oleh: zizi hashim
Belum lama usai showcase Afgan Sonder Asia Tour yang sukses di The Bee @ Publika pada 11 Ogos 2024 lalu, Afgan bikin sensasi lagi dengan pengumuman tarikh konsert-nya paling terkini. Namun kali ini Afgan tidak sendirian. Afgan ‘Ada’ Lyodra menemani untuk sebuah konsert epik yang diberi gelar ‘Ada Afgan & Lyodra: Live in Kuala Lumpur’ pada tanggal 28 September 2024 yang memilih lokasi Megastar Arena KL dibawah anjuran Kharisma Music (KM). Sekali lagi berganding bahu bersama jenama kosmetik popular tanahair iaitu Alha Alfa dengan sokongan Intan Gelombang dan Futurace.
Laku keras dan laris manis, pemilik nama asal Afgansyah Reza dan Lyodra Margareta Ginting siap sedia untuk bertemu para peminatnya di Malaysia. Diterbangkan istimewa khas untuk menjayakan sidang media pada 12 Ogos bagi mempromosikan konsert yang bakal berlangsung itu, Lyodra jelas ketara menunjukkan keterujaan untuk konsert perdana kolaborasi bersama idolanya sendiri yang tidak pernah terbayangkan sebelum ini. Tercetusnya idea menjurus ke arah konsert ini terbit dari single duet Afgan dan Lyodra yang berjudul “Ada” mendapat sambutan luarbiasa dari fanatika kedua-duanya sejak dilancarkan setahun lalu.
“Buat julung kalinya di Malaysia, kami gandingkan 2 penyanyi papan atas Indonesia dalam satu pentas buat tatapan istimewa peminat di Malaysia.” ujar Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Kharisma Music, Ahmad Jeffny ketika ditemui pada petang itu. “KM sentiasa maju selangkah ke hadapan dalam menghidangkan hiburan secara langsung dalam bentuk fizikal buat peminat muzik di Malaysia, dan apabila melihat kemistri dan keserasian di antara Afgan dan Lyodra berduet dalam lagu “Ada” membuat kami teruja untuk menggandingkan mereka berdua di dalam konsert ini.”
Tidak dinafikan Afgan memiliki fanbase yang sangat kuat di Malaysia, manakala Lyodra pula merupakan Juara Indonesian Idol 2020 yang seangkatan dengan nama besar seperti Mahalini, Tiara Andini dan Ziva Magnolya. Kombinasi hebat ini telah belanja hadirin dengan mendendangkan lagu “Ada” yang ditunggu-tunggu. Ternyata kedua-dua penyanyi bersuara emas ini berjaya menghiburkan hadirin dengan lunak merdu suara pada petang sidang media khas di Aloft Hotel Kuala Lumpur.
Mengangkat tema ‘Cinta-Cintaan’, hiburan tanpa henti yang diprediksi berdurasi selama 2 jam 30 minit itu bakal dipenuhi dengan seleksi 20 buah lagu bersama iringan 12 orang pemuzik professional yang diterbangkan khas dari Indonesia. Lebih menarik lagi, Afgan dan Lyodra sendiri yang akan merencanakan koordinasi muziknya nanti.
“Penonton berpeluang menikmati susunan muzik yang digubah istimewa oleh mereka berdua, yang belum pernah didengarkan di mana-mana acara sebelum ini.“ tambah Ahmad Jeffny begitu teruja dan antusias. “Sudah pasti akan ada kejutan menyenangkan buat penonton yang membeli tiket, cuma buat masa ini identiti penyanyi undangan masih lagi dirahsiakan. Kami akan buat pengumuman kelak, oleh itu jangan ketinggalan, nanti rugi sendiri.”
Menceritakan tentang keterujaan yang bakal dipersembahkan, Afgan dan Lyodra sepakat membisikkan hasrat untuk membawa para peminat mereka ke dalam dunia Afgan dan Lyodra dengan persembahan yang cukup istimewa, merasai sendiri sebuah momen cerita indah dalam kehidupan masing-masing, berawal dari karya-karya yang mewakili perasaan penonton semua.
Turut hadir pada petang sidang media khas itu ialah Dato’ Sri Alha Alfa selaku penaja bersama konsert. Tampak gembira dan cergas mempromosikan konsert artis bawaan KM ini, dengan harapan besar konsert epik itu nanti bakal menghipnotis hadirin dengan paduan vokal memukau. KM telah menyediakan perancangan untuk menganjurkan lebih banyak konsert pada tahun 2024 ini dan akan mula mengadakan beberapa siri konsert di luar negara seperti Indonesia dan juga Singapura pada tahun hadapan.
Diberitakan sehingga saat ini, jualan tiket konsert ‘Ada Afgan & Lyodra: Live In Kuala Lumpur’ telah sold out di kategori VIP, masih ada sedikit lagi yang tersisa dalam kuantiti yang terhad, cepat jangan lambat. Tiket-tiket terbahagi dalam beberapa kategori: Pesan Terakhir (RM258), Escape (RM338), Sang Dewi (RM458) dan Panah Asmara (RM488). Pembelian boleh dilakukan di laman web www.ticket2u.com.my/afganlyodra