Jalinan Seni 2 Penghibur Nusantara Judika Dan Dato' Sri Siti Nurhaliza

oleh: zizi hashim

Dengan bangganya, Universe Gateway selaku pihak penganjur mempersembahkan keunggulan kolaborasi perdana 2 figura tersohor dunia hiburan dari 2 negara serumpun dengan 2 pesona tersendiri siap untuk memukau sebagai penghibur dalam konsert julungkali berjudul 'The Journey of Sound'. Bakal menggegarkan peminat di seluruh nusantara, kedua-duanya mempunyai magis tersendiri yang telah membawa kebahagiaan buat peminat lewat karya ciptaan dan nyanyian sepanjang lebih 20 tahun berkecimpung sebagai penyanyi. 2 figura hebat ini adalah puspawati Malaysia, Dato' Sri Siti Nurhaliza dan pemilik vokal lelaki mantap dari Indonesia, Judika.

Bakal bertemu peminat di Stadium Merdeka pada 14 Disember 2024, 'The Journey of Sound' membawa harapan besar daripada penganjur yang mahu konsert ini menjadi penanda aras dan sekaligus penutup tahun 2024 dengan objektif melestarikan ‘persahabatan’ 2 negara menerusi bidang hiburan. Lebih daripada itu, nama 'The Journey of Sound' juga digunakan bersempena dengan perjalanan karier dan jatuh bangun sepanjang 2 anak seni berkaliber ini mencetak sejarah dalam dunia hiburan.

Berbekalkan pengalaman 28 tahun sebagai penghibur, Dato' Sri Siti Nurhaliza telah melakar pelbagai sejarah dan pengiktirafan serta membawa Malaysia dikenali dunia sementara Judika atau nama sebenarnya, Judika Nalon Abadi Sihotang telah bergelumang serta terus sukses di usia 20 tahun pembabitan bakal menjadikan 'The Journey of Sound' ini sebuah konsert yang rugi jika dilepaskan. Impian kedua-duanya untuk bergabung tenaga akhirnya terlaksana apabila pihak penganjur merealisasikan impian itu. Judika turut melahirkan keterujaan dan berbesar hati untuk berkolaborasi dengan penyanyi yang disegani dan dihormati, tentu sahaja tiada alasan untuk menolak berkongsi satu pentas bersama.

"Ketika pihak penganjur hubungi saya untuk mempelawa kolaborasi konsert bersama Dato' Sri Siti, saya tiada kata lain apabila dengar namanya. Terus saya bersetuju tanpa menunggu lama. Saya sangat gembira kerana ini salah satu impian saya dari dahulu, akhirnya tercapai. Syukur alhamdulillah. Saya menyifatkan konsert ini sebagai 'konsert balas dendam' kerana sebelum ini saya hanya jadi penyanyi undangan di konsert Dato' Sri Siti, kali ini betul-betul konsert khas kami berdua. Kami boleh nyanyi sepuas-puasnya." bicara Judika dalam nada teruja, penuh bersemangat.

Sementara itu, Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin berkata, dia dan Judika menjanjikan bakal menyajikan persembahan yang menarik serta memukau kepada penonton yang hadir. "Saya sudah pernah bekerjasama dengan Judika untuk konsert saya yang sebelum ini, rasanya tiada masalah. Sangat mudah bekerja dengan dia, senang sebab bagi apa sahaja lagu dia boleh bawa. Mengadakan konsert di Stadium Merdeka selepas sekian lama, saya berasa sangat teruja. Saya harap tiket akan habis terjual, Judika ada peminat yang luarbiasa dan saya percaya dengan peminat saya juga. Kami tidak akan mengecewakan peminat kami yang datang."

Dalam pada itu, Isa yang merupakan Ketua Pegawai Kewangan daripada Universe Gateaway berkata, “Kami di Universe Gateway sangat berbesar hati menganjurkan 'The Journey of Sound' yang menampilkan kolaborasi 2 figura hebat dunia hiburan nusantara iaitu Dato' Sri Siti Nurhaliza dan Judika di Stadium Merdeka pada 14 Disember 2024 ini. Mungkin khalayak sudah pernah menonton Siti Nurhaliza dan Judika berduet atau satu pentas sebelum ini tapi percayalah 'The Journey of Sound' akan menjadi panggung yang menyaksikan mereka mempersembahkan sesuatu yang di luar jangkaan anda. The Journey of Sound akan menjadi konsert mega daripada 2 penyanyi daripada negara berbeza namun dengan tujuan sama iaitu mengukuh dan mengeratkan silaturahim peminat muzik di Nusantara. “The Journey of Sound akan dipenuhi warna warni perjalanan seni dan ‘bunyi’ muzik yang telah mengharumkan nama Siti Nurhaliza dan Judika sepanjang perjalanan seni mereka.” tambah Isa lagi. 

“Saya tidak boleh menjanjikan bulan dan bintang tetapi percayalah anda akan menikmati sebuah pengalaman luar biasa di 'The Journey of Sound' bukan hanya kerana saya dan Siti Nurhaliza selaku subjek utama tetapi bagaimana keseluruhan produksi konsert ini mempersembahkan konsep yang spektakular untuk ditonton.” ujar Judika menutup bicara ketika ditemui pada sidang media yang bertempat di St Giles Boulevard pada 10 Oktober 2024 baru-baru ini.

Untuk itu, buat peminat Siti Nurhaliza dan Judika jangan sampai terlepas membeli tiket-tiket dengan harga kategori bermula RM 199 (CAT 5), RM 299 (CAT 4), RM 399 (CAT 3 LOWER / UPPER), RM 499 (SEAT 3), RM 599 (SEAT 2), RM 699 (SEAT 1), RM 799 (ROCKZONE), RM 799 (VIP ROYAL BOX), RM 899 (VIP ROCK ZONE), RM 1,199 (VIP), RM 1,299 (SUPER VIP). Penjualan tiket dibuka bermula 12 Oktober 2024 dengan pembelian EARLY BIRD akan berlansung daripada minggu pertama sehingga ketiga. Kesemua kategori tiket boleh dibeli menerusi www.ticket2u.com.my