Ledakan Aura Ernie Zakri: Tiket Konsert 'Sold Out' Dalam Masa 7 Jam

oleh: zizi hashim

"Sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan apabila jualan tiket konsert solo saya yang pertama ini sold out dalam masa 7 jam sahaja. Tapi ini semua bukan disebabkan saya seorang, saya dibantu oleh semua orang di dalam karier saya." ujar si cantik molek Ernie Zakri pada petang 23 Oktober 2024 di sidang media pengumuman konsert solo pertamanya bertempat di St Giles Boulevard Hotel baru-baru ini. "Saya tidak akan menjanjikan apa-apa yang 'terlalu besar'. Saya mahu penonton menikmati sesuatu yang baru, saya mahu cipta kenangan bersama dan saya mahu kongsi perjalanan 'aura' itu sendiri kerana aura itu bukan tentang Ernie Zakri sahaja. Jatuh bangun, suka duka, saya pasti semua orang boleh relate dengan kisah-kisah tersebut. In shaa Allah kita jumpa nanti pada 25 Januari 2025, doakan saya." tuturnya lagi, mengulas tentang kejayaan penjualan tiket itu, Ernie meluahkan rasa syukur dan terharu dengan sokongan padu yang diberikan oleh peminat.

Ernie Zakri, penyanyi bersuara emas sekali lagi membuktikan popularitinya apabila tiket bagi konsert solonya yang dinanti-nantikan, 'Aura: Ernie Zakri Live in Concert' laris manis terjual dalam masa 7 jam sahaja. Kejayaan luarbiasa ini membuktikan Ernie sebagai di antara kalangan artis yang paling diminati dan berbakat dalam industri muzik tanahair. Konsert yang bakal berlangsung pada 25 Januari 2025 memilih Dewan Plenary Kuala Lumpur Convention Centre sebagai lokasi ini dijangka menjadi malam yang penuh dengan keajaiban muzik, dimana Ernie akan menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu-lagu hits dan persembahan vokal memukau yang luarbiasa.

Lebih menarik lagi, konsert yang dianjurkan oleh SAH Entertainment milik penyanyi Sufi Rashid ini menjadi persembahan berskala besar pertama yang dibawakan syarikat itu di negara ini. Tiket konsert yang telah mula dijual pada 27 September lalu mendapat sambutan luarbiasa hangat apabila peminat berlumba-lumba untuk mendapatkan tempat bagi menyaksikan persembahan penyanyi yang dikenali dengan kehebatan teknik vokal itu. Penuh dengan aura karismanya yang magnetik, Ernie juga membuktikan dirinya bukan hanya sekadar penyanyi, tetapi juga seorang penghibur sepenuh masa yang mampu menarik perhatian orang ramai.

'Aura: Ernie Zakri Live in Concert' dijangka akan menyajikan satu malam penuh magis, menampilkan pelbagai lagu hits Ernie seperti "Ku Bersuara", "Gundah" dan "Boneka" serta lagu-lagu daripada album 'Aura' yang akan dipersembahkan secara eksklusif untuk konsert ini. Dengan latar belakang muzik yang penuh perasaan dan sokongan pemuzik profesional,konsert ini bakal menjadi satu pengalaman muzik yang tidak akan dilupakan. Ernie Zakri, yang juga pemenang pelbagai anugerah dalam industri muzik, terkenal dengan kekuatan vokalnya yang luarbiasa serta kemampuan menampilkan persembahanyang memukau. Malah, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau berjaya memahat namanya sebagai antara penyanyi yang disegani di Malaysia, dengan kejayaan demi kejayaan yang diraih melalui lagu-lagu yang menduduki carta teratas dan persembahan pentas yang hebat.

“Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih atas sokongan yang luar biasa daripada semua. Ia adalah impian saya untuk berkongsi muzik dan perjalanan karier saya melalui konsert ini. Saya tak sabar untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat-peminat yang sentiasa ada di sisi saya sepanjang perjalanan ini." bicara Ernie teruja. “Bagi saya, setiap tiket yang terjual bukan sekadar nombor, tetapi perlambangan kasih sayang dan kepercayaan peminat terhadap usaha dan dedikasi saya selama ini. Saya tak sabar untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat yang sentiasa ada di sisi saya sepanjang perjalanan ini. "Setiap detik yang dilalui bersama mereka adalah kenangan yang tidak ternilai. Konsert ini bukan hanya mengenai muzik, tetapi juga pengalaman, kegembiraan, dan sambutan penuh emosi yang kita dapat nikmati bersama,” katanya lagi.

Dengan tiket habis terjual dalam masa yang begitu singkat, ini bukan sahaja mencerminkan aura besar Ernie, tetapi juga membuktikan betapa peminat menghargai bakat luarbiasa beliau. Dalam pandangan peminat, beliau adalah satu-satunya artis yang mampu mencipta pengalaman muzik luarbiasa, membuatkan mereka merasa lebih dekat dan terhubung dengan setiap litur nota dan melodi yang dinyanyikan. Dengan sokongan yang menakjubkan ini, tidak hairanlah jika Ernie terus mencipta kegemilangan dalam kerjayanya. Jumpa nanti 25 Januari 2025.