Kekuatan Emosi Dalam 'Jangan Biar', Terkini Dari Ramayan

oleh: zizi hashim

Lagu 'Jangan Biar' yang menggambarkan perasaan deja-vu, iaitu mengalami sesuatu seakan-akan pernah mengalaminya suatu masa dahulu dan terperangkap dalam masa tersebut, adalah single paling terkini dari band indie tempatan, Ramayan. Terkenal dengan konsep muzik dinamik, Ramayan kembali dengan pelancaran single terbaru yang sudah boleh mulai dinikmati di semua platform digital. Dipetik dari album penuh mereka yang akan datang berjudul Ini Adalah Ujian Transmisi!, lagu yang mungkin terdengar seperti lagu cinta antara lelaki dan wanita ini sebenarnya lebih kepada refleksi diri sendiri dan pesan nasihat berkenaan kelangsungan hidup dan tiada gunanya menangisi perkara yang telah berlalu pergi.

Lebih istimewa lagi apabila 'Jangan Biar' turut menampilkan artis jemputan Lunadira, seorang artis tempatan yang namanya sedang meningkat naik. Lunadira, yang biasanya menyanyi dalam bahasa Inggeris, mencuba kelainan dengan menyampaikan lagu ini dalam bahasa Melayu, menjadikannya percubaan kedua beliau dalam bahasa ibunda. Selain itu, album dan lagu ini turut mendapat sentuhan magis daripada penerbit terkenal tempatan, Faliq Mohd atau lebih dikenali sebagai FLQ, yang telah bekerjasama dengan ramai artis ternama seperti Hullera, Gard, The Islandz, Monoloque dan banyak lagi. Kerjasama ini menjanjikan pengalaman muzik yang mendalam dan penuh makna kepada pendengar.

Dilancarkan di bawah naungan label rakaman Luncai Emas, Ramayan berharap agar 'Jangan Biar' bukan sahaja menghibur tetapi juga membawa pendengar dalam perjalanan spiritual untuk merenung, menyerah, dan bersyukur, sesuai dengan tema keseluruhan album mereka. Dengan pelancaran single ini, Ramayan mengajak semua peminat untuk merasakan kekuatan emosi dan mesej mendalam yang terkandung dalam lagu mereka.