Kesinambungan Jilid Seterusnya: Ella Terbang Ke Singapura

oleh: zizi hashim 

“Sebagai tanda penghargaan di atas sokongan yang tidak berbelah-bahagi setelah sekian lama, saya ingin ke Singapura lagi bagi melepas kerinduan bersama semua peminat di sana.” kata Ella begitu bersemangat. 

Jilid Rockestra di Kuala Lumpur baru saja selesai pada 9 dan 11 Ogos lalu, rata-rata majoriti masih belum ‘move on’ sepenuhnya, namun jilid demi jilid kian rancak diteruskan. Bersambung pula ke jilid seterusnya. Kali ini kompas menunjukkan halatuju ke arah selatan, Ratu Rock Negara terbang bertandang untuk menakluk Kota Singa bagi kesinambungan siri konsert ‘Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia (Singapura)’ pada 12 Oktober 2024 nanti berlokasi di The Star Theatre dibawah anjuran bersama Hitman Solutions dan RockQueen.

Terbukti ‘sold out’ pada setiap jilid yang usai dijelajahi, 2 hari berpesta di Plenary Hall KLCC sukses menghimpun 6,000 peminat setia menyaksikan Ratu Rock kesayangan membuat persembahan dengan hidangan lebih 30 buah lagu. Ella telah mebuat kelainan dengan melantunkan lagu-lagu klasik melayu untuk para peminat bersama artis undangan Haziq Rosebi pada hari pertama dan Dayang Nurfaizah pada hari kedua. 

Atas permintaan yang tinggi dari peminat-peminat yang bermaustautin di Singapura, Ella menyahut harapan itu dengan baik demi memberi peluang kepada mereka merasai sendiri pengalaman menyaksikan siri konsert terbaharu ‘Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia’. Apatah lagi, berdasarkan siri konsert yang lalu ‘Jilid Akhir: Ella Puteri Kota (Singapura)’ mendapat sambutan luarbiasa dengan jualan tiket ‘sold out’ pada kedua-dua malam konsert tersebut.

Masih mengekalkan tema solidariti di setiap konsertnya, Ella tetap setia mengguna-pakai khidmat pengarah muzik yang sama iaitu Dato’ Acis bersama barisan pemuzik profesionalnya. “Jom kita meriahkan malam konsert nanti dengan rona hitam, putih, merah dan hijau tanda sokongan kita yang tidak henti-henti buat rakyat Palestin.” seru Ella lagi. “Saya bersyukur di atas izin-Nya, dengan nikmat kesihatan yang baik, saya masih berpeluang menghiburkan peminat tersayang. Harus diakui gabungan band rock dan orkestra memerlukan banyak usaha dan kerja yang teliti.”

Peminat Singapura bakal disajikan dengan sebuah malam gilang-gemilang dengan seleksi lagu-lagu hits nyanyian Ratu Rock legenda sepanjang tempoh berkarya dan bergelumang dalam bidang seni, dengan ekspresi seni persembahan unik dan hebat disamping alunan rangkaian paduan muzik dari band dan juga orkestra yang sudah tentu menjanjikan sensasi berbeza pada pengalaman menonton konsert kali ini. 

Turut dinobatkan sebagai Ratu ‘Sold Out’, Ella melahirkan rasa terharu atas sambutan peminat yang tidak jemu-jemu membanjiri setiap siri konsert dan realiti ini diakui oleh Rohit Rampal, Pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif Hitman Group. “Konsert yang lebih intim tercipta atas permintaan Ella sendiri untuk lebih dekat bersama peminat secara eksklusif dengan konsep gabungan rock dan orkestra. Kami juga menjanjikan pengalaman istimewa dari segi rekaan pentas, penataan cahaya dan sistem bunyi canggih demi memenuhi kepuasan semua yang menonton.”

“In shaa Allah saya akan berikan yang terbaik dan jangan lupa temujanji kita di konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia (Singapura) pada 12 Oktober nanti di The Star Theatre.” pesan Ella. 

Sebarang pertanyaan berkenaan konsert di Singapura boleh hubungi 012-2655783.