oleh: zizi hashim
Sang penglipurlara melangkah gagah dan berani ke pentas seni muzik dengan menaiktaraf ke 'Pujangga' melalui album penuh bermakna dan sarat melodi indah. Bukan mimpi tapi realiti, Hazama Ahmad Azmi, berkobar-kobar mempersembahkan PUJANGGA - sebuah karya yang menjelma selepas penantian selama 11 musim, menjadi saksi perjalanan seorang seniman yang tidak pernah luntur semangat kreatifnya. 10 lagu terpahat dalam album ini, diukir dengan teliti seolah merangkai kata demi kata, memastikan setiap nada berbicara tentang kerinduan dan harapan para peminat yang setia.
Projek ini digarap dengan penuh dedikasi, di bawah payung HazamaWorks Sdn Bhd dan Silent Kaiju Studio, dengan sentuhan istimewa dari isteri Hazama, Genervie Kam yang berprolifik tinggi dalam industri muzik dan Zimi yang turut mencurahkan jiwa dalam setiap bait dan irama. Album PUJANGGA lahir dari kolaborasi independent yang penuh makna, di mana HazamaWorks Sdn Bhd dan Silent Kaiju Studio menganyam mimpi, diberkati sentuhan MyCreative Venture Sdn Bhd (MYCV) di bawah payung Kementerian Komunikasi Dan Digital (KKD).
Hazama, 40, memilih judul PUJANGGA bagaikan sebuah metafora yang tersurat dan tersirat - sebuah pelayaran artistik yang dirakamkan di Royale Chulan, Cherating, tempat di mana sejarah muzikal diukir. "PUJANGGA," katanya dengan suara penuh teruja, "adalah kanvas di mana pengarang, penyair, dan ahli fikir menitipkan kisah - setiap lagu adalah sebuah puisi yang bernyanyi, setiap melodi adalah syair yang memantul dari relung jiwa." Dalam album ini, Hazama bukan sekadar menghasilkan muzik, tetapi mengait cerita, menenun syair yang akan berbisik kepada jiwa pendengarnya.
Dalam landskap muzikal yang diliputi kelahiran single-single, juara Akademi Fantasia musim ke-9 ini melangkah berani, membuat deklarasi artistik yang menggetarkan: sebuah album penuh, utuh, dan dibaluti nilai sentimental. "Ketika dunia muzik cenderung melepaskan lagu demi lagu satu persatu, saya memilih untuk menghadirkan PUJANGGA, sebuah karya yang teguh, sebuah warisan yang akan kekal dalam memori." ujarnya dengan penuh keyakinan. Keseriusannya mencapai kemuncak apabila konsep album ini turut digarap di Tokyo, Jepun. Sebuah perjalanan kreatif yang merentasi sempadan geografi dan muzikal, melakar sejarah peribadi dalam industri tanpa sempadan.
Dengan pelaburan yang mencurah, dari rakaman vokal hingga mixing dan mastering di KPRO Studio, Cheras Perdana, Hazama segera membuka tirai misteri PUJANGGA, membiarkan peminat menanti dalam gelora. Pemilik segudang lagu-lagu hits sejak 2006 ini memulakan perjalanan album melalui teaser sekilas di media sosial, memancing rasa ingin tahu para penggemar. 2 lagu pertama yang dibisikkan lewat "Di Mimpiku" dan "Semacam Pandora" bagaikan pintu gerbang menuju dunia muzikal Hazama, mengajak pendengar meneroka identiti artistiknya yang tidak pernah berubah, tetap autentik dan mendalam. Setiap coretan, setiap nada dalam album ini adalah peta perjalanan seorang seniman yang setia pada jiwanya sendiri.
PUJANGGA kini menanti detik sesuai, siap merentasi ruang dan masa untuk memeluk jiwa-jiwa pencinta muzik Nusantara. "Antara Penglipurlara dan PUJANGGA, sebuah rehat panjang telah berakhir. Semoga album ini mampu mengubati kerinduan peminat serta mengalirkan melodi yang tertangguh." tutur Hazama dengan penuh harapan.
Bermula 29 November 2024, Sony Music akan membawa PUJANGGA melayang ke pentas muzik, membuka lembaran baru dalam perjalanan artistik seorang penyair lagu.