oleh: zizi hashim
Kejutan apa lagi yang bakal tercipta kali ini? Tentunya kejutan lebih seronok dalam progresi kembara muzikal Cromok sebenar sejak ditubuhkan pada 36 tahun lamanya, disifatkan sebagai 'bukan biasa biasa' oleh Khairul Anuar Shariff atau lebih sohor dikenali dengan nama Karl Cromok. Ditemui pada petang 23 September 2024 di sidang media pengumuman Konsert The Real Cromok bertempat di Common Ground Jaya One, Karl berkata "Inilah dia Cromok yang sebenar, kalau nak tahu. Memang sangat rare untuk melihat gandingan ini berlaku di mana-mana konsert. Tidak pernah terbayangkan tetapi ianya adalah signifikan bagi perjalanan Cromok yang tertubuh di Australia sewaktu kami semua masih menuntut di University of Wollongong, New South Wales."
“Cuba bayangkan ini... 4 gitaris beradu kekuatan dari segi teknikal, teori, skills dan kepakaran masing-masing di atas satu pentas, bermain serentak secara sekaligus. Sudah tentu ketara bahawa ini bukan konsert biasa kan? Pastinya akan dipenuhi dengan kejutan. Apa saja kemungkinan boleh berlaku. Apapun itu, percayalah The Real Cromok akan melakar sejarahnya yang tersendiri.” tuturnya lagi penuh teruja. Sebagai salah seorang dari anggota terawal Cromok, Karl berkata konsert itu nanti bakal menjadi sebuah malam bersejarah, bukan saja buat Cromok, tetapi juga buat para peminat yang mengikuti perjalanan band ini mencipta fenomena seawal album sulung, Image of Purity yang dirilis pada 1991 dengan karya seklasik Journey dan Metallurgical.
Turut setia menemani Karl pada petang itu pemain bass Cromok iaitu Sam atau nama sebenar Shamsudin Ali, menyifatkan Konsert The Real Cromok ini sebagai sebuah persembahan ikonik kerana penampilan istimewa Hillary Ang dan Man Keedal yang juga merupakan salah satu gimik kejutan dan daya tarik utama pada masa yang sama. Sam juga merupakan salah seorang pengasas bersama pemain dram, Allahyarham Tarmizi Mokhtar atau Miji yang meninggal dunia pada bulan Mac lalu dan seorang lagi pengasas, Allahyarham Muhammad Khairuddin atau Din yang lebih dulu keluar daripada Cromok telah meninggal dunia pada tahun 1997.
Sememangnya telah lama dinantikan, terutama sekali kembalinya Hillary yang pernah menggantikan Karl pada tahun 1999 dan sempat merakam 4 album studio bersama Cromok, seawal album Mean, Meaner, Meanest. Reformasi semula bersama Hillary selepas 24 tahun untuk kemunculan istimewa dalam Konsert The Real Cromok ini diibaratkan sirih pulang ke gagang. Pastinya akan mengubati kerinduan peminat, apatah lagi dengan gandingan ikonik julung kali 'Karl-Hillary-ManKeedal' yang bakal menghadiahkan momen bersejarah tersendiri. Ini kerana Man Keedal tidak pernah berkesempatan bermain secara live bersama Cromok sejak merakamkan gitar solo untuk lagu "Misery" yang dimuatkan dalam Forever in Time pada tahun 1993.
Konsert anjuran Pointlink Ventures ini direncanakan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Disember 2024 nanti. Ini adalah penampilan pertama band thrash heavy metal yang juga peneraju muzik fusion menggabungkan muzik tradisional dan heavy metal diberi gelar “thrashditional” bersama 2 gitaris terkenal di Malaysia itu. Konsert The Real Cromox akan diiringi Apis Cropox (dram), Shah Sidious (gitar) dan Archer (keyboard). Disokong oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd, konsert ini mendapat penajaan Sudoku Drums & Keyboards, JL Guitars, The Guitar Store, Cort Guitars, NEO In-Ear Monitors, HOT Kambing dan Gama Rock House, bersama Mewah Event Management, Karl Legacy dan MyArteez sebagai rakan strategik.
Sambil mengajak penonton menyingkap perjalanan band dalam persembahan berdurasi selama 2 jam itu, Karl yang menyertai Cromok semula pada tahun 2012, berkata akan ada lagu baru diperdengarkan selepas album studio terakhir mereka, Untitled pada 2004. “Sebagai tambahan kepada tidak kurang 18 judul yang dipersiapkan untuk konsert itu, ada lagu baharu yang akan turut dipersembahkan, buat kali pertama, secara live. Bagi mengenang Allahyarham Miji dan Din, ada segmen khas dirancang sebagai tribute kepada mereka."
“Konsert ini akan memutar balik masa, membawa penonton menyelami kembara 36 tahun Cromok yang bermula di sirkit underground Australia. Justeru, pertemuan ini harus diraikan,” katanya yang turut mengumumkan 3 buah gitar tajaan Cort Guitars daripada The Guitar Store, lengkap ditandatangani empat gitaris legenda bagi cabutan bertuah untuk pembeli tiket.
Tiket Early Bird (Berdiri) RM168 dijual bermula jam 8 malam, 27 September ini dan dibuka sehingga 10 Oktober ini. Tiket normal bermula pada harga RM188 (Berdiri), serta RM288 dan RM338 (Duduk). Manakala Royal Box ditawarkan pada harga RM888 seorang, termasuk sesi Meet & Greet dan pemberian cenderahati, antaranya baju-T eksklusif The Real Cromok. Pembelian tiket boleh dibuat menerusi www.therealcromok.com atau hubungi hotline +601113297822 (whatsapp).
Juga dilancarkan serentak, penjualan produk eksklusif The Real Cromok, termasuk baju-T dan hoodie. Untuk pembelian, sila muat turun aplikasi MyArteez di Apple Store dan Play Store bagi mendapat jaminan produk tulen. Dibuka kepada semua kategori tiket, ia turut menawarkan hadiah berupa 2 pakej penginapan 2H/1M di Hard Rock Hotel, Penang, selain satu pakej di Hard Rock Hotel, Desaru. Seramai 15 pemegang tiket bertuah juga berpeluang menyertai sesi Meet & Greet di Studio Cromok pada tarikh yang akan ditentukan kelak.