Kejutan Nyaman Kesinambungan Repertoire Lagu Eksklusif Dato' M. Nasir Di CIPTA 2

oleh: zizi hashim

Prihatin akan rasa dukacita yang dizahirkan oleh ramai fanatika 'Sifu Seni' yang tidak dapat ikut serta meraikan pesta keramaian pada konsert CIPTA yang berlangsung dengan meriah di Axiata Arena baru-baru ini, pihak penganjur ICON Entertainment ingin 'membasuh' kedukaan itu dengan membuat kejutan yang tidak disangka-sangka, namun sangat nyaman penerimaannya. 

Dengan penuh rasa sukacita, ICON Entertainment berbesar hati mempersembahkan sekali lagi sang lagenda di pentas eksklusif 'konsert CIPTA 2' istimewa buat pecinta dan peminat sejati yang tidak pernah kenal erti puas dalam menghayati variasi lagu-lagu terbaik daripada lebih 3,000 repetoire yang sedia ada.

Itu belum lagi termasuk lagu-lagu baru yang bakal terCIPTA pada tahun-tahun mendatang, Dato' M. Nasir menjanjikan satu lagi malam yang disifatkan sebagai versi 'extended' pada tanggal 12 Oktober 2024 nanti, berlokasi di tempat yang sama, diharapkan dalam gema yang sama, dalam merayakan kesinambungan temasya yang katanya 'tergantung' dek semata-mata tidak boleh move-on. 

Cetakan mahakarya sepanjang 45 tahun karier penglibatan Dato' M. Nasir bergelumang dalam industri seni diperakui oleh semua bukanlah calang-calang, luarbiasa bukan kepalang. Sinonim dengan situasi 'nyaman' setiap petang di Kuala Lumpur akhir-akhir ini, belum sempat kering hujan membasahi bumi, begitulah larut perasaan pecinta idola yang belum boleh berganjak dari bercerita, berkhayal, terbuai rasa, tercari-cari video konsert di YouTube, TikTok dan sebagainya, hanya untuk mengenang kembali kisah penuh gembira pada malam pesta penuh gah dengan nuansa meriah yang melimpah-ruah. 

Energi stamina luarbiasa Dato' M. Nasir sehingga kini menjadi perbualan dan tanda-tanya, pada usia 67 tahun mampu menghidupkan 'nyala rasa' Konsert Dato' M. N45ir Cipta yang menjadi kebanggaan ICON Entertainment serta dinobatkan sebagai konsert terbaik setakat ini untuk tahun 2024. Belum lagi lama dan hanya berjarak 2 bulan antara kedua konsert, bagaimanapun tanggal 12 Oktober dianggap satu tempoh yang wajar memandangkan ianya tidak dibuat selama 2 hari berturut-turut sepertimana konsert yang lain sebelum ini. Faktor ini dipertimbangkan kerana menghormati konsert rakan industri yang terlebih dahulu telah dimeterai.

“Setelah kami buat post-mortem pada semua maklum balas yang diberikan oleh pemerhati seni, peminat tegar M. Nasir serta peminat muzik yang mengikuti perkembangan Konsert Dato' M. N45ir Cipta, pihak kami di ICON Entertainment bersama yang kami hormati iaitu the one and only Dato' M. Nasir dengan sukacita membuat pengumuman istimewa ini untuk mengadakan extended version konsert ini khas buat semua peminat.“ ujar Iman Tang selaku pengasas ICON Entertainment dalam nada teruja. "Kali ini, Konsert Dato' M. N45ir CIPTA 2 hanya menerima peminat tegar ber'Hati Emas' sahaja. Itu yang membezakan dengan konsert terdahulu, kerana ianya hanya terbuka dalam kapasiti yang cukup terhad." jelasnya lagi.

Oleh kerana ia merupakan kesinambungan daripada Konsert Dato M. N45ir Cipta, maka ICON Entertainment bersetuju menamakan konsert ini sebagai Konsert Dato M. N45ir CIPTA 2 yang akan berlangsung di lokasi sama iaitu Axiata Arena Bukit Jalil pada 12 Oktober 2024 bagi memudahkan segala urusan dilaksanakan. Difahamkan, selain repoirtaire lagu yang tentunya tidak akan sama dengan sebelumnya, Konsert Dato M. N45ir CIPTA 2 juga adalah terhad kepada 6,000 penonton sahaja. 

“Sekiranya anda merupakan peminat tegar M. Nasir atau telah terlepas menyaksikan konsert-konsert beliau sebelum ini, maka Konsert Dato' M. N45ir CIPTA 2 adalah momen terbaik untuk anda cipta dan simpan sebagai sejarah,” ujar Iman Tang lagi. 

“Disebabkan terlalu banyak permintaan daripada mereka yang tidak boleh move on lagi, maka kami adakan CIPTA 2. Persembahan kali ini akan menyenaraikan katalog lagu-lagu berlainan, ada juga lagu-lagu lama tetapi sebahagian besar persembahan akan di isi dengan lagu-lagu lain pula.” ujar Dato’ M.Nasir. “Kami akan cuba membawakan lagu-lagu yang tidak dibawakan di persembahan pertama dan kami akan menambah lagi beberapa lagu baru iaitu rakaman-rakaman saya dalam persembahan kali ini. Harapan saya persembahan CIPTA 2 akan lebih bertenaga dan memberi lebih makna kepada anda sekalian nanti.” tambahnya.

Ditemui ketika Majlis Apresiasi khas buat rakan-rakan media pada 20 Ogos bertempat di Hotel JW Marriot, pengumuman yang disifatkan 'kejutan nyaman' buat semua antusias muzik disambut dengan baik dan rasa gembira oleh semua yang hadir.

Apakah dan bagaimanakah Konsert Dato' M. N45ir CIPTA 2 akan dipersembahkan? Jangan terlalu overthinking. Wajib pastikan kehadiran anda dengan menjadi saksi 2 mata sendiri kepada sebuah lagi persembahan hebat figura tersohor yang disegani ini. Pastinya hanya yang terbaik dari maestro lagenda ini, 100% konfirmasi tidak akan ada sesiapa yang pulang kecewa, silap-silap tak boleh move on lagi dan lagi berkali-kali.

12 Oktober nanti jom ramai-ramai datang Axiata Arena dalam tema Denim Biru dan Top Putih, temujanji kita jam 8:30 malam kita mula nyanyi beramai-ramai. Setlist? Jangan tanya... pasti sing-along dari awal hingga akhir...

Harga tiket dijual bermula RM 238 (Fantasia Bulan Madu - FBM), RM338 (Mentari Merah Di Ufuk Timur - MMDUT), RM458 (Layang-layang Terputus Talinya - LLTL), RM488 (Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara - SBSDGS), RM528 (Laila Namamu Teratas - LNT) dan RM588 (Keroncong Untuk Ana- KUA). Tiket mula dijual pada 27 Ogos 2024 (Selasa) pukul 2:00 petang di laman www.ticket2u.com.my/mnasircipta2