oleh: zizi hashim
Cuba bayangkan ketika sedang santai meronda di sekitar Bukit Bintang di waktu petang usai pulang kerja, entah kenapa tiba-tiba terjumpa ramai orang berkumpul, hanya untuk mengetahui bahawa Nidji sedang buat konsert mini percuma secara 'busking' untuk semua orang di segitiga paling ikonik Kuala Lumpur. Paling gembira tentunya Nidjiholic Malaysia yang bukan sahaja terkejut malahan terharu apabila band legenda dari Jakarta Indonesia itu muncul mendadak untuk kejutan paling nyaman, apatah lagi tidak lokek menghadiahkan konsert mini percuma. Band dengan 6 line-up itu memainkan beberapa lagu hits mereka yang menjadi kegilaan ramai, termasuk "Hapus Aku", "Laskar Pelangi", "Biarlah" dan lagu wajib "Sumpah Dan Cinta Matiku".
Seluruh Bukit Bintang bergema "Cinta ‘kan selalu abadi, walau takdir tak pasti. Kau selalu di hati, cinta matiku..." pada malam 4 November 2024 baru-baru ini mencipta gelombang luarbiasa yang tidak disangka-sangka. Bahkan, Nidji sendiri turut terkejut melihat kemeriahan para peminat yang membanjiri kotaraya Kuala Lumpur. Pada laungan 'tidak percaya' Nidji melahirkan rasa kagum "Kuala Lumpur!!! Kamu semua benar-benar luarbiasa!!!" Orang ramai begitu teruja dapat melihat konsert Nidji secara percuma namun tidak kurang juga yang meluahkan rasa kecewa kerana tidak mengetahui langsung tentang persembahan bonus Nidji ini.
Pastinya ramai tertanya-tanya mengapa Nidji tiba-tiba datang singgah ke Bukit Bintang, kan? Konsert mini istimewa itu sebenarnya menjadi pra-tonton khas dalam rangka promosi sempena mewarwarkan tentang konsert solo pertama Nidji yang julung kali akan diadakan di Kuala Lumpur tahun hadapan. Pada malam yang menyeronokkan itu, pemenang Anugerah Muzik Indonesia mengumumkan mereka akan mengadakan konsert di Axiata Arena pada bulan 2 Februari 2025, dengan tiket akan dijual bermula pada 8 November 2024 di www.ilassotickets.com.
Kalau rasa tak puas dan hendak ‘layan’ lebih lama nyanyian dari Nidji, jom beli tiket 'Konsert Nidji 2.3: The New Chapter' dan ramai-ramai kasi gegar Axiata Arena berjemaah, sing-along setlist lagu-lagu hits lain yang rasanya juga sudah hafal teruk seperti "Selalu Menjagamu", "Rahasia Hati", "Indahnya Cinta" dan banyak lagi. Nidji yang memberi maksud 'Pelangi' petikan dari bahasa Jepun membawakan konsep muzik Alternatif Rock yang banyak dipengaruhi oleh Coldplay dan The Killers khususnya. Tertubuh pada tahun 2002, telah mengalami pertukaran line-up di posisi vokal dimana Ubay telah menggantikan Giring, sesuai dengan introduksi fasa 'New Chapter' yang dibawakan pada konsert mendatang.
Terdahulu, petang itu sebelum rombongan Nidji naik MRT beramai-ramai dari stesen Bukit Nanas menuju ke Bukit Bintang, telah berlangsung sidang media pengumuman Konsert Nidji 2.3: The New Chapter bertempat di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur. Fasa 'Babak Terbaru' Nidji kini dibarisi Yusuf Ubay (vokal), Andi Ariel Harsya (gitar), Ramadhista Akbar (gitar), Andro Regantoro (bass), Randy Danistha (kibod) dan Adri Prakarsa (dram) kelihatan begitu teruja dan tidak sabar untuk bertemu dengan Nidjiholic Malaysia. Melewati usia 2 dekad berada dalam belantika muzik Indonesia, Nidji masih teguh berdiri dan mencuri perhatian peminat generasi baharu dengan cara yang tersendiri.
Lagu paling fenomena di aplikasi Tiktok "Sumpah Dan Cinta Matiku" merupakan runut bunyi filem 'Tenggelamnya Kapal VanDer Wijck' pada tahun 2013, telah melambungkan kembali nama Nidji yang kini menjalani karier muzik dalam radar dan fasa baharu. Sudah bersedia untuk persembahan berskala besar, tentunya ini sebuah pembuktian kasih sayang selama 23 tahun keberadaan Nidji untuk dihadiahkan kepada para peminat sempena ulang tahun ke 23 Nidji dalam industri dan akan muncul dengan album baru pada bulan November ini tidak lama lagi.
Dibawakan oleh MND Sport & Event, Konsert Nidji 2.3: The New Chapter ini akan menjadi konsert pembuka tahun 2025 yang 'lebih dari berbaloi' untuk ditonton bukan hanya kerana terkenal dengan sebuah lagu sahaja tetapi kredibiliti Nidji sebagai kugiran hebat yang telah menawan hati peminat muzik Nusantara selama lebih 25 tahun penubuhannya. Daniel Harith dari MND Sport & Event selaku penganjur berkata, "Tercetusnya idea untuk menganjurkan konsert solo pertama Nidji ini adalah selepas melihat mereka banyak terbabit dalam festival atau berkongsi pentas dengan rakan pemuzik lain di Malaysia. Setiap persembahan mereka tidak pernah gagal mendapat sambutan hangat yang luarbiasa. Atas sebab itu, kami percaya dengan kekuatan yang ada pada Nidji dan akan menoreh sejarah tersendiri."
Sementara itu, bagi Nidji sendiri, peluang beraksi secara solo dalam konsert berskala besar di Malaysia akan menjadi momen terbaik sekaligus mengembalikan nostalgia buat mereka. “Setelah lebih bertahun-tahun Nidji tidak tampil dalam konsert solo, kesempatan yang diberikan MND Event & Sport lewat Nidji 2.3: The New Chapter kami terima dengan tangan terbuka. Nidji 2.3: The New Chapter akan menjadi medan peminat lama dan generasi baharu mengenali serta menikmati karya Nidji dengan lebih intim."
“Teka-teki tentang bagaimana konsert ini bakal terlaksana nanti, itu kena make sure hadirlah ke konsert ya! Yang pasti kalian akan menyaksikan persembahan penuh energetik yang sudah mengalir dalam darah Nidji kelak.” ujar Nidji penuh antusias. Tiket-tiket dengan harga bermula CAT 1 (RM168), CAT 2 (RM108), VIP (RM258), GENERAL ADMISSION (RM158), MEET & GREET PASS (RM198) boleh dibeli menerusi www.ilassotickets.com Jualan tiket telah pun bermula pada Jumaat 8hb November 2024 dan diberitakan telah terjual 50% dalam masa 25 minit. Sekiranya anda adalah salah seorang dari Nidjiholic Malaysia, konsert 'NIDJI 2.3: THE NEW CHAPTER' adalah konsert wajib tonton pada awal tahun 2025 nanti. Jumpa anda di Axiata Arena pada tanggal 2 Februari 2025 nanti!