Ledakan Konsert GENKRU 3 Mei 2025: Kembalinya Trio Gergasi

oleh: zizi hashim

"Bukan mudah untuk memujuk dan meminang KRU, saya mengambil masa 2 tahun lebih, masih ada bukti chat di aplikasi Whats App. Sejak 1 November 2022 lagi saya sudah cuba untuk berbincang." tutur Iman Tang dari Icon Entertainment membuka bicara pada petang sidang media pengumuman konsert GENKRU pada 16 Disember 2024 bertempat di Dadi Cinema. "Namun ketika itu Dato' Yusry menolak dengan alasan KRU sudah bersara. Ada sedikit kecewa tapi saya tidak putus asa. Saya percaya niat saya pasti akan dapat terlaksana. Alhamdulillah selepas 2 tahun, akhirnya saya terima berita baik." sambungnya lagi dengan senyuman lebar.

Perbincangan antara KRU dan Icon telah bermula sejak Ogos 2024 lagi, menurut Dato' Norman. "Sekitar bulan Mei sudah ada bayang-bayang untuk kami kembali. Dengan perancangan untuk buat album bersama Sony Music, kami mahu lancarkan album sama timing dengan konsert. Ada beberapa promoter sudah mulai datang approach. Apabila melihat dari segi kejayaan Icon menganjurkan beberapa konsert, begitu juga dengan passion Iman yang begitu antusias, dia tahu semua lagu KRU, dia ada 'jiwa' tentang KRU, bukan semata-mata seorang promoter biasa. Oleh sebab itu kami menerima lamaran Icon untuk konsert GENKRU ini." jelasnya lagi dalam nada teruja.

Laungan 'ke tepi... ke tepi... gergasi sudah kembali!' adalah sangat bertepatan untuk menggambarkan comeback yang tidak diduga ini. 3 beradik, masing-masing mempunyai personaliti tersendiri, Norman si abang sulung yang bertanggungjawab, Yusry yang pendiam dan nampak serius, Edry yang sentiasa ceria tetapi apabila bergabung bersama, ada satu kekuatan luarbiasa perlu diberi perhatian. Dengan segudang prestasi cemerlang, meraih pelbagai anugerah hasil kredibiliti mencetus revolusi dan menularkan virus muzik berirama Pop dan Hip Hop semenjak 1992, tetap relevan sehingga ke hari ini. Selama lebih 3 dekad, KRU adalah legenda sepanjang zaman.

"Kenapa GENKRU?" Dato' Norman menjelaskan "Kerana peminat kami terdiri dari pelbagai generasi, gen X, Y dan Z, baru-baru ini apabila kami release lagu 'Voodoo', peminat bercambah ke gen Alpha, justeru kami ingin gabungkan kesemua gen ini sebagai GENKRU. Sebuah konsert istimewa buat kesemua peminat di bawah satu payung 'GENKRU' tidak kira yang muda atau lebih berusia, tiada rasa segan untuk turun padang menyaksikan konsert GENKRU ini. Kalau boleh kami inginkan kehadiran gen X dan Y yang membesar dengan muzik kami dapat merasakan semula era 90an, manakala yang tak sempat merasa era itu dapat mencarigali kemeriahan era 90an itu bersama kami. Itulah konsep yang ingin kami bawa ke konsert terbesar yang pernah kami pentaskan." 

Setelah hampir 6 tahun waktu membeku, kini muzik KRU kembali bernyawa dengan menyambut baik penganjuran konsert GENKRU selaras dengan kebangkitan mereka ke pentas hiburan nusantara selama 33 tahun berkecimpung dalam industri. Menghidupkan semula karya-karya klasik dalam album 'Kaset' yang membangkitkan kenangan mendalam buat KRU dan generasi yang membesar dengan iringan lagu-lagu magika mereka, KRU bersedia menggelar konsert mega selepas persembahan terakhir mereka di Istana Budaya melalui Konsert GenerasiKRU pada Mei 2018. 

"Setelah 6 tahun membisu tanpa konsert skala besar, kami merangkul cabaran Icon Entertainment untuk menggelar konsert GENKRU ini yang kami sifatkan sebagai sebuah pertemuan antara misi yang serasi, visi yang sepadu." tutur Edry dengan penuh makna. "Konsert ini akan menjadi kanvas kami melukis perjalanan, dari pelita generasi 90-an yang menyala membara hingga empayar muzik yang kini bercahaya megah."

“Adalah menjadi penghormatan buat Icon Entertainment mempersembahkan 'Konsert GENKRU' kerana kredibiliti, portfolio dan sejarah demi sejarah yang telah dicetak KRU sejak tahun 90-an sehingga membentuk gelombang muzik yang cukup berpengaruh kepada semua generasi sehingga kini. Tidak ada banyak janji yang ingin saya berikan kecuali anda akan rugi besar jika tidak menghadiri 'Konsert GENKRU' di Axiata Arena pada 3 Mei 2025 kerana ini merupakan penampilan sulung Norman, Yusry dan Edry selepas sudah sangat ranum dalam semua aspek industri hiburan selepas menebarkan virus ‘fanatik’ terhadap muzik tempatan yang punya kualiti hebat setaraf muzik dunia.” ujar Iman Tang selaku Pengasas Icon Entertainment.

Sebagai sentuhan nostalgia yang unik, peminat yang menghadiri 'Konsert GENKRU' digalakkan mematuhi kod pakaian bertemakan era 90-an untuk melambangkan kebersamaan dan satu hati sambil menghidupkan semula kenangan indah perjalanan zaman. Jom bersama sarungkan jenama Vision Street Wear, Billabong, Alien Workshop, No Fear, Converse, Airwalk dan banyak lagi (yang tahu je tahu), jenama yang pernah menjadi lambang gaya hidup generasi 90-an. Setiap pakaian akan menjadi tiket untuk kembali ke zaman kegemilangan muzik tempatan. Bawa kembali gaya ikonik era 90-an dan jadikan KONSERT GENKRU sebagai pentas paling autentik untuk menghidupkan semula kenangan.

Enggan berkongsi butiran lanjut mengenai konsep persembahan yang bakal dipamerkan nanti, trio gergasi ini berikrar akan menjadikan 'Konsert GENKRU' sebuah konsert epik di tahun 2025 buat seluruh peminat muzik tanahair. Lagu-lagu ikonik mereka seperti "Fanatik", "Mengerti", "Apa Saja", "Awas", "Ooh! La! La!", "Terhangat Di Pasaran" dan banyak lagi dalam senarai katalog muzik repertoir KRU bakal berkumandang. Ia bukan sekadar melodi, malah sudah layak menjadi soundtrack merentas generasi ke generasi. Dan kini, Icon Entertainment membawa mereka kembali menerusi konsert GENKRU yang epik!

Dan untuk menjadi salah seorang saksi mata, telinga serta jiwa dalam sejarah penganjuran konsert paling epik 2025, jangan terlepas membeli tiket-tiket mengikuti kategori harga yang ditetapkan.
Harga tiket bermula dari kategori OOH!LA!LA! (RM258), AWAS (RM358), MENGERTI (RM478), TERHANGAT DI PASARAN (RM508), APASAJA (RM548) dan FANATIK (RM588). 

Sebarang pembelian tiket, sila kunjungi laman www.ticket2u.com.my/KRU mulai 20 Disember 2024, 11 pagi.  ‘Awas’, jika anda ‘FANATIK’ KRU, jangan sampai terlepas KONSERT GENKRU di Axiata Arena pada 3 MEI 2025. Jika tidak, hidup anda akan terus berada ‘DI DALAM DILEMA’ kerana terlepas sejarah hiburan terhebat di Malaysia.