Himpunan Lagu Hits Hattan, Hazama Dan Black Dalam Konsert Hitam Manis

oleh: zizi hashim

“Bagi saya kolaborasi ini adalah sesuatu yang baharu kerana saya lebih kepada Rock dan Blues. Hazama pula Pop Rock dan Black pula lebih kepada Balada. Justeru apabila bergabung semua genre ini akan mencipta satu konsert yang orang lain tak pernah buat. Sepanjang konsert berlangsung, kita juga akan menyanyikan lagu-lagu yang kita tak pernah nyanyikan sebelum ini.” tutur Dato' Hattan ketika ditemui pada petang majlis sidang media sempena 'Konsert Hitam Manis' pada 5 Disember 2024 bertempat di Saloma Kuala Lumpur baru-baru ini. "Pada awalnya pihak Reacch Events tertarik untuk menganjurkan konsert solo saya, namun tercetus idea untuk saya mengadakan konsert bersama rakan artis lain." 

Nama-nama yang terlintas di fikiran Dato' Hattan untuk bekerja bersamanya di panggung 'Konsert Hitam Manis' pada ketika itu adalah Hazama dan Black kerana mereka bertiga sudah saling mengenali. Dato' Hattan juga menjelaskan, "Konsert Hitam Manis yang akan berlangsung pada 8 Februari 2025, pukul 8:30 malam di Plenary Hall, KLCC, dipilih kerana terdapat  persamaan pada ciri penampilan kami bertiga yang masing-masing memiliki kulit hitam manis. Gabungan 3 penyanyi lelaki solo adalah sesuatu yang istimewa kerana setiap penyanyi mempunyai kelebihan tersendiri yang bakal menghasilkan satu persembahan yang unik dan menarik."

Kekuatan persahabatan antara Dato' Hattan, Hazama dan Black bukan sekadar hubungan profesional, sebaliknya ia adalah perkongsian yang dibina atas dasar saling mengenali dan memahami. Mereka masing-masing membawa gaya dan genre muzik yang berbeza, namun mampu untuk bersatu dalam satu pentas yang sama, menjanjikan satu konsert yang tidak akan dilupakan dan dijangka bakal mencuit hati peminat muzik. “Saya kenal Hazama sejak dia menjadi juara program Akademi Fantasia (AF9) kerana waktu itu saya adalah juri. Manakala Black pula, kami pernah mengadakan konsert jelajah di Sarawak bersama. Bagi saya, antara kami bertiga memang ada kemistri yang kuat dan masing-masing sudah memahami antara satu sama lain. Jadi apabila disatukan di pentas yang berskala besar ini, setiap orang tahu tanggungjawab.” sambung Dato' Hattan lagi.

“Istimewanya konsert ini, kita akan saksikan beberapa generasi lagu yang orang nak dengar. Lagu-lagu yang bakal kita nyanyi adalah lagu hits. Jadi saya yakin penonton akan menyanyi bersama." tambah penyanyi berasal dari Negeri Sembilan itu. 'Konsert Hitam Manis' bakal diiringi oleh kira-kira 10 pemuzik profesional di bawah kelolaan Pengarah Muzik Genervie Kam, diantisipasi menampilkan kelainan dan pasti meninggalkan kenangan manis kepada penonton. Setiap seorang bakal mengisi slot persembahan selama satu jam, yang akan merangkumi lagu-lagu popular mereka sendiri dan turut akan menyanyikan lagu-lagu daripada penyanyi lain yang belum pernah mereka persembahkan sebelum ini.

Dato' Hattan, yang kini berusia 60 tahun, telah memilih untuk mendedikasikan sebahagian persembahannya kepada kumpulan Carefree, khususnya mendiang Jay Jay. Beliau menceritakan bahawa sepanjang kariernya, Jay Jay telah banyak membantunya, justeru itu beliau ingin membuat persembahan khas sebagai tanda penghormatan kepada pemuzik tersebut, yang terkenal dengan lagu "Rindu Bayangan". Pilihan Dato' Hattan untuk membawakan lagu-lagu Carefree adalah satu gesture bermakna, menunjukkan rasa syukur dan kenangan beliau terhadap seorang rakan yang pernah memberikan impak besar dalam kerjayanya.

“Saya pilih untuk tribute kepada abang Jay Jay kerana kebanyakan lagu yang saya rakam, dia yang main bass. Bila live show kita perform di Indonesia, abang Jay Jay main bass. Masa sekolah dulu waktu tingkatan empat saya juara Talentime, waktu itu saya nyanyi lagu Carefree." kenangnya. "Arwah bukan saja seorang sahabat yang baik dan sentiasa membantu rakan artis, lagu-lagu dendangannya sejak dulu hingga kini masih diminati. Saya yakin ramai yang rindu dengan lagu-lagu nyanyiannya.”

Sementara itu, Hazama Ahmad Azmi, 40, menceritakan momen apabila Dato' Hattan menjemputnya untuk menyertai 'Konsert Hitam Manis'. Beliau mengaku langsung tidak berfikir panjang dan terus menerima tawaran tersebut. "Apabila Dato Hattan menawarkan konsert ini, saya teruja dan terus bertanya siapa lagi yang terlibat. Apabila dia menyebut nama Black, saya yakin konsert ini sesuai untuk saya." jelasnya. Hazama turut menekankan bahawa konsert seumpama ini belum pernah diadakan di Malaysia sebelum ini, yang mengumpulkan 3 penyanyi lelaki dalam satu pentas.

Beliau mendedahkan konsert ini tidak sekadar membawakan lagu-lagu popular milik mereka, malah akan turut menyajikan lagu yang sesuai untuk semua peringkat umur, termasuk generasi Z. "Itulah sebabnya kami mengundang Adam Eiman untuk membuat persembahan rap dalam lagu 'Hitam Manis'." katanya. "Konsert ini khusus untuk peminat kami kerana dalam dunia muzik terdapat pelbagai golongan pendengar. Kami ingin fokus kepada himpunan lagu-lagu hits yang boleh dinyanyikan secara berkumpulan." tambah Hazama, yang terkenal dengan lagu "Penglipurlara".

Konsert sering kali menjadi medan untuk artis menjalin hubungan lebih dekat dengan peminat. Justeru 'Konsert Hitam Manis' bakal memaparkan satu pendekatan yang segar dan interaktif dalam memenuhi hasrat penggemar muzik. Hazama membuka ruang inovatif di mana peminat berpeluang untuk turut serta dalam proses pemilihan lagu. Pendekatan ini bukan sekadar strategi pemasaran, malah ia menunjukkan komitmen sebenar artis untuk memahami citarasa khalayak.

Black, atau Hanifah Muhammad Hanafiah, 37 tahun, memaparkan perjalanan peribadi yang menarik. Selepas tempoh yang panjang tanpa persembahan berskala besar, beliau kini bangkit semula dengan keyakinan yang membara. Pembedahan yang dilalui telah memulihkan suaranya ke tahap kemuncak, seolah-olah membangkitkan semula kembali kemahiran vokalnya pada zaman gemilang. Aspirasi utama Black adalah untuk menghasilkan persembahan yang menembusi pelbagai generasi. Beliau menyasarkan bukan sahaja peminat lama dari era program Mentor, malah berhasrat menarik minat penonton baharu daripada generasi Z. Strategi ini menunjukkan keupayaan artis untuk kekal relevan dan adaptif dalam landskap muzik yang sentiasa berubah. 

'Konsert Hitam Manis' ini bakal menjadi platform di mana muzik bertemu dengan interaksi, di mana setiap lagu dipilih dengan teliti untuk mengecapi emosi dan kenangan penonton. Ia bukan sekadar persembahan, malah ia adalah satu pengalaman yang dirangka khas untuk menyentuh jiwa setiap individu yang hadir.

Bagi yang ingin menonton Konsert Hitam Manis boleh dapatkan tiket berharga RM988 (VVIP), RM688 (VIP), RM588 (Diamond), RM488 (Platinum), RM388 (Gold), RM228 (Silver) dan RM198 (Bronze) di laman sesawang ticket2u.com.my/hitammanis