Jom Raikan Pancawarna Kehidupan di Pesta Muzik Hausboom 2024

oleh: zizi hashim 

Perayaan muzik selama 2 hari bertempat di KL Base pada tanggal 5 dan 6 Oktober 2024, bakal menyemarakkan spektrum kehidupan yang penuh pancawarna. Medan perhimpunan 32 artis dari Malaysia dan Indonesia di bawah kain rentang ‘Hausboom Music Festival 2024’ ini rata-rata majoritinya dipilih berdasarkan undian di platform media sosial Hausboom. Kriteria yang memberi impak besar kepada peminat fanatik masing-masing diperakui jelas pada nama-nama lagenda seperti Wings, Dato’ Zainalabidin dan Exist, disokong kuat oleh nama-nama yang sedang trending masakini seperti Masdo, Bunkface, Joe Flizzow dan Amir Masdi.

Tidak kurang hebatnya kemunculan istimewa Senariounion dan Ruffedge berkongsi pentas dengan barisan artis yang semakin ‘level up’ seperti Aisha Retno, Iqbal M., Akim & The Majistret, Luqman Podolski dan Orkes A. Hizadin, bersama wakil band yang diterbangkan khas dari negara jiran Indonesia iaitu Parade Hujan (Payung Teduh dan Pusakata) dan The Changcuters. Turut serta memeriahkan adalah band yang dahulunya ‘bawah tanah’ kini sudah semakin aktif di pentas mainstream iaitu ACAB, Skudap Skudip dan Armpunk Syndicate, begitu juga 53 Universe, Airliftz, DJ Fuzz, Jemson, No Good, Yaph, Empty Page diiringi penampilan khas seperti Mohsein Kush, Rudeen, Saintaclaus dan Syiqin Azln.

“Sudah tiba masanya jenama Hausboom Music bukan hanya sekadar sebuah konsert tetapi festival yang perlu diraikan dalam piawaian sewajarnya.” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Hausboom, mesra dikenali dengan gelar ‘John Lemon’ atau nama sebenarnya Azri Zahier Azmi.

Turut hadir pada petang sidang media itu ialah hampir kesemua line-up utama, diserikan lagi dengan kehadiran YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan (Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya), Ms. Foong Ai Peng (Ketua Media & Belanjawan, Hotlink), Mdm Chin Hor Wai (Pengurus Besar Pemasaran 7 Eleven), Ms. Priya Darshini (Pengarah Astro Radio) dan ramai lagi yang mewakili pihak penaja rasmi festival.

Apa yang paling memeranjatkan pada sidang media yang diadakan di Khan’s Indian Cuisine pada petang 14 Ogos 2024 lalu adalah kejutan pengumuman yang melibatkan 3 line-up tambahan yang bakal memperkaya rasa iaitu The Rudean, Dolla dan Datuk Seri Siti Nurhaliza. Pastinya ramai yang teruja dengan kejutan tidak disangka-sangka ini. Sebagai sebuah empayar yang cukup dikenali sejak 2016, Hausboom komited membawa hanya yang terbaik untuk sebuah festival muzik yang dipenuhi plethora seni berwarna-warni. 

“Saya pernah bekerja dengan Hausboom sebelum ini, tapi ini kali pertama untuk festival muzik.” ujar Datuk Seri Siti Nurhaliza pada sesi temubual petang itu. “Untuk diundang tampil sebagai salah satu artis di acara seperti ini tidak memerlukan banyak komitmen berbanding tampil di konsert solo. Untungnya jadual saya mengizinkan untuk saya menjadi sebahagian dari festival ini.” tambahnya yang baru saja selesai mejayakan konsert solo yang sold out di Genting Highlands. “Keberadaan saya di Hausboom Music Festival 2024 ini nanti diharap dapat menambah warna pada barisan line-up dengan elemen lagu tradisional. Itulah sebab mengapa saya mengatakan Ya untuk turut serta.”

Jenama tersohor yang dikenali sebagai pengeluar minuman bergas, sukses menjalinkan dunia perniagaan dengan dunia muzik ini bermula pada tahun 2017 dengan penganjuran gig kecil-kecilan, namun kali ini jenama Hausboom bakal menggegarkan dunia muzik tempatan dengan penganjuran acara yang lebih gah dan  besar iaitu Hausboom Music Festival 2024 ini. Pesta muzik selama 2 hari ini direncanakan menjadi perpaduan unik antara artis tempatan dan internasional, menjanjikan pengalaman tak terlupakan bagi semua jenis pecinta muzik. 

Terdahulu, Hausboom telah menghidangkan 3 siri Hausboom Gig 2024 bertempat di Sky Ark Event Space dari bulan Mei sehingga Julai 2024 dengan menampilkan 12 band ‘bawah tanah’ di mana mereka diberikan platform untuk melonjakkan bakat mereka. Kesemua yang berpeluang beraksi telah melalui fasa ‘live QR voting’ yang diundi oleh hadirin dan pemenang bagi undian ini juga akan beraksi di pentas Hausboom Music Festibal 2024. 

Selain itu, turut dianjurkan Hausboom Lokal Fest iaitu sebuah acara dimana terdapat 110 peniaga tempatan yang merangkumi 40 jenama streetwear terkenal di Malaysia termasuklah SVG, Hikari, Tntco, The Capcity, Asly, Homebois dan 40 ‘thrift stores’ yang bakal dihimpun pada festival tersebut. Inisiatif ini adalah sebahagian dari usaha untuk memartabatkan jenama tempatan, streetwear Malaysia dimana kebanyakannya pernah berkolaborasi bersama Hausboom, sekaligus menjadi platform untuk jenama-jenama ini mencerminkan kekayaan budaya Malaysia yang disulami gaya kontemporari urban masakini.

Sejumlah 100,000 Hausboom Sparkling Juice dengan label edisi terhad akan diperkenalkan pada hari yang sama sebagai daya tarikan. Kemeriahan jualan makanan oleh 30 peniaga makanan juga menjadi pelengkap festival yang melibatkan Kampong Kravers, Muiz Hot Chicken Grill Haven Beard Brothers, Roti Wap dan banyak lagi. Variasi komposit muzik dan perniagaan termpatan ini merupakan antara faktor utama pemilihan tema ‘Colours of Life’ dengan harapan ianya memberi pengalaman luarbiasa bukan hanya dari sudut muzik namun meliputi keseluruhan festival kepada pengunjung kelak. 

Tahun ini, Hotlink selaku pembekal telekomunikasi terkemuka telah bekerjasama dengan Hausboom untuk menyokong industri muzik tempatan dan menawarkan pengalaman unik di lokasi. Dengan rangkaian 5G Hotlink, pengguna boleh menikmati penstriman tanpa gangguan untuk semua senarai ‘playlist’ mereka di mana-mana, bila-bila masa.

Jualan tiket untuk Hausboom Music Festival 2024 kini telah dibuka. Tiket boleh dibeli dalam talian di https://sayalive.io/hbm2024 dan akan layak untuk memasuki kedua-dua Hausboom Music Festival 2024 dan Hausboom Lokal Fest 2024. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada festival unik ini!