Konsert Rock Kapak 2: Kesinambungan Impak Gemilang Era Muzik Rock 80an

oleh: zizi hashim

Susulan kejayaan 'Konsert Rock Kapak' yang dianjurkan oleh Boss Production dan Attah Music pada tanggal 7 Oktober 2023 yang lalu, impak kegemilangan era muzik Rock 80an ternyata masih relevan pada era masa kini. Ini terbukti apabila ianya meninggalkan kesan mendalam dan mendapat sambutan menggalakkan dari peminat muzik Rock sejati yang ternanti-nanti akan kesinambungan kepada acara yang sukses membangkit nostalgia dan mengembalikan populariti muzik Rock. Terdapat ramai generasi pelapis masakini yang baru berkenalan dengan muzik Rock, secara tak langsung menyukainya dan masih ramai peminat setia meski semakin berusia tetap teruja untuk terus rocking bersama.

Atas rasa percaya serta desakan permintaan peminat-peminat yang dahagakan alunan muzik Rock kental, Attah Music kini mengambil langkah berani untuk kembali menganjurkan 'Konsert Rock Kapak 2' yang direncanakan berlangsung pada penghujung tahun iaitu 28 Disember 2024 dengan memilih lokasi strategik yang sama iaitu di Panggung Asia Kuala Lumpur. Kali ini membuka peluang beraksi kepada 3 band Rock yang terdiri daripada Gamma, Gravity dan Rockapak Band termasuk penampilan istimewa dari Amir SYJ/Sofea serta Joe Rockers. Berbekalkan pengalaman bergelumang di dalam industri seni selama lebih 4 dekad, ketiga-tiga band Rock ini pastinya memberikan yang terbaik dalam persembahan masing-masing.

Gamma yang ditubuhkan pada tahun 1980 mulai menempa nama dalam industri muzik tempatan menerusi lagu hits mereka, "Kembang Terhalang" dari album Suara Pasrah pada tahun 1989. Gamma yang merupakan singkatan kepada "Gabungan Anak Muda Malaysia", sekaligus menyaksikan perubahan line up dengan hanya Blank (vokal) dan Mokhtar (dram) yang masih kekal. Sempat menghasilkan 4 buah album studio iaitu Suara Pasrah (1989), Lembayung (1991), Nyanyi Dulu Lah (1994) dan yang terakhi Garam Dan Laut (1996), kesemua anggota telah membawa haluan masing-masing. Mereka bergabung semula demi untuk menjayakan konsert istimewa ini. Antisipasikan lagu-lagu hits lain seperti "Bahang Asmara" dan "Penyair Cinta" bakal berkumandang di 'Konsert Rock Kapak 2' ini.

Manakala Gravity pula lebih dikenali pada awal 90an apabila album Inspirasi yang memuatkan lagu hits "Sinambungan Cinta" menjadi siulan ramai pada ketika itu. Masih diterajui oleh Isa Hamzah selaku vokalis, Gravity yang sempat merakamkan 6 buah album studio iaitu Inspirasi (1991), Anak Langit (1993), Rambak (1997) dan 3 buah album kompilasi pada 1999 serta yang terakhir pada tahun 2008. Memilih seleksi lagu-lagu hits dalam katalog diskografi Gravity, besar kemungkinan lagu "Sesat Dalam Impian", "Kasih Dirundung Mega", "Aduhai Malang Aduhai Sesalan" dan "Namamu Yang Tersurat" antara lain yang akan dibawakan pada malam konsert itu nanti.

Introduksi untuk Rockapak Band yang merupakan gabungan dari pecahan pelbagai band Rock Otai seperti Junction, Desire dan FTG membentuk sebuah band projek baru untuk memeriahkan lagi industri muzik tanahair. Istimewanya, Rockapak Band ini akan membawakan lagu-lagu dari band yang diwakili serta beberapa lagu cover yang bersesuaian dengan konsep 'Konsert Rock Kapak 2' itu sendiri. Dijangka akan memberi pengalaman, nuansa dan intensiti yang berbeza dari konsert terdahulu, kelainan 'Konsert Rock Kapak 2' ini dapat dilihat dari segi pemilihan band, lagu-lagu nostalgia Heavy Rock dan hits balada band masing-masing yang pernah mendominasi industri. Tidak dinafikan lagu-lagu tersebut masih kekal diminati serta tidak jemu didengar.

"Penonton dijanjikan satu persembahan 'Konsert Rock Kapak 2' yang bakal menjadi tonggak penutup muzik rock tahun 2024, serta menawarkan satu malam penuh nostalgia dalam euforia semangat rock sejati. Hasil kerjasama strategik antara Attah Music, Mentari Merah Entertainment, dan Scorpion Bikers ini juga bakal melalui satu detik yang menghidupkan segala kenangan terindah muzik rock Malaysia dengan barisan 3 kumpulan rock terulung ini, seolah-olah terbuai kembali ke suasana masa lalu yang gemilang." tutur Hatta Junction selaku penganjur konsert ketika ditemui pada petang majlis sidang media bertempat di Jazz Ampang 103 pada 28 November 2024.

Selain dari itu, terdapat hadiah-hadiah istimewa cabutan bertuah yang sungguh menarik seperti Amplifier Gitar, Gitar Elektrik, Gitar Akustik, alat-alat muzik, tshirt, poster, button band, pakej percutian serta pelbagai barangan lain yang ditaja khas oleh 72 Guitar Hunters, Scorpion Bikers, Mentari Merah Entertainment, Rockstage Entertainment dan AR Travel & Tours. Sama seperti konsert terdahulu, para pengunjung yang datang bergaya dengan pakaian rock terbaik pada malam konsert tersebut berpeluang memenangi hadiah wang tunai, sijil dan cenderahati yang menarik. Merchandise konsert dan band yang terlibat juga boleh didapati di konsert tersebut. Hadiah Pakaian Rock Terbaik adalah tajaan Pemburu Buah Group. Hanya pastikan kehadiran anda di 'Konsert Rock Kapak 2' ini! Jangan lepaskan peluang untuk beramah mesra dan bergambar bersama band-band terlibat sebelum dan selepas persembahan konsert nanti.

Jualan tiket berharga RM100 seorang boleh didapati melalui MM (019-2407994), Chip Malaya (019-6947784) Epain (017-2494273) dan Linda (019-2333435). Lock tarikh 28 Disember 2024, beli tiket, jom kita rocking sama-sama!

Foto Kredit: Pa Pa Din