagai satu pilihan yang sangat tepat berdasarkan kredibiliti dan perjuangan mereka dalam era serta fasa muzikal masing-masing. “Kita nak ajak peminat dalam pelbagai usia hadir ke Mahardika dan lihat sendiri betapa hebatnya pemuzik tempatan kita.” ujar Don lagi sambil menjelaskan pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi bertujuan untuk memanfaatkan tanah kelahirannya dalam usaha menarik lebih ramai pelancong datang bercuti ke negeri itu.

Tam Spider pula melihat lamaran untuk bergabung ini sememangnya satu kelainan yang tidak diduga dan sukar dilepaskan, sementelah lagi dapat mengumpul peminat dua generasi. Tam dan Spider menaruh harapan tinggi bagi kejayaan konsert Mahardika ini. Masdo pula meluahkan rasa terharu dapat bergabung dengan Spider yang dianggap lagenda vintage dan mahu belajar lebih banyak dari band itu yang telah bertahan lama dalam persada seni negara. 

Nilai sentimental dari segi garapan, susunan dan sentuhan penceritaan melalui elemen visual dan muzikal akan digabungkan bagi menghasilkan sesuatu yang fenomena, adalah kekuatan utama yang bakal menarik sebahagian besar peminat untuk membeli tiket, selain dari pemilihan lagu yang bertepatan untuk melahirkan sebuah konsert yang bukan sahaja bakal mencipta nostalgia tetapi juga trending dan malar segar dengan memori dan kenangan buat peminat mereka nanti.

Mahardika bukan Janji Manis Masdo, jom hadir ramai-ramai meLayar Impian bersama Ella. Itu baru Ngam Ho kata Spider! Jangan tunggu lagi, layari www.ticket2u.com sekarang. Tiket bermula dengan harga RM98 (Standing), RM118 (Silver Zone), RM128 (Rock Zone), RM148 (Platinum), RM198 (Gold), RM350 (VIP).