Filem Seram Malaysia 'Jangan Pandang Belakang 2' (JPB2) Tembusi Tayangan Di 14 Buah Negara

oleh: zizi hashim

"Harapan kali ini sudah tentu JPB2 harus lebih tinggi dan lebih bertanggungjawab, mesti pastikan lebih seram dengan penceritaan yang cukup terasa oleh semua penonton, di rantau Asia ini." Itu yang dituturkan oleh David Teo selaku penerbit filem seram 'Jangan Pandang Belakang 2' pada rangka promosi filem taruhan terbaru Metrowealth International Group (MIG) yang bakal berada di pawagam seluruh Malaysia pada 21 November 2024 nanti. Namun ketika ditemui baru-baru ini pada 25 September 2024 di Majlis Tayangan Global Filem JPB2, David Teo berkata "Hari ini yang paling penting saya ingin mengumumkan tentang impian yang sudah menjadi kenyataan. Walaupun terdahulu saya menekankan tentang 'di rantau Asia', namun hari ini saya berbangga untuk mengumumkan tayangan global JPB2 di 14 buah negara di seluruh dunia."

Keterujaan David Teo itu bersahut tepukan gemuruh, sambil menyambung "Ketika 'Jangan Pandang Belakang 1' mendapat tayangan di 6 buah negara, kali ini JPB2 naik-taraf lagi dengan penambahan 8 buah negara lagi menjadikan jumlah 14 buah negara telah menyatakan hasrat berminat untuk menayangkan filem JPB2 di negara mereka. 6 buah negara tersebut ialah Singapura, Brunei, Thailand, Indonesia, Cambodia, selain Malaysia sendiri dan tambahan 8 lagi buah negara iaitu Filipina, Vietnam, Myanmar, Laos, Rusia, New Zealand, Turkey dan Australia." David Teo juga menyifatkan ini sebagai satu kejutan kepada MIG dan juga industri perfileman di Malaysia khususnya.

"Ini adalah sesuatu yang luarbiasa dan perkara menggembirakan yang ingin saya kongsikan pada semua." Dengan pengumuman yang dibuat, sekalung tahniah diucapkan kepada MIG kerana telah mencipta sejarah sebagai filem seram Malaysia pertama yang ditayangkan secara global di 14 buah negara di seluruh dunia. JPB2 bukan sekadar diterima di Asia Tenggara tetapi telah mengorak langkah lebih jauh melangkau benua, menjadikan ianya filem bertaraf antarabangsa. Majlis petang itu juga turut menampilkam gimik eksklusif di mana babak di sebalik tabir pembikinan filem itu dipertontonkan kepada hadirin.

David Teo yang juga merupakan Pegawai Operasi MIG berkata "Filem 'Jangan Pandang Belakang 1' pernah mencetuskan fenomena 17 tahun lalu dengan sambutan dan kutipan diluar jangkaan. Ini adalah antara salah satu faktor yang menyebabkan promoter berminat untuk membawa filem ini ke negara-negara luar. Saya sendiri berasa terkejut dan teruja apabila 'Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu' berjaya menembusi pasaran negara Eropah dan negara-negara lain” katanya lagi. Apabila pengedar antarabangsa menunjukkan minat untuk mengedar filem ini, secara tidak langsung menunjukkan bahawa filem tempatan mula dipandang dan diterima di peringkat global.

“Inilah realiti dan bukan cakap-cakap saja. Di Malaysia, JPB2 akan ditayangkan pada 21 November 2024, jadi di negara-negara luar rantau Asia mungkin seminggu atau sebulan kemudian." David ketika ditemui tidak lekang dengan senyuman menyatakan keinginan untuk mengulangi kejayaan dengan melebarkan sayap filem ini ke seluruh dunia dan seterusnya mengembalikan fenomena filem seram Malaysia. David turut menambah, sasaran bagi filem ini dijangka RM30 juta dan berharap ianya dapat direalisasikan. Filem JPB2 ditulis dan diarahkan oleh pengarah, Pierre Andre dan dibintangi barisan pelakon antaranya Emma Maembong, Khatijah Tan, Mawar Rashid, Iedil Dzuhrie Alaudin dan ramai lagi.

Filem ini merupakan kisah kesinambungan saka keluarga Opah yang mencari tuan pewaris baharu untuk didampingi sekaligus mewarisi kuasa mistik saka tersebut. Namun, ada sesuatu lain yang menghalang dan membawa kepada pelbagai kejadian menyeramkan. MIG juga sedang menyiapkan 2 lagi filem menarik, iaitu Dajal (Satu Malam Dipedajal) dan Citra Apartment, yang dijangka menemui penonton pada tahun 2025. 'Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu' bukan sekadar filem seram, tetapi juga lambang kejayaan industri perfileman Malaysia di persada global. Dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, diharapkan filem ini akan mencapai kejayaan besar dan terus mengharumkan nama negara di mata dunia.

Majlis pada petang itu yang bertempat di ibu pejabat MIG turut diserikan dengan Fiesta Durian yang diadakan khas untuk para hadirin dan media sebagai tanda apresiasi. Sambutan ini memberikan pengalaman yang lebih menarik dan mengeratkan lagi hubungan di antara pihak produksi dan media. Majlis diakhiri dengan serangkap pantun oleh David Teo yang berbunyi "Jagung Telah Ditanam Di Tanah, Kini Kembali Menuntut Janji, Jangan Pandang Belakang 2 Bakal Menghantui Anda, 14 Buah Negara Tayangan Nanti." seperti biasa disambut gelak ketawa dan tepukan gemuruh.