oleh: zizi hashim
Di tengah-tengah kehangatan industri konsert tempatan, GENKRU sekali lagi membuktikan status ikonik mereka apabila tiket konsert hari ke-2 habis dijual dalam masa hanya 45 minit - pencapaian yang lebih pantas berbanding hari pertama yang mengambil masa satu jam. Iman Tang, pengasas Icon Entertainment, tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya. "Sambutan ini melampaui jangkaan kami. Ia bukan sekadar tentang tiket yang habis dijual, tetapi ia adalah manifestasi kasih sayang peminat terhadap trio legenda ini." ujarnya dengan penuh emosi.
Konsert yang akan berlangsung di Axiata Arena pada 3 dan 4 Mei 2025 ini menjanjikan persembahan yang maksima untuk membalas sokongan padu peminat. "Sekarang menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan setiap GENKRU yang hadir akan mendapat kepuasan maksima." tegas Iman. Keputusan untuk mengadakan konsert hari ke-2 dibuat setelah melihat permintaan tinggi dari peminat. Pengumuman tentang konsert tambahan pada 4 Mei 2025 disambut dengan sambutan luar biasa apabila tiket yang mula dijual pada 23 Disember 2024 habis dalam masa yang lebih singkat dari konsert hari pertama.
GENKRU bukan sekadar konsert - ia adalah bukti bahawa KRU masih kekal relevan dalam industri muzik Malaysia, dengan peminat yang setia menunggu untuk menyaksikan persembahan mereka di pentas. Fenomena ini membuktikan bahawa muzik berkualiti tidak pernah luput ditelan zaman. Ooh La! La! This is just the way we jam!