oleh: zizi hashim
Konsert 'Kotak Muzik Kita' yang diadakan di Galasa Caldwell, Ipoh pada tahun lalu telah melakar kejayaan tersendiri, begitu juga halnya dengan siri jelajah 'Pentas Healing' bersama komuniti Gamon Society ke Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka. Justeru kejayaan itu, pihak penganjur Fuse Creative Digital Media dengan berbesar hatinya ingin mempersembahkan pula sebuah acara muzik yang bakal diadakan pada 9 November 2024 di Ipoh Convention Centre, Ipoh Perak, diberi gelar 'Asmara Loka 2024'.
Dengan membariskan senarai nama artis terkenal tanahair seperti 6ixthSense, Insomniacks, DramaBand dan Aizat Amdan, Fuse Creative Digital Media berhasrat untuk menjadikan 'Asmara Loka 2024' sebagai satu acara muzik yang membawa konsep intimasi indoor dan eksklusif, buat penggemar muzik tanahair terutama sekali yang meminati dan mengikuti manifestasi trend muzik “Galau” dan “Healing” yang semakin trending di media sosial seperti Tiktok, Facebook dan Instagram, khususnya di kalangan generasi muda penggemar muzik tanahair.
Bersempena dengan kempen Tourism Perak iaitu Travel to Perak 2024, 'Asmara Loka 2024' juga merupakan antara inisiatif untuk mempromosikan bandar Ipoh yang telah mendapat pengiktirafan daripada UNESCO sebagai Bandar Muzik Kreatif (Creative City of Music). Sehubungan itu, dengan penganjuran acara 'Asmara Loka 2024' ini sedikit sebanyak dapat menarik minat belia dari seluruh negara untuk berkunjung ke Perak, atas tujuan berhibur sekaligus melawat tempat-tempat menarik yang popular terletak di Perak.
Menurut Syahril Husny atau lebih mesra dikenali dengan panggilan Aril selaku Pengarah Projek 'Asmara Loka 2024', adalah signifikan bagi acara ini dilaksanakan dan dijayakan oleh semua pihak. “Saya sebagai wakil daripada FUSE berharap Asmara Loka 2024 bukan sahaja menjadi platform untuk memperkenalkan bakat-bakat hebat tanahair, tetapi juga sebagai satu titik pertemuan bagi penggemar muzik yang menghargai dan menikmati trend muzik semasa. Kami yakin acara ini akan menjadi mercu tanda dalam kalendar acara muzik Malaysia dan membawa impak positif kepada industri pelancongan dan ekonomi setempat.” ujarnya penuh yakin.
Jualan tiket atas talian telah bermula pada 6 Ogos 2024 yang lalu di laman sesawang www.ticket2u.com.my dengan 2 kategori iaitu, RM98 bagi tiket ZONA PATAH HATI dan RM128 bagi tiket ZONA MATI RASA. 60% tiket telah terjual setakat ini. Atas permintaan ramai di kalangan komuniti, kini tiket combo diperkenalkan untuk kategori ZONA PATAH HATI: “Tiket Duo” dengan harga RM226 untuk 2 orang dan “Tiket Kumpulan” dengan harga RM432 untuk 4 orang yang akan bermula dijual pada 11 October 2024. *Harga tidak termasuk caj pemprosesan.