Festival Mi Malaysia Pertama: Vit's Anjur Konsert Telan Kaset 90'an

oleh: zizi hashim

Buat julung kalinya, Konsert Telan Kaset 90'an akan berlangsung pada 12 dan 13 Oktober 2024 ini, bersempena Festival Mi Malaysia yang pertama, dibawakan khas oleh jenama Mi Segera popular tanahair iaitu Vit's dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia. Bertempat di lokasi terbuka Padang Timur, Petaling Jaya bermula jam 10 pagi sehingga 11:30 malam, konsert yang bernaung di bawah kain rentang 'Festival Muzik Vit's' dengan bangga mempersembahkan artis-artis tersohor negara pada era 90an seperti Rahmad Mega, Kool, Ady Wow, Aris Ariwatan, Dinamik, Kasawari, Roy, Amir Ukay’s, Shidi Data, Isa Gravity, Wann, Febians, Hasnol, Shades, A To Z, Tom, Fuad, Zamani, bersama DJ Fasha Anderson dengan Don’t Panic Buskers dan ramai lagi.

Seramai 17 figura popular era 90'an dijangka akan terlibat menjayakan Festival Muzik Vit's yang direncanakan sepanjang 2 hari dengan membawakan pelbagai genre muzik daripada Rock, Balada, R&B, Hip Hop sehinggalah ke Irama Malaysia. Terdapat lebih dari 80 booth peniaga yang terdiri dari beraneka jenis jualan makanan dimana kesemuanya adalah berasaskan Mi, menjadikan ianya satu kelainan menarik dalam Festival Mi Malaysia yang tidak pernah diadakan sebelum ini. Selain itu, pelbagai aktiviti beriadah melalui permainan berkonsepkan karnival yang turut disediakan sesuai untuk aktiviti seisi keluarga.

“Ini merupakan kali pertama jenama Mi Segera Vit’s mengadakan festival muzik sebegini dengan menggabungkan elemen muzik dan makanan bersempena Festival Muzik Vit’s buat pengunjung agar dapat menikmati makanan berasaskan Mi sambil disajikan muzik era 90’an yang masih malar segar sehingga ke hari ini.” menurut Baizura Tazri, selaku wakil pihak penganjur bagi pihak Vit’s. 

"Tujuan konsert ini diadakan adalah bagi mengubati kerinduan peminat-peminat muzik 90’an dengan membawakan lagu-lagu hits era tersebut dan menggabungkan pesta makanan berasaskan Mi seperti Laksa, Mi Kari, Mi Bandung, Pasta dan bermacam variasi Mi lagi." tambahnya lagi. "Dalam masa yang sama, konsert ini juga bertujuan mengumpul dana bagi Persatuan Karyawan Malaysia melalui hasil jualan tiket konsert, dan dana yang diperolehi akan digunakan untuk objektif membantu artis-artis senior dan para karyawan yang sedang sakit ataupun uzur yang memerlukan bantuan, selari dengan tujuan penubuhan persatuan ini.” 

Selain Vit’s dan Persatuan Karyawan Malaysia, festival ini turut ditaja bersama oleh MBPJ, Storm Truperz Campers, Ticket2u, Suria FM, Media Panas, Hotel Seri Pacific, Nester, dan juga Irama Maju Productions.

Apa yang lebih menarik lagi ialah pihat penganjur turut menyediakan hadiah bagi setiap pengunjung yang sporting hadir lengkap berpakaian mengikut tema konsep 90’an seperti Rock, Hip Hop mahupun Dangdut pada Festival Muzik Vit’s itu nanti.  Atas permintaan ramai di media sosial yang mahukan pertandingan karaoke diadakan, pihak Vit’s mengalu-alukan pengunjung untuk mengambil bahagian pada kedua-dua hari dengan pelbagai hadiah menarik yang menanti untuk dimenangi sebagai daya tarikan.

“Harapan kami agar festival makanan dan muzik yang berkonsepkan karnival ini mendapat sambutan hangat untuk diteruskan kesinambungan pada tahun-tahun mendatang dalam memperjuangkan penyanyi-penyanyi era 90’an. Bersama-samalah kita mengimbau kenangan masa lalu dengan lagu-lagu hits mereka yang masih relevan di halwa pendengar.“ ujar Dato’ Freddie Fernandez, selaku presiden Persatuan Karyawan Malaysia, penuh harapan. 

Beliau juga berharap agar penonton yang hadir dapat berhibur sambil beramal melalui festival ini dengan dana yang dikumpulkan untuk badan persatuan. 

“Jom meriahkan Festival Muzik Vit’s bersama keluarga dan sahabat taulan. Jumpa anda di sana!” tambahnya lagi dalam nada teruja.

Tiket-tiket ke Konsert Telan Kaset 90'an dan karnival boleh didapati secara atas talian bermula tanggal 16 Ogos 2024 ini pada jam 4 petang di laman web Ticket2u.com.my dengan harga RM45 seorang. Manakala, tiada pembayaran yang dikenakan ke Festival Mi Malaysia.