JHEV ATM Prihatin Kebajikan Wira Negara: Anjur Malam Amal Tabung Pahlawan 2024

Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang bakal diadakan pada 24 September 2024 di Dewan Perkasa Wisma Perwira ATM bermula jam 8 malam sehingga 10.30 malam. Malam Amal Tabung Pahlawan 2024 yang mengangkat tema 'Meraikan Bintang, Metamorfosis Hadapan' sekali lagi akan menjadi medan buat jasa, pengorbanan dan bakti para veteran ATM yang pernah menjaga keamanan serta kemakmuran negara diraikan.

Iktikad untuk terus menjadi sebuah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) melalui Yayasan Veteran ATM yang sentiasa ada menghulur bantuan buat para wira dan wirawati negara sesuai slogan yang dipegang selama ini, Memperkasa Veteran Tanggungjawab Bersama, JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM kembali dengan acara tahunan mereka.

Masih sama seperti penganjuran tahun-tahun sebelumnya, objektif Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 ini ialah untuk menyalur serta menyampaikan sumbangan kepada yang layak pada masa yang sama turut diraikan dalam suasana hangat apabila penyanyi jemputan menghiburkan tetamu yang dihormati.

Majlis Makan Malam Amal ini juga akan disulami dengan Pelancaran Kad Veteran Digital yang akan dirasmikan oleh YABhg Dato' Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail. Selaras dengan era transformasi digital dan kesedaran mengenai kepentingan pembudayaan pendigitalan dalam memacu ke arah organisasi berprestasi tinggi, JHEV ATM berhasrat untuk melaksanakan transformasi kad veteran ATM manual (kad plastik) kepada Kad Veteran Digital dengan pelbagai fungsi yang memberikan kebaikan dan faedah kepada keseluruhan warga veteran ATM.

Inisiatif ini masih dalam proses pembangunan dan dijangka akan diperkenalkan kepada para veteran ATM pada pelancaran Majlis Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan (KTP) pada 24 September 2024. Kad veteran digital akan dipaparkan dalam aplikasi mudah alih Veteran Integrated Benefit System (VIBES) 2.0.

“JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM sangat berbesar hati kerana sekali lagi dapat melaksanakan penganjuran tahunan kami iaitu Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang. Majlis ini bertujuan bukan hanya untuk menyampaikan sumbangan dan menghargai pengorbanan serta bakti para Veteran ATM tetapi akan menjadi medan merapatkan silaturahim semua wira dan wirawati yang pernah berjuang mempertahankan negara dan mencapai keamanan yang kita nikmati sekarang. Semua sumbangan yang diperoleh akan diagihkan kepada veteran ATM yang memerlukan sekaligus membantu mereka berjuang meneruskan kelangsungan hidup.” kata Mejar Jeneral Dato' Zambery Jefry bin Haji Darus, Ketua Pengarah JHEV.

Bersama sumbangan yang akan disalurkan, pihak JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM juga menyuntik suasana makan malam dengan sedikit hiburan demi meraikan sekitar 700 tetamu yang diundang. Sepanjang penubuhan, JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM aktif mengumpul dana untuk tabung kecemasan bagi menyantuni para pejuang yang memerlukan yang mungkin tidak mendapat bantuan kerajaan dalam keadaan tertentu.

Dua bintang tersohor negara iaitu Datuk Jamal Abdillah dan Liza Hanim bakal menghiburkan dan menyantuni para veteran ATM dengan alunan merdu vokal mereka. Liza Hanim menzahirkan rasa terharu kerana bakal menghiburkan tetamu yang begitu istimewa bukan buat dirinya tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

“Tentu saja saya dengan senang hati bersetuju untuk melakukan persembahan Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024. Mereka adalah bintang yang tidak akan pernah terpadam sinarnya kerana jasa, bakti serta pengorbanan yang diberikan kepada negara juga tidak akan terpadam. Untuk itu saya sangat berbesar hati menghiburkan para veteran ATM yang akan menghadiri majlis makan malam ini nanti. Harapan saya juga agar pihak penganjur meneruskan inisiatif serta usaha murni ini demi menjaga dan prihatin terhadap kelangsungan hidup para pejuang negara ini.” ujar Liza Hanim.

Antara inisiatif Kutipan Tabung Pahlawan yang dilaksanakan adalah melalui surat-surat yang dihantar kepada syarikat dan rakan strategik, program-program Kempen Tabung Pahlawan, tabung yang diletakan di beberapa BHPetrol dan Jabatan/Kementerian dan juga sumbangan atas talian serta beberapa inisiatif lain.

Untuk Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 yang bakal berlangsung pada 24 September 2024 ini, sebanyak tiga jenis kategori meja dijual. Kategori meja yang dijual adalah 10 Perkasa bernilai RM50,000, 20 Perwira (RM20,000) dan 20 Pahlawan berharga RM10,000.

Sebarang keterangan lanjut hubungi pihak sekreteriat Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 di talian 019 6576 127 (Adawiyah), 012 7398586 (Nur Indra Dini) atau emel ke sekreteriatTabungPahlawan@gmail.com.