Bunkface 'Memberontak' Guna Otak Luar Kotak

oleh: zizi hashim

Sifat hyper tahap kritikal menjadi punca musabab band Punk Rock Malaysia, Bunkface, kembali buat 'bising' lagi dengan produksi single terbaru mereka yang dilancarkan pada 18 Oktober 2024 di platform rasmi digital mereka seperti di Spotify, YouTube dan sebagainya. 'Memberontak' kali ini dengan tampilan bunyi-bunyian dan riff gitar yang lebih 'keras' dan vibrant seiring dengan penyesuaian dalam cara penyampaian yang lebih tepat dan relevan pada jalan cerita dan tema lagu 'Memberontak' itu sendiri. Bunkface mengakui mereka bukan anarkis, malah sebaliknya hanyalah sekadar happy loser pada bait-bait senikata taruhan terbaru mereka itu.

"Kami tidak sabar hendak mempersembahkan lagu ini di atas pentas pada slot persembahan kami yang akan datang." kata Paan selaku gitaris kumpulan Bunkface. "Kami terima banyak respons positif dari peminat kami berkenaan lagu ini. Ianya datang dari kebanyakan peminat yang telah lama mengikuti perkembangan kami dan menyokong karya-karya Bunkface sejak dari awal lagi. Peminat kami boleh menjangkakan keghairahan dan semangat antusiasme yang menjadi signatur dan ciri khas Bunkface dalam riff gitar yang terluah melalui 'Memberontak'." tambahnya lagi.

'Memberontak' membawa pendengar mengembara dalam perjalanan emosi tulen dan melodi memukau yang catchy dan sing-along menepati ekspektasi keterbiasaan rutin Bunkface yang sering dipersembahkan. Cukup tersohor sebagai sebuah band dari Malaysia dengan persembahan bertenaga dan nuansa melodi Punk Rock yang menarik, Bunkface telah mendapat sokongan yang teguh dari fanatika mereka dan pencapaian yang meluas dengan lagu-lagu hits yang majoritinya senang hafal disebabkan lirik yang ringkas, mudah faham beserta melodi yang mesra telinga.

Mahukan revolusi dibawah lampu suluh 'Rock N Roll', emosi Bunkface menendang berontak racun ideologi sehingga jambatan pun roboh disebabkan kuasa salah tangan. Ini merujuk kepada budaya media sosial yang kebanyakannya sembang berita tipu dan semuanya gilakan duit, adalah naratif yang diceritakan pada plot cerita 'Memberontak'. Meski lama tak masuk TV katanya, Bunkface takkan kecewa dan takkan menyesal malahan akan terus buat lagi kejutan demi kejutan pada karya-karya mereka yang mendatang dengan menggunakan kuasa otak luar kotak. 

Sinonim dengan tenaga agresif dan stamina melimpah-ruah yang sering dipertontonkan acapkali menakluk pentas, Bunkface menyuarakan rasa 'Memberontak' pada melodi menangkap dengan hanya sekali dengar. Itulah keunikan yang ada pada Sam (vokal), Paan (gitar), Youk (bass) dan Biak (dram) menjadi markah tambah berganda sekaligus menaikkan nama mereka terus gah dipersada muzik tanahair. Selepas kejayaan terdahulu dengan lagu-lagu hits yang sering menjadi siulan ramai seperti "Silly Lily", "Revolusi", "Situasi", "Malam Ini Kita Punya" dan banyak lagi mengisi katalog muzikal mereka, Bunkface percaya 'Memberontak' juga akan mendapat sambutan yang serupa malahan diharapkan lebih lagi.

Korang dah dengar lagu 'Memberontak' ke belum? Apa tunggu lagi, jom check it out...