oleh: zizi hashim
Apa perancangan menjelang ambang tahun baru 2025 nanti? Pastinya pelbagai aktiviti menarik akan disusun-atur bagi menyambut permulaan tahun yang baru, dialu-alukan dengan jiwa dan minda positif, sudah tentu salah satu darinya melalui hiburan muzikal yang menggembirakan. Kalau belum ada apa-apa rencana, jom ramai-ramai ke 'Hari Rock Negara: Festival Karat Dekoh' yang julung kali diadakan pada detik bersejarah selama 2 hari menjelang tahun baru iaitu pada tanggal 30 dan 31 Disember 2024 bertempat di Medan Mara Kuala Lumpur sempena perayaan wajib yang diraikan setahun sekali itu.
Tutup tirai akhir tahun dengan roh semangat ROCK yang tidak pernah pudar dan sudah sebati dalam jiwa bersama sebuah acara komprehensif yang mengasyikkan dianjurkan khas untuk menghayati erti sebenar ROCK yang sering disalahertikan. "ROCK bukanlah seperti yang disangka oleh ramai orang," tegas Mohd Shukri Idrus, atau lebih dikenali sebagai Kombatt, selaku Pengurus Acara dengan penuh keyakinan. "Ramai yang masih terperangkap dengan stigma lama - melihat peminat Rock sebagai unsur negatif dalam masyarakat. Tetapi hari ini, ROCK membawa maksud yang lebih mendalam iaitu 'Ramai Orang Cari Kebenaran'. Kami ingin mengubah persepsi masyarakat yang tipikal terhadap Rock menjelang tahun baru ini."
Medan Mara sudah siap sedia untuk bergegar dan menyaksikan transformasi dramatik apabila Hari Rock Negara kembali untuk edisi ke-5 pada 30 dan 31 Disember 2024 mendatang ini. Mengimbas semula ke tahun 2022 di mana Hari Rock Negara bermula sebagai acara sederhana dengan 5,000 pengunjung, kini semakin berkembang menjadi fenomena budaya yang mensasarkan 15,000 peminat pada ambang tahun 2025 yang bakal menjelang ini. Ini bukanlah sekadar statistik, ia adalah alibi bahawa muzik rock mempunyai jiwa yang masih bernyala dalam kalangan rakyat Malaysia.
Hari Rock Negara 2025 bakal membawa dimensi baharu dalam persembahan muzik. Festival Karat Dekoh yang berlangsung selama 2 hari ini bukan sekadar tentang riffing nyaring gitar dan hentakan drum. Ia adalah platform untuk kesedaran sosial dan pembangunan intelektual. Menggabungkan hiburan dengan program ilmiah menerusi forum "FLOTILLA dan GAZA" oleh Tuan Kelana Putra Muhamad yang akan membawa peserta merentasi kisah kemanusiaan di Palestin. Sementara itu, Nazrie dari Al Farabi Band akan berkongsi pengalaman spiritual dalam Forum Islamik dan Muzik, mengupas perjalanan dari pentas muzik ke mimbar dakwah.
Mad's Carnival Street Café akan menjadi jantung kepada festival ini. Bukan sekadar ruang untuk menikmati makanan, ia adalah tempat pertemuan budaya - di mana muzik, seni, dan komuniti bergabung dalam harmoni yang sempurna. Malam akan dihiasi dengan persembahan dari legenda rock tanahair. Dari dentuman keras SYJ hingga ke melodi spiritual Al Farabi, dari kepakaran Beta hingga ke kehebatan Kobra - setiap kumpulan membawa warna tersendiri ke festival ini.
Lestari, Landlord Blues, Cryo Inferno dan Lela akan menggegarkan pentas dengan persembahan yang dinanti-nantikan. White Steel II, Blind Jokers, Antacid dan Smokey Monkey pula menjanjikan malam yang tidak akan dilupakan. Together With Adan dan Dousche Deux melengkapkan barisan artis yang akan memukau penonton.
Pada 30 dan 31 Disember 2024, Medan Mara akan menjadi lebih dari sekadar lokasi konsert. Ia akan menjadi tempat di mana stereotaip dipecahkan, di mana muzik menjadi jambatan kepada kefahaman yang lebih mendalam, dan di mana rock bukan lagi sekadar genre muzik tetapi medium untuk perubahan sosial. Di mana rock bertemu realiti, di situlah perubahan bermula. Jom tutup tirai 2024 dengan dentuman rock yang bermakna dan penuh inspirasi. 'Hari Rock Negara: Festival Karat Dekoh' menanti jiwa-jiwa Rock kental untuk memeriahkan sambutan kedatangan 2025 yang gemilang bersama dan bersatu hati.