‘Bintang Jalanan’ Naik-Taraf dan Iktiraf Hasil Karya Buskers

oleh: zizi hashim 

Idea bermula sekitar awal tahun 2020 ketika seluruh Malaysia terpaksa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa semuanya ‘berkurung’ dalam satu jangkamasa yang agak lama. Amad atau nama sebenar Ahmad Abdullah selaku penerbit album telah mencetuskan ilham untuk menghasilkan rakaman album kompilasi yang diusulkan kepada rakan-rakan buskers terlibat. Respons positif yang diterima telah membawa kepada satu perjalanan seni yang akhirnya membuahkan hasil dan telah dilancarkan di satu majlis bertemakan ‘jalanan’ pada 14 Julai 2024 bertempat di Santai Seni @ Jalan TAR.

Salam kenal yang dihulur oleh kolaborasi 5 pemuzik jalanan berbakat besar iaitu Ammal (Naib Juara AF2016), Amir (Mentor), Islah (All Together Now), Yone (diantara Buskers terbaik Penang) dan Nan Blues (salah seorang Otai Buskers Malaysia). Kesemua mereka ini pernah menempa nama di arena muzik tempatan, mempunyai talenta besar dalam mencipta melodi dan senikata indah serta melagukan-nya dalam stail mereka yang tersendiri. Dengan matlamat untuk menaikkan martabat pemuzik jalanan, dana yang diperolehi di bawah Program Pembiayaan Muzik indie CENDANA telah dipergunakan dengan penuh manfaat. 

Buah tangan pertama seumpamanya dari Buskers yang terlibat dilihat sebagai pertaruhan kepada kesinambungan usaha yang seterusnya, sekiranya mendapat sambutan hangat. 10 karya terbaru yang memuatkan variasi genre seperti folk, blues, reggae dan lain-lain. Mendapat sentuhan penyanyi dan pemuzik Oja dari segi susunan muzik dan proses penerbitan, album kompilasi ini dirakamkan secara professional dari semua aspek rakaman sehinggalah ke adunan akhir.

“Kita semua sedia maklum, ramai yang telah kehilangan income ketika PKP melanda. Pada ketika itulah macam-macam idea timbul untuk mencari sumber pendapatan. Sebelum ini saya pernah terbitkan album band-band underground dan mainstream, serta banyak lagi lagu-lagu komersial.” Amad selaku Penerbit Album membuka cerita ketika ditemui di sidang media Majlis Pelancaran Album Kompilasi ‘Bintang Jalanan’ pada petang 14 Julai lalu. 

“Saya membayangkan rakan-rakan saya yang berbakat besar ini, memang tidak ramai lagi yang berpeluang untuk rekod hasil karya mereka secara proper recording. Jadi saya fikir perlu bagi saya mengumpul rakan-rakan terdekat untuk projek ini. Ammal saya kenal sejak umur dia 17 tahun lagi. Amir dan Islah, semua saya kenal sejak remaja. Dan mereka ini adalah pemegang permit yang dikeluarkan oleh pihak DBKL iaitu permit ‘KL Street Buskers’. Dari situlah bermulanya satu evolusi buskers sehingga menjadi salah satu anthem untuk Kuala Lumpur.” sambung Amad lagi penuh teruja.

“Saya rasa ini adalah usaha terbaik yang DBKL buat untuk para penggiat seni. Terima kasih DBKL, tepuk tangan yang kuat buat DBKL.” Majlis Pelancaran Album Kompilasi ‘Bintang Jalanan’ itu turut dihadiri oleh beberapa dif kehormat dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Dato’ Ito Blues Gang dan juga Dato’ Freddie Fernandez dari Karyawan sebagai menunjukkan tanda sokongan pada usaha ini. Meski album kompilasi ini agak komersial, Amad tetap mengekalkan nuansa dan etika Buskers terpelihara baik dari segi muzik, karektor dan keseluruhan konsep. 

Menurut Amad lagi, “Unsur pop semasa tetap ada agar ianya mudah diterima ramai. Satu perkara yang perlu tahu ialah Buskers bukan sekadar muzik, tetapi juga attitude.”

Maka terhasil-lah ‘Bintang Jalanan’, setelah seleksi lagu-lagu dijalankan untuk disenarai-pendek kepada 10 buah lagu hasil kolaborasi pemuzik dan penerbit. Proses rakaman tidak mengambil masa yang lama namun terpaksa berhadapan dengan pelbagai onak duri yang dihadapi sepanjang perjalanan. Pada peringkat awal ketika proses pre-pro, isteri kepada Nan Blues telah meninggal dunia kerana virus jahat Covid-19 pada tarikh 19 Julai 2021. Demi menghormati pemergian itu, proses rakaman dihentikan seketika. Dalam pada itu, Ammal telah mengalami kehilangan suara selama 3 bulan secara tiba-tiba. Begitu juga dengan Amir yang dilanda musibah banjir besar di Puchong sehingga menenggelamkan seluruh kediamannya. Air naik sehingga ke paras bumbung, menghanyutkan bersama lagu-lagu ciptaannya yang belum sempat dirakamkan.

Begitu-lah jerih-payah yang telah diharungi sepanjang perjalanan kelahiran ‘Bintang Jalanan’. Disebalik semua kesukaran, mereka tetap memberikan yang terbaik dengan semangat antusias yang membara. ‘Bintang Jalanan’ telah diterbitkan oleh Media Asia Production dalam bentuk digital dimana terdapat QR-Code yang apabila di-scan akan masuk direct ke semua platform digital secara automatik. QR-Code ini diberikan percuma kerana punca pendapatan adalah berdasarkan secara digital. Meski pada mulanya ada cadangan untuk dibuat dalam bentuk CD namun merasakan ianya tidak relevan lagi pada masakini.

Majlis diserikan lagi dengan gimik pelancaran memotong riben yang menyerlahkan poster Cover Album beserta QR-Code dilaksanakan oleh wakil dari DBKL, Dato’ Ito Blues Gang dan Dato’ Freddie Fernandez. Turut berkesempatan melihat setiap seorang dari  pemuzik berbakat ini berdendang secara live pada petang itu, melodi catchy membuatkan sesiapa yang mendengar akan dapat terus sing-along meskipun pertama kali mendengarnya. Lagu yang paling menangkap pendengaran saya pada petang itu ialah “Dengar Dan Lihat” oleh Nan Blues, “A Shadow Play” oleh Amir dan “Biar Saja Ku Disini” oleh Islah. Manakala lagu dari Yone dan Ammal juga tak kurang hebat. 

Untuk makluman, program Santai Seni @ TAR anjuran DBKL khusus untuk seniman jalanan pada minggu ke-2 dan ke-4 setiap bulan sepanjang Jalan Esfahan hingga Jalan Melayu. Pelbagai hiburan santai disediakan seperti persembahan muzik, pelukis, maskot, tarian, pertandingan permainan tradisional dan banyak lagi secara PERCUMA. Tempat ini juga dijadikan hub bagi pelbagai program seperti pelancaran album dan produk yang bersesuaian.

Sebarang cadangan untuk menjadi rakan strategik melaksanakan program disitu adalah dialu-alukan dengan penyediaan tapak PERCUMA bagi yang ingin melibatkan diri. Maklumat boleh didapati di FB Santai Seni @ TAR atau email santaiseni00@gmail.com

foto kredit: helmi aziz