Konsert Jiwa: Epilog 2024 Muncul Sebaik Usai Jiwa Kacau Dan Jiwa Malaysia

oleh: zizi hashim

Memiliki nama dan jenama yang cukup kuat melalui Konsert Jiwa Kacau dan Jiwa Malaysia, pihak penganjur MND Sport & Events muncul pula sekali lagi dengan sebuah konsert yang diberi gelar 'Konsert Jiwa: Epilog 2024'. Akan diadakan di Stadium Malawati Shah Alam ini menampilkan 4 barisan penyanyi serta kumpulan yang mempunyai katalog repertoire lagu-lagu mereka yang dekat di hati para peminat. “Konsert Jiwa: Epilog 2024 kali ini akan membariskan penyanyi dari Indonesia Fabio Asher yang terkenal dengan lagu "Rumah Singgah". Manakala Spider dan 6ixth Sense juga akan muncul pada konsert yang akan berlangsung pada 7 Disember 2024 ini mulai jam 8 malam." ujar pihak penganjur.

Sudah pasti kemunculan Yuna adalah yang paling ditunggu-tunggu dalam acara konsert kali ini dimana Yuna akan tampil bersama band-nya dan direncanakan untuk mempersembahkan lagu-lagu kegemaran ramai yang akan menjadikan malam 7 Disember itu sebuah malam yang penuh jiwa. Konsert yang akan berlangsung dalam durasi 3 jam itu sudah mendapat sambutan yang mengalakkan dari segi penjualan tiket di mana lebih 80% tiket sudah terjual sejak pembukaan jualan tiket pada 25 September 2024 yang lalu.

“Kami sangat berterima kasih dengan para peminat konsert Malaysia terutama mereka yang setia dengan konsert-konsert yang dianjurkan oleh pihak MND Sport & Events. Sejak jenama Jiwa Kacau hinggalah ke Jiwa Malaysia dan kini 'Konsert Jiwa: Epilog 2024', kami sentiasa mendapat sambutan malah komentar-komentar yang baik untuk penambahbaikan konsert- konsert yang kami adakan. Oleh itu, kami muncul dengan 'Konsert Jiwa: Epilog 2024' yang memberikan gabungan persembahan dari penyanyi dan kumpulan yang kami rasakan mempunyai katalog lagu-lagu yang cukup berjiwa dan menyentuh perasaan peminat yang hadir kelak.” ujar Harith Daniel, Ketua Pegawai Eksekutif MND Sport & Events.

Tiket-tiket telah mulai dijual dengan harga RM148 (berdiri), RM148 CAT 1 (Free Seating), RM118.00 CAT 2 (Free Seating), RM88.00 CAT 3 (Free Seating) dan RM 188.00 VIP (Free Seating). Para peminat masih boleh mendapatkan tiket-tiket di laman web: https://www.ilassotickets.com/