'Haramain' Album Inspirasi Spiritual Tanah Suci Terkini Dari Hafiz Hamidun

oleh: zizi hashim

“Kunjungan ke Tanah Suci banyak memberi inspirasi dalam penghasilan album studio ini. Saya rasakan, ini merupakan detik yang terbaik untuk saya menghasilkan lagu-lagu yang bersesuaian bagi membangkitkan rasa kerinduan dan keinginan untuk menunaikan ibadah Haji dan Umrah.” kongsi Hafiz Hamidun yang kini merupakan Presiden dan Pengasas Haje Care, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kelolaannya yang aktif dengan kerja-kerja amal. Tampil sekali lagi dengan album studio terbaharunya berjudul “Haramain” yang diinspirasikan dari perjalanan spiritual ke 2 kota terpenting bagi umat Islam iaitu Mekah dan Madinah, hasil kolaboratif kreatif bersama barisan penulis lirik berpengalaman, ITO Lara, Fedtri Yahya dan Hafiz sendiri, dan diterbitkan oleh label rakaman tidak asing lagi, Sony Music Malaysia.

Majlis Pra-Pelancaran Album 'Haramain' eksklusif bersama media telah berlangsung meriah pada 26 November 2024 bertempat di Hotel Royale Chulan Damansara baru-baru ini. Mengandungi 10 buah lagu kesemuanya diberi judul “Batu Hitam”, “Zamzam”, “Raudah”, “Kota Cinta”, “Jabal Qubais”, “Arafah”, “Baqi’”, “Raudah (Slow Version)”, “Srikandi Solehah” dan “Kiswah”, membawa mesej kecintaan dan kerinduan terhadap Tanah Suci. Keindahan pengalaman mengerjakan ibadah Haji dan Umrah, keagungan sejarah dan warisan Islam di Mekah dan Madinah yang diceritakan dalam setiap lagu membawa pendengar melalui perjalanan spiritual ke tempat-tempat istimewa tersebut. Album ini lebih fokus kepada pengalaman spiritual dan bukan sekadar muzik semata-mata, tetapi sebuah perjalanan hati yang membawa pendengar lebih dekat dengan Allah SWT, begitu menurut Hafiz.

Kali terakhir Hafiz muncul dengan mana-mana album adalah pada tahun 2021 melalui album “Zikir Terapi (Acapella)” yang merupakan kesinambungan dari album studio paling hitnya “Zikir Terapi Diri” pada tahun 2011. “Sejurus album terakhir dihasilkan, saya berada di persimpangan, samada mahu meneruskan penghasilan album studio atau terus penghasilan single sahaja kerana album tersebut dirakamkan sewaktu musim PKP dimana saya melalui pelbagai cabaran dan kesukaran. Selepas itu, saya hanya fokus kepada penghasilan single sahaja,” kata Hafiz. Sebagai penggiat seni, Hafiz akur kepuasan sebenar dalam berkarya datang melalui penghasilan album penuh. “Pada penghujung tahun 2023, saya menanam hasrat untuk tampil dengan sebuah album konsep. Dan lagu "Zamzam" (trek ke-2) yang turut menampilkan kumpulan vokal hip hop dan R&B soul terkenal Ruffedge menjadi penanda aras album ini.” jelasnya lagi.

“Saya bersyukur Sony Music Malaysia bersikap positif dan berniat menerbitkan album ini. Setelah melalui serangkaian diskusi, akhirnya kami sepakat memulai proses pembuatan album studio ini yang dimulai sekitar bulan Jun tahun ini." cerita Hafiz tentang jangka waktu yang ditempuh untuk memproduksi album Haramain yang memakan durasi 6 bulan. Selain di Malaysia, Hafiz menjelaskan proses rakaman juga dilakukan di luar negeri mendapatkan sentuhan autentik muzik Timur Tengah seperti Turki yang sering dikunjungi. “Seperti biasa, saya akan terbang ke Istanbul untuk merakam beberapa elemen muzik disana khusus untuk alat muzik seperti 'string', klarinet, Baglama (gambus Turki), perkusi (drum) dan lain-lain.” kata Hafiz.

Secara keseluruhan, album 'Haramain' mengusung konsep kepelbagaian pop nasyid beragam sentuhan muzik Timur Tengah dari Turki, Arab Saudi dan Mesir disulam dengan elemen melodi akustik moden yang dirancang untuk menonjolkan keaslian dan keindahan lirik. Selain album, muzik video (MV) dari lagu-lagu dalam album 'Haramain' juga banyak ditampilkan paparan keindahan Mekkah dan Madinah dengan unsur spiritual secara sinematik memberikan pengalaman visual yang mendalam buat penonton. Hafiz sempat membisikkan harapan agar album 'Haramain' ini dapat menjadi pendamping spiritual buat pendengar.

“Semoga lagu-lagu dalam album ini membawa kita lebih dekat dengan Allah SWT lantas mencetus rasa syukur atas nikmat iman. Insya-Allah, saya juga merancang untuk menghasilkan album kesinambungannya yang akan dipasarkan di peringkat antarabangsa. Kini, saya sedang dalam proses menyiapkan terjemahan bagi lagu-lagu album Haramain, yang dirakamkan semula ke dalam Bahasa Inggeris, Arab, Urdu dan berkemungkinan Mandarin. Doakan yang baik-baik agar usaha dakwah melalui muzik ini dapat berkembang." ujarnya penuh harapan.

Album “Haramain” boleh dimuat turun melalui semua aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, dan juga YouTube Music. Manakala MV single Album Haramain boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube HafizHamidun.