Impian Bollywood Kilafairy Tercapai, Sertai Konsert Udit Narayan

oleh: zizi hashim

Pemilik nama asal Syakila Nisha Jangir Khan, atau Kilafairy punya banyak sebab untuk berasa teruja dan berbangga selepas dipilih berkongsi satu panggung bersama ikon muzik Bollywood, Udit Narayan menerusi 'Konsert Udit Narayan In KL' pada 28 Disember 2024 ini. Puteri kepada penyanyi Allahyarham Rohana Jalil ini menjadi satu-satunya penyanyi wanita Malaysia yang terlibat dalam konsert berskala besar di Mega StarArena Kuala Lumpur. Dalam industri muzik yang penuh cabaran, setiap pencapaian istimewa mempunyai cerita tersendiri, begitu juga halnya dengan Kilafairy yang kini berada di ambang pengalaman muzikal mengubah landskap kerjayanya.

Bagi Kilafairy, 32, peluang ini lebih bermakna dari sekadar persembahan. Ia adalah satu penghormatan kepada memori arwah ibunya, Allahyarham Rohana Jalil. "Saya mahu arwah ibu menjadi saksi pencapaian epik ini." katanya dengan penuh emosi, mencerminkan betapa pentingnya pencapaian ini dalam konteks peribadi. "Jika arwah ibu masih hidup pasti dia bangga.” Konsert Udit Narayan In KL pada 28 Disember ini bukan sekadar satu acara biasa, malah merupakan titik penting dalam perjalanan artistik Kilafairy. "Peluang keemasan ini umpama mimpi menjadi kenyataan. Udit Narayan ada figura yang sangat istimewa. Saya meminati Udit kerana saya peminat tegar Shah Rukh Khan dan kebanyakan lagu yang didendangkan SRK dalam filem adalah vokal Udit."

“Jadi apabila dilamar untuk terbabit dengan Konsert Udit Narayan In KL, saya terkejut, tidak percaya, gemuruh dan takut kerana akan berkongsi pentas dengan seorang ikon. Dalam masa yang sama, saya juga bangga kerana ini merupakan penglibatan sulung saya dalam konsert Bollywood berskala besar, apa lagi membabitkan pesohor Udit Narayan.” pengakuan jujur Kilafairy mendedahkan satu spektrum emosi: kejutan, ketakjuban, kegembiraan, dan sedikit rasa gentar. VVST Digital Creation tidak sembarangan memilih Kilafairy. Kepakaran dalam menyanyikan lagu-lagu Bollywood telah menjadi kriteria utama pemilihannya. Kemahirannya dalam menghidupkan melodi Bollywood telah membuka pintu ke pentas yang lebih tinggi.

Merangkum perjalanan panjang seorang artis yang tidak pernah berputus asa, yang terus percaya akan potensi diri, Kilafairy kini giat menjalani latihan vokal mededahkan akan membawakan sebuah lagu solo dan 2 buah lagu duet bersama penyanyi Syamel. "Mendalami lenggok nyanyian Hindustan perlu penghayatan yang sangat berbeza dengan lagu Melayu. Ia penting malah lagu Tamil dan Hindi juga punya lenggok berbeza.” katanya. Sejak usia 8 tahun, Kilafairy telah mencelup diri dalam lautan muzikal filem Bollywood, membina ikatan yang kuat dengan warisan budaya ini. "Karya Bollywood sudah seperti menjadi satu tradisi dalam keluarga sejak saya kecil. Saya juga belajar ‘permainan’ emosi dalam dunia lakonan menerusi filem Bollywood. Saya suka bagaimana karektor diterjemahkan dan instrumen serta bunyi-bunyian dalam naskhah Bollywood."

Filem "Khabi Khushi Khabi Gham" adalah dokumen emosi keluarga Kilafairy. Mereka menonton filem tersebut sebanyak 5 kali dengan setiap tontonan meninggalkan kesan mendalam yang sentiasa mampu mencetuskan air mata. "Arwah ibu saya sangat meminati lagu "Khushiyan Aur Gham" dari filem Mann." ungkapnya dengan penuh emosi. "Dan saya sendiri terlalu mengkagumi karya Udit Narayan, terutamanya dari filem seperti Devdas, Mann, dan Taal. Setiap lagu yang dibawakan sentiasa menusuk jiwa." 

Menaruh harapan agar Konsert Udit Narayan In KL berjalan lancar, Kilafairy juga mendedahkan akan tampil dengan kostum bertemakan Bollywood. "Saya akan memakai busana daripada pereka Shanell Harun. Tema Bollywood akan dipelihara namun tetap dalam kerangka kesederhanaan dan elegansi," katanya penuh yakin. Kisah Kilafairy adalah simfoni yang menggabungkan kenangan keluarga, passion peribadi, dan bakat semula jadi ke dalam satu persembahan yang diharapkan akan menggetarkan jiwa penonton. Konsert Udit Narayan akan membawa para peminat lagu Hindustan ke zaman kegemilangan industri filem dan lagu Bollywood iaitu era 90-an sehinggalah ke hari ini. Oleh itu, jangan sampai terlepas! 

Nota: Pembatalan konsert Udit Narayan di Pulau Pinang baru-baru ini tidak berkaitan dengan penganjur konsert penyanyi itu di Kuala Lumpur, iaitu VVST Digital Creation. Pihak penganjur juga memberi jaminan bahawa konsert Udit Narayan di Kuala Lumpur akan berlangsung seperti yang dijanjikan tanpa sebarang masalah.