'Ku Cuba' Ekspresi Kelana Seni Terkini Nur Fatima

oleh: zizi hashim

Kali terakhir kemunculan Nur Fatima bersama single "Galeri" adalah pada sekitar 3 tahun yang lalu. Pandemik Covid-19 merupakan salah satu faktor yang menyebabkan Nur Fatima terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk kembali menghasilkan material terbaru. Selain dari itu, pemilihan genre balada dirasakan lebih sesuai dengan tona nada suara dan penyampaian vokalnya, memerlukan ruang masa yang lebih teliti sebelum akhirnya muncul dengan single terkini ciptaan komposer Sharon Paul dan senikata oleh Shah Shamsiri, diberi judul "Ku Cuba". 

Di bawah edaran SoundOn, lagu "Ku Cuba" ini pada awalnya telah dicadangkan untuk 2 orang penyanyi lain. Sebelum Nur Fatima, ia sempat dinyanyikan oleh seorang penyanyi lain namun pihak pengurusan dan produser muzik sendiri berpendapat berdasarkan kelembutan tona suara yang dimiliki oleh Nur Fatima ianya lebih sesuai dipadankan dengan lagu tersebut. Apatah lagi bait-bait senikatanya ditulis hasil nukilan teman rapat Nur Fatima sendiri iaitu Shah Shamsiri, memberi nilai tambah dari segi penghayatan dan penjiwaan yang lebih mendalam.

Meski berkelana jauh ke Sydney, Australia mengikut suaminya atas urusan kerja, Nur Fatima masih lagi aktif membuat persembahan bersama band di sekitar Australia. Oleh itu, bagi peminat yang merindui material terbaru darinya boleh melihat kelibat beliau di dalam video muzik istimewa yang dirakamkan khas untuk single terbaru ini. Dalam video muzik kali ini, ketara memperlihatkan diri Nur Fatima yang lebih berekspresi dari raut wajah dan gaya mendayu diselubungi perasaan sedih dan sebak demi memberi penghayatan yang berkesan.

Di bawah arahan pengarah muda berbakat Khyrill, Nur Fatima berpeluang menggayakan busana indah hasil rekaan pereka fesyen Hasfitri Yusof bersama sentuhan penata gaya Zhee. A. Hussein, menghidupkan lagi visual video muzik tersebut. Genre lagu 'Ku Cuba' yang lebih ke arah Power Ballad sangat mencabar keupayaan vokal nada tinggi dan rendah Nur Fatima, serta mainan emosi yang mencabar kredibiliti agar nyanyian yang disampaikan memberi impak mendalam di hati pendengar. Difahamkan Nur Fatima mengambil masa yang agak lama untuk 'bertapa' di studio dalam proses menghayati lirik sehingga Sharon Paul selaku produser betul-betul berpuas hati. Satu pengalaman yang sangat berharga buatnya.

'Ku Cuba' mengisahkan tentang seseorang yang sabar dan tidak berputus asa dengan kekasihnya walaupun terpaksa menghadapi berbagai dugaan dan cabaran dalam perhubungan cinta mereka. Bagi Nur Fatima, lagu ini lebih bersifat pengorbanan dan kerelaan berserta keredhaan dengan apa jua keputusan yang diambil demi memastikan kekasihnya bahagia. Dalam meniti hari-hari yang mendatang, meski lambaian tangan sang kekasih masih menunjukkan sisa sayang, namun segala kebertahanan bagaikan sia-sia.

Pengalaman bertahun lamanya bergelumang dalam dunia seni, Nur Fatima mengakui cabaran tetap ada malahan semakin mencabar apatah lagi dalam industri yang memiliki persaingan kuat. Sikap jati diri, konsisten dan tidak pernah berputus asa membuatkan Nur Fatima terus kekal mekar disokong oleh keberanian untuk melakukan kerja-kerja di sebalik tabir di samping mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang muzik demi menambah ilmu.

"Nasihat saya buat pendatang baru agar sentiasa memberi keutamaan pada pelajaran terlebih dahulu sebelum memilih apa-apa bidang sekalipun. Pelajaran bukan sahaja memberi ilmu namun turut memupuk displin diri dan yang paling penting sayangi diri dengan menjaga kesihatan fizikal dan emosi. Harus berani dan tolonglah jangan cepat berputus asa. Mesti kental." ujarnya penuh harapan. "Saya juga berharap semoga lagu 'Ku Cuba' mendapat sambutan baik dari para pendengar. Selain dari mengubat kerinduan peminat-peminat saya, ianya diharapkan akan menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya." 

Jangan lupa untuk muat turun lagu 'Ku Cuba' di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music serta YouTube Music. Manakala video muzik single ini boleh ditonton di laman YouTube Nur Fatima Music di youtube.com/@nurfatimamusic