Jom Gamit Rendisi Nostalgia Di Konsert Dato' Jamal Abdillah 'Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura'

oleh: zizi hashim

"Kenapa mesti hadir? Kerana ia bakal menjadi sebuah kenangan terbaik yang akan diberi lalu dinikmati bersama-sama pada awal tahun 2025 nanti." kata-kata Dato' Jamal Abdillah itu disertai perasaan berdebar yang selalu hadir namun perasaan itu 'terbunuh' dengan rasa keterujaan yang lebih besar buat Dato' Jamal Abdillah menyambut kehadiran peminat setia yang selama ini menjadi tulang belakang disepanjang perjalanan kariernya sejak berabad lama. "Sudah tentu konsert istimewa ini akan menjadi rangkaian siri persembahan berskala besar dari saya sekali lagi sebagai penghibur namun peminat akan melihat dan menikmati rendisi lagu-lagu bersifat nostalgia yang disampaikan dalam suasana baharu." sambungnya lagi.

"Sementelah ini adalah pertama kali Jamal Abdillah beraksi di panggung Zepp Kuala Lumpur secara solo dalam suasana yang lebih intim, pastinya akan mencipta momen tersendiri buat penghibur kesayangan ramai ini dan peminatnya." ujar Edy J selaku wakil dari pihak penganjur iaitu Live Injection ketika ditemui pada sidang media pengumuman konsert yang bertempat di Cafe Ruema pada 29 Oktober 2024 baru-baru ini. "Selaku penganjur, kami di Live Injection dan NJ Resources sentiasa melihat kualiti dan jenama seorang penghibur bersuara emas iaitu Dato' Jamal Abdillah tidak akan pernah pudar selagi beliau berada dalam industri seni tempatan." 

Untuk makluman, konsert Dato' Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura yang direncanakan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Februari 2025 dianjurkan bersama oleh Live Injection dan NJ Resources. Ia akan menjadi konsert solo perdana Jamal Abdillah pada tahun 2025 sekaligus membuktikan kewujudannya dalam belantika muzik masih relevan dan sentiasa dilihat mampu menawan hati peminat. Kredibiliti dan portfolio menjayakan ribuan persembahan berskala besar dan kecil sejak lebih 40 tahun bergelar penghibur bukan alasan untuk Dato' Jamal Abdillah berhenti beraksi di atas panggung.

Mengusung nama yang cukup ikonik di bawah 'kain rentang' konsert kali ini iaitu judul lagu hits beliau, "Sandarkan Pada Kenangan" dan "Azura", penganjur percaya dengan daya tarikan magnet penyanyi bersuara emas yang dimiliki Jamal Abdillah pasti akan terpancar membuat ruang Zepp Kuala Lumpur pecah panggung. Setiap pengalaman yang diperoleh melalui seluruh penampilan yang pernah dihadirkan selalu diambil dan disatukan untuk persembahan lain yang penuh energi dan semakin matang. Justeru itu, tidak hairanlah apabila penghibur berusia 65 tahun tersebut bakal muncul dengan 'Konsert Dato Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura', kerana ianya amat dinanti-nantikan.

“Kami percaya dengan semua pengalaman, pesona dan untaian lagu hits yang telah dirakamkan Jamal Abdillah sejak awal pembabitan sehingga kini, penganjuran Konsert Dato' Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura akan menjadi sebuah pertemuan penuh nostalgia buat peminat." tutur Edy J itu disahut pula oleh Dato' Jamal Abdillah sambil melempar senyuman, berkata “Harapan saya peminat yang tahu mengenai penganjuran Konsert Dato' Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura di Zepp Kuala Lumpur, 15 Februari 2025 datang beramai-ramai ke konsert ini ya!" ujarnya penuh harapan.

Berbekalkan lagu-lagu nostalgia yang cukup pekat di ingatan dan sing-along seperti hits pujaan ramai "Penghujung Rindu", "Gadis Melayu", "Kekasih Awal Dan Akhir", "Sepi Seorang Perindu", "Di Sudut Kamar Hatiku" dan banyak lagi dalam senarai katalog muzikalnya, Jamal Abdillah tidak memerlukan lebih banyak bukti untuk dijadikan daya penarik ke konsert tersebut. Meski sudah ribuan kali Jamal Abdillah membuat persembahan, bukan bermaksud beliau boleh sambil lewa dan berasa tanggungjawab yang diberikan penganjur sesuatu yang ‘ringan’ hanya kerana telah memiliki segudang pengalaman. Sebaliknya, setiap kali dilamar terbabit dalam persembahan apalagi berskala besar seperti Konsert Dato Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura ini, beliau akan sentiasa ‘melakukan kerja sekolah’ demi menhadirkan persembahan terbaik.

Lebih istimewa lagi, para peminat dan pengikut setia Dato’ Jamal Abdillah diminta hadir ke Zepp Kuala Lumpur pada malam itu nanti dengan berpakaian era 80’an kerana itu adalah tema konsep pakaian yang ditetapkan untuk konsert. Semoga kita semua hadir bukan hanya dengan memori zaman 80an tetapi juga jiwa segar di tahun-tahun itu.

Untuk mengetahui keunikan dan kelainan yang bakal ditonjolkan pada Konsert Dato' Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura ini, peminat boleh membeli tiket pada kategori berbeza bermula harga RM 360 (CAT 04), RM 380 (CAT 03), RM 340 (CAT 2), RM395 (CAT 1), RM7,500 (VIP BOX- 8 orang). Pembelian boleh dibuat melalui atas talian menerusi TICKET2U.COM.Dan untukmaklumat lanjut, sila layari www.live-injection.com atau email hello@live-injection.com.