“Dol’s Podcast Bakal Menakluk Dunia” - Shuib

oleh: zizi hashim

Kombinasi mantap yang terjalin dari kemistri akrab antara Shuib, Shuk Sahar dan Fizie telah mencetuskan ilham kepada kelahiran Dol’s Podcast yang bakal memulakan siaran sulung pada 17 Julai 2024 kelak. Terbiasa bergandingan bersama menerusi segmen Geng Pagi Hot di Hot FM beberapa tahun lalu, mereka bertiga sepakat berpendapat sudah tiba masanya Dol’s Podcast bersiaran langsung, bukan hanya omong kosong. Pelbagai isu menarik bakal mereka kupas, tak kira sejuk mahupun panas.

Terkenal dengan lawak jenakanya, Shuib ketika ditemui pada petang Majlis Pelancaran Dol’s Podcast baru-baru ini, sedari awal telah buat semua yang hadir pecah ketawa dengan sendaloka. “Lucu lah kamu!” Tak habis-habis Shuk Sahar menyakat Shuib. Saya membayangkan pastinya Dol’s Podcast ini bakal mengumpul fanbase yang tak disangka-sangka, sekiranya petang itu saya sendiri merasa cukup terhibur, belum lagi di tengah gelanggang Dol’s Podcast mereka benar-benar bertempur. 

“Setelah sekian lama sebenarnya kami berhasrat untuk ada Podcast sendiri. Alhamdulillah hari ini kami dapat lancarkan Dol’s Podcast, kami harap semua dapat terima berita gempa bahawa Dol’s Podcast bakal menakluk dunia.” ucaptama Shuib disahut ketawa kuat oleh Shuk Sahar sambil berkata lagi, “Kamu ni lucu lah! Ingat Ultraman ke…” Sengaja mewujudkan nuansa gelak ketawa untuk mood selesa bercerita, Shuib menyambung cerita, “Kami bertiga merancang tentang Podcast ini hampir 3 bulan dulu. Kenapa Shuk dan Fizie? Sudah tentu sebab identiti dan rasa serasi yang saya jadikan prioriti.”

Pernah bersama dari 2019 hingga 2021 mengendalikan Segmen Geng Pagi, masing-masing membawa haluan sendiri namun rasa rindu untuk kembali bertemu membawa kepada idea-idea baru. Sebelum itu Shuk aktif bersama Podcast OKLETSGO di Singapura sejak awal tahun lalu namun ianya hanyalah sekadar projek jangka pendek sahaja, menurutnya. “Rasa rindu itulah yang buat kami kembali bersatu. Sekarang ini adalah masa yang tepat sebab di Malaysia sekarang ini vibes untuk Podcast sudah semakin hebat. Jadi dengan kemistri kami, saya sangat happy dapat bergabung kembali.”

“In shaa Allah, kami akan memberikan sesuatu yang diluar jangka dan luarbiasa.” celah Fizie pula. “Semoga kami bertiga istiqomah dalam menjayakan Podcast ini, sebab kami susah nak berjumpa sebenarnya. Selalunya perbualan kami secara online, kali ini kami akan videokan dan kongsi pada semua.” Menafikan ingin bertanding dalam dunia Podcast sedia ada, Shuib menyatakan harapan untuk memeriahkan bukan bersaing. Dol’s Podcast dilihat sebagai membawa cabaran dan harapan yang berbeza terutama dalam pengisian konten yang lebih padat, ampuh dan berimpak. 

“Kami memilih nama Dol’s Podcast kerana itu memang nama panggilan atau gelaran yang kami panggil masing-masing sejak dulu lagi, Kalau siapa yang pernah dengan Hot FM mesti tahu. Kalau orang lain ada yang panggil Bro ke, Mat ke, tapi kami selesa bahasakan diri dengan nama Dol, dah terbiasa.” jelas Shuib tampak teruja. “Atau kalau kami nak sinonimkan dengan singkatan ‘Direct OnLine’ (DOL) pun boleh juga.” Mengekalkan konsep yang sama seperti podcast lain, kelainan yang ingin dibawa adalah lebih kepada cerita-cerita yang bertemakan ‘inspirasi’. Perancangan untuk menjemput beberapa figura untuk ditemubual dan menjadikan cerita mereka sebagai inspirasi kepada masyarakat.

Ini dilihat positif sebagai titik penggerak untuk berfikir secara kreatif dan berani keluar dari kepompong keselesaan, disamping dapat menampilkan sisi lain agar ianya tidak terlalu klise, dalam podcast santai dan bersahaja. Usaha Dol’s Podcast ini sangat dipuji dan harus diberi sokongan. Akan bersiaran menerusi Channel YouTube Shuib bermula 17 Julai, juga turut boleh dinikmati melalui Spotify.