oleh: zizi hashim
Filem Malaysia berjudul 'Tegkang' (bermaksud Pelangi dalam bahasa Kelabit) hasil naskhah dari tulisan oleh sutradara Josh Nawan yang berkisah tentang kehidupan di dataran tinggi Bario, Sarawak, telah terpilih sebagai pemenang sesi untuk Anugerah Pembikin Filem Baru Terbaik di First-Time Filmmaker Showcase, sebahagian daripada acara berprestij Lift-Off Sessions. Kemenangan ini sekaligus melayakkan filem tersebut memenuhi syarat untuk bersaing di pusingan akhir Season Awards, sebuah acara tahunan di Pinewood Studios, London, di mana projek-projek terbaik musim Lift-Off diraikan.
Tegkang berkisah tentang kehidupan di sebuah desa terpencil, dimana sebuah rahsia yang disimpan dengan rapi selama bertahun-tahun mulai terbongkar dengan hadirnya seorang pengunjung yang menjalin persahabatan dengan seorang gadis di desa tersebut. Filem ini memaparkan keunikan Bario tidak hanya sebagai lokasi pemandangan indah yang menarik, tetapi juga sebagai tempat yang kaya dengan pengalaman budaya, termasuk perayaan tradisional dan upacara turun-temurun yang jarang disaksikan oleh dunia luar.
Josh Nawan selaku sutradara sekaligus merangkap penulis filem 'Tegkang' mengungkap rasa kegembiraannya atas kemenangan tersebut. “Saya berasa bangga kerana Tegkang mendapat tempat dalam kalangan juri dan diiktiraf bersama begitu banyak filem hebat lain. Masyarakat Kelabit, sebuah kaum Dayak pribumi dari tanah tinggi Sarawak, Malaysia, jarang diwakili dalam dunia seni, oleh itu pengiktirafan ini sangat bermakna bagi kami. Saya amat menghargai peluang untuk berkongsi kisah yang berakar umbi dalam warisan sebegini dan bersyukur kerana filem ini akan disiarkan kepada lebih ramai lagi penonton di luar sana."
Menampilkan pelakon popular seperti Syafie Naswip dan Michelle Lungan yang merupakan teraju utama dalam filem 'Tegkang', turut menerbitkan rasa bangga dari Penerbit filem tersebut iaitu Lyn Nasihin yang memanjat rasa syukur dan berkata, “Filem ini merupakan bukti komitmen pasukan kreatif kami dalam menghadirkan karya asli daripada Malaysia, dan anugerah ini mengiktiraf usaha serta semangat kolektif yang dicurahkan untuk pembikinannya. Tegkang menggabungkan tema-tema kesetiaan, perpaduan, pilihan, dan kebebasan sambil mencabar pandangan konvensional mengenai ketidakupayaan. Kami berharap agara filem ini akan membantu menarik lebih banyak perhatian kepada pelbagai karya yang ditawarkan oleh industri filem Malaysia."
Lift-Off First-Time Filmmaker Sessions adalah pameran bulanan dalam talian yang didedikasikan untuk menyokong karya pengarah-pengarah baru dan menayangkan koleksi filem indie pendek dan panjang dari seluruh dunia. Pertandingan ini terdiri daripada dua pusingan: pusingan pertama di mana penonton global mengundi filem kegemaran mereka, diikuti dengan penilaian terperinci oleh juri dalaman Lift-Off. Para pemenang mendapat pendedahan yang luas, termasuk peluang untuk mempersembahkan projek masa depan di Pinewood Studios, salah satu studio filem yang terkemuka di dunia.
Pameran ini telah menjadi batu loncatan untuk ramai pembikin filem indie, menawarkan peluang untuk dikenali oleh penonton baru dan profesional industri. Sebagai pemenang Lift-Off First-Time Filmmaker Sessions, filem 'Tegkang' akan ditayangkan kepada penonton yang lebih luas dan bersaing untuk pengiktirafan lebih lanjut di Season Awards. Pencapaian ini adalah satu kejayaan penting bagi komuniti filem Malaysia, bagi menyinari bakat baru serta membuka peluang untuk filem-filem Malaysia ke pentas antarabangsa. Tahniah 'Tegkang'!