Dominasi Kuasa Rock Tanahair Bakal 'Kasi Pecah' Rock Warrior Music Festival

oleh: zizi hashim

“Saya percaya Rock Warrior Festival ini akan menjadi titik sentral yang membentuk semangat bersatu padu di kalangan pecinta muzik, baik generasi terdahulu yang sudah sekian lama menggemari genre Rock, mahupun generasi baru yang berjinak-jinak untuk terjun di dunia muzik." ucaptama Dato' Awie selaku penganjur konsert sebagai introduksi berkenaan  salah satu lagi usaha Rumah Produksi Merah miliknya yang paling terkini.

Rock Warrior Music Festival adalah satu acara muzik epik yang akan menghimpunkan band rock tanahair dalam satu persembahan energetik yang penuh nostalgia. Hal ini dilihat mampu menghidupkan kembali suasana era kegemilangan muzik rock, serta mempersatukan generasi lama dan baru pecinta muzik Rock. Festival yang direncanakan berlangsung pada tanggal 23 dan 24 November 2024 berlokasi di KL Base, Sungai Besi menjanjikan pengalaman muzik yang tiada tandingan kepada semua antusias muzik Rock khususnya. Menampilkan barisan artis Rock terkemuka seperti Wings, Search (Kid & Din) dan XPDC pada 23 November yang akan mempersembahkan lagu-lagu hits mereka dari zaman kegemilangan Rock yang masih relevan sehingga kini.

Menurut Dato' Awie lagi, "Rock Warrior Music Festival adalah platform terbaik buat band Rock baru untuk meyerlahkan bakat mereka sekaligus memperkenalkan lagu-lagu dan karya mereka. Tidak hanya itu, Rock Warrior Music Festival juga merupakan medan yang amat sesuai untuk mengetengahkan bakat baru dalam industri muzik rock. Platform unik ini memberi peluang kepada kumpulan Rock baru untuk beraksi, mengkagumkan penonton, serta memperkenalkan lagu dan karya original mereka kepada dunia."

Dengan adanya penekanan yang ditampilkan oleh Festival ini terhadap keberagaman talenta di kalangan penyampai lagu rock, memperagakan komitmen sebenar pihak penganjur dalam mempromosikan variasi dan inovasi dalam industri muzik tempatan. Dato' Awie berkata lagi, "Rock Warrior Music Festival bukan hanya sekadar acara hiburan yang tidak boleh dilepaskan oleh para pecinta muzik, tetapi juga menjadi tonggak utama yang signifikan mendukung berkembangnya industri muzik rock tanahair.“ Festival ini diharapkan dapat terus menjadi mercu tanda kejayaan dan kegemilangan muzik rock, serta membangkitkan inspirasi dan antusiasme yang tiada henti di kalangan pecinta muzik tanahair.” ujarnya teruja.

Dato' Awie yang juga vokalis band rock legendaris Wings menyatakan, festival ini merupakan bentuk penghormatan kepada para penggemar setia musik rock di Malaysia. “Rock Warrior Music Festival diperuntukkan bagi seluruh pejuang muzik rock yang tidak pernah berputus asa dan pantang menyerah menyokong genre ini. Kami ingin menghidupkan kembali semangat rock, dan menghadirkan pengalaman mendalam yang mengasyikkan kepada semua yang hadir.” sambungnya lagi.

Selain penampilan muzik yang energetik, Rock Warrior Music Festival juga menawarkan pelbagai aktiviti sampingan untuk menambahkan lagi kemeriahan acara, antara lainnya terdiri dari pelbagai 'booth' makanan dan minuman, aksesori, gerai jualan eksklusif merchandise muzik rock dan banyak lagi.


Tiket untuk menyaksikan Rock Warrior Music Festival sudah mula dijual sejak 7 September lalu dan boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web https://rockwarrior.ubertickets.asia/
Harga tiket untuk dua hari iaitu Gold (seated) RM250, Silver (standing) RM200 dan Bronze (standing) RM150.

Bagi band yang ingin menyertai Rock Warrior Music Festival ini boleh menghantar demo atau video di alamat: 
Rumah Produksi Merah Sdn Bhd
15-7, Jalan USJ 9/5Q, Subang Business Centre
47620 Subang Jaya, Selangor
Nombor telefon: 019-2617208 / 019-3721756
Email: rpmerah@gmail.com