oleh: zizi hashim
Gemuruh di arena silat kini bergema ke layar perak melalui sebuah karya sinematik yang menggabungkan aksi mendebarkan dan sejarah bermakna. "Gayong", filem yang lahir dari inspirasi kisah hidup Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), pengasas Silat Gayong, akhirnya tiba di pawagam seluruh negara mulai 8 Mei 2025. Sejak pelancaran perdananya pada September 2024, "Gayong" telah membangkitkan minat yang luar biasa dalam kalangan pencinta filem tempatan. Peminat seni perfileman dan persilatan kini berdepan dengan penantian yang semakin mendebarkan untuk menyaksikan penjelmaan kisah seorang tokoh hebat yang telah mengukir namanya dalam sejarah persilatan Melayu.
Dalam filem ini, bintang popular Beto Kusyairy mengambil cabaran berkarektor sebagai ADMAR, dikelilingi barisan pelakon berbakat seperti Syafie Naswip, Nabila Huda, dan jaguh silat antarabangsa Yayan Ruhian yang membawa dimensi autentik ke dalam penghasilan karya ini. "Gayong bukanlah sekadar filem aksi biasa," jelas Faisal Ishak, sutradara yang mengemudi projek bersejarah ini. "Ia adalah saluran untuk memartabatkan warisan Melayu ke layar perak. Visi saya menjangkaui aksi fizikal semata-mata – saya ingin penonton merasai kedalaman jiwa di sebalik setiap gerak, falsafah di sebalik setiap langkah, dan pengorbanan yang mendasari dunia persilatan."
Menelusuri perjalanan pembikinan filem ini, Faisal mengakui bahawa mengangkat kisah seorang tokoh persilatan terkemuka ke format sinematik merupakan satu cabaran tersendiri. "Cabaran yang saya hadapi bukan hanya dari sudut teknikal dan produksi, tetapi lebih kepada memastikan ketulenan dan penghormatan terhadap warisan tokoh agung ini," katanya dengan penuh penghayatan. "ADMAR bukan sekadar pendekar dalam erti kata biasa. Beliau adalah guru yang membawa falsafah mendalam tentang ilmu persilatan dan kehidupan. Saya perlu memastikan naratif ini menangkap semangat perjuangan dan pengorbanan beliau dalam melestarikan seni silat Gayong," tambah Faisal.
Bagi memastikan pencapaian taraf autentik yang tinggi, setiap pelakon telah melalui proses latihan intensif di bawah bimbingan langsung Yayan Ruhian sebagai Pengarah Aksi, disokong oleh jurulatih berpengalaman dari Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM). "Latihan yang dijalankan bukan sekadar untuk mempersiapkan pelakon dengan pergerakan asas," jelas Faisal. "Ia adalah proses penghayatan mendalam untuk membantu mereka memahami disiplin, struktur gerakan, serta semangat yang terkandung dalam setiap jurus dan langkah Gayong."
Khairul Anuar Latip, Penerbit Eksekutif filem tersebut, menekankan bahawa projek ini telah mendapat restu dan sokongan penuh daripada keluarga ADMAR sendiri, terutamanya anak perempuan dan cucu allahyarham. "Penyelidikan kami bermula sejak Disember 2023, melibatkan konsultasi ekstensif dengan Hajah Fadzilah (anak) dan Zubaidah Hussin (cucu). PSSGM yang diketuai oleh Yang Dipertuanya, Lt. Jen (B) Dato Pahlawan Mohd Razif Hj Idris dan Setiausaha Agung, Akramin Zikri Ali, juga memberikan sokongan bermakna," katanya.
Ketelitian dalam proses pembikinan filem ini terbukti apabila PSSGM sendiri menghantar wakil ke lokasi penggambaran untuk memastikan keaslian setiap gerakan silat yang dipaparkan – testimoni kepada komitmen produksi untuk menghormati warisan yang diangkat. Namun di sebalik kesungguhan artistik, realiti pasaran filem tetap menjadi perimbangan yang tidak boleh diabaikan. Khairul dengan jujur mengakui terdapat sedikit kebimbangan tentang persaingan di pawagam pada bulan Mei, yang dijangka akan dipenuhi filem-filem tempatan dan antarabangsa.
"Sebagai penerbit, terdapat kerisauan tentang kutipan, tetapi saya yakin 'Gayong' memiliki kekuatan naratif dan visual yang akan menarik penonton ke panggung," ujarnya. "Sudah tiba masanya untuk kita meraikan dan mengenali tokoh-tokoh hebat tempatan seperti ADMAR, dan filem ini adalah satu langkah ke arah itu." "Gayong" memaparkan perjalanan ADMAR mempertahankan maruah bangsa di gelanggang pertandingan sebelum bangkit mempertahankan tanah air ketika berhadapan ancaman penjajah. Naratif yang menggabungkan perjuangan peribadi dan patriotisme ini menjanjikan pengalaman sinematik yang menggabungkan aksi, sejarah, dan nilai-nilai kemanusiaan yang universal.
Filem ini merupakan terbitan Sol Pictures Sdn. Bhd., dengan penglibatan barisan tenaga kreatif yang mantap termasuk Naza Manas (penulis skrip), Haris Hue (pengarah fotografi), dan Hafeez Mohd Noor (penyunting). Bakal ditayangkan di pawagam mulai 8 Mei 2025, "Gayong" bukan sekadar filem tetapi satu perjalanan yang menghubungkan generasi masa kini dengan legasi silam – satu pengalaman budaya yang tidak harus dilepaskan oleh setiap pencinta seni dan warisan Melayu.
GAYONG merupakan sebuah filem yang diinspirasikan daripada sebuah kisah perjalanan hidup Allayarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), pengasas Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia. Filem ini memaparkan perjalanan hidup ADMAR mempertahankan maruah bangsa di gelanggang pertandingan dan kemudiannya bangkit mempertahankan tanah air ketika diancam oleh penjajah.