Konsert Spektakular ‘Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia’ Temui Peminat 9 Ogos 2024 Ini

oleh: zizi hashim

“Untuk 1 malam sahaja, Ratu Rock Malaysia akan mempersembahkan gabungan unik getaran karya Rock kreatif bersatu dengan elemen Orkestra dan band. Ini adalah sebagai tanda penghargaan dari Hitman Solutions dapat berkolaborasi sekali lagi bersama Ella dalam usaha mencipta sebuah konsert paling istimewa.” tutur Rohit Rampal selaku CEO dan Pengasas Hitman Solutions berikutan permintaan tinggi dari peminat-peminat yang masih dahaga untuk menyaksikan Ella beraksi di atas pentas.“

Bekerjasama dengan Ella dan pasukan RockQueen adalah satu pengalaman yang amat mengkagumkan.” sambungnya lagi ketika ditemui pada sidang media eksklusif di Restoran Rumah Nusantara, Sunway Putra Hotel pada petang 14 Mei 2024. Ella tampak manis dalam busana blazer merah sentiasa humble menguntum senyum manis di sisi Rohit dan Dato’ Acis selaku Pengarah Muzik konsert Rockestra itu nanti.

Pada tanggal 9 Ogos 2024 nanti, bertempat di Plenary Hall Kuala Lumpur, atmosfera manis bakal melarutkan penonton yang hadir dengan aura karisma, tarikan pesona dan vokal bersadur emas milik Ratu Rock Malaysia, Ella. Konsert ‘Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia’ ini menjanjikan sebuah malam penuh magis spektakular yang pastinya membuat peminat terasa bagaikan dipukau oleh kemerduan suara, energi persembahan dan 1001 macam keajaiban yang tak terungkapkan. Sengaja mencipta thrill dan vibes keterujaan pada pembeli tiket, Ella lebih banyak bermain teka-teki dan elemen-elemen surprise dengan tidak memberi sebarang clue setiapkali diajukan soalan tentang seperti apakah konsert itu nanti.

Ella, satu nama besar dalam belantika muzik tanahair, telah mencetak banyak sejarah tersendiri dan mengumpul himpunan ramai peminat seawal karier bergelar penghibur dan masih lagi sehinggalah sekarang. Sekadar menyebut nama Ella sudah menerbitkan getar rasa di jiwa, apatah lagi diperkuatkan dengan seleksi lagu-lagu popular beliau bukanlah sesuatu yang asing di halwa telinga. Hanya dengan menjadi seorang Ella, memiliki senjata cukup ampuh membuai emosi dan mengubat kerinduan peminat sejak konsert terakhir bergenre Orkestra pada tahun 2017.

“Jilid Rockestra Ella kali ini adalah peluang untuk saya terokai gabungan muzik dari album-album saya yang dipersembahkan dalam bentuk cukup istimewa iaitu Orkestra. Saya gabungkan 2 perkara yang saya sayang iaitu satu persembahan intimasi yang dapat meluangkan masa bersama peminat-peminat tersayang.” kata Ella mengenai kerjasama terbaharu bersama Hitman Solutions. “Gabungan genre Rock dengan 15 orang pemain muzik orkestra professional adalah perbezaan dan kelainan pada konsert ‘Jilid Rockestra’ ini.” Tidak sabar rasanya untuk menjangkakan apa yang bakal terhidang di hadapan mata kelak.

“Peluang mempersembahkan kreativiti dalam berkarya dengan penambahan lagu-lagu hits yang belum sempat dimainkan, kombinasi rock dan orkestra, masih dibawah pimpinan Pengarah Muzik yang sama iaitu Dato’ Acis. Konsep konsert masih dalam perbincangan namun keseluruhannya adalah rapi. Dari segi elemen muzik, set pentas dan fesyen ‘Glam Rock’, semuanya akan kami ambil kira.” cerita Ella begitu teruja. “Secara keseluruhannya boleh saya rangkumkan dalam satu ayat “Rockchic Rockestra”.

Mungkinkah nanti konsert yang dikatakan bakal berdurasi selama 2 jam 30 minit dengan himpunan lebih kurang 25 buah lagu memperlihatkan sesuatu sisi berbeza Ella? Kena beli tiket, jangan buang masa. Jangan lupa catat tanggal 9 Ogos 2024 untuk tidak ketinggalan menjadi saksi kepada ‘Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia’ yang akan membawa anda semua terbuai oleh mersik irama cinta dan kasih sayang yang terluah dalam setiap senikata lagu dan ritma melodi paling istimewa.

“Pasti ada kejutan artis jemputan istimewa, segmen khas dimana saya akan mendendangkan beberapa buah lagu asli melayu diiringi tarian. Saya tak mahu kongsi lebih-lebih, namun saya janjikan ia bakal menjadi spektakular. Semoga ia menjadi kenangan indah buat semua. Dengarkan muzik saya dengan sajian audio visual dan pengalaman luarbiasa untuk dikenang. Dan semoga kita kan jadi seperti dua insan, bercintaaaaaaaa….” 

Tiket untuk menonton konsert ‘Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia’ ini boleh didapati di www.hitmanlive.com dengan harga RM148, RM198, RM288, RM388, RM488, RM788 (VIP) dan RM888 (VVIP).