Beto Kusyairy Bawa Watak Mahaguru Silat Dalam Filem 'Gayong'

oleh: zizi hashim

“Kalau di Hong Kong, adanya kisah tentang IP Man yang cukup terkenal dengan Wing Chun. Jadi, sudah tiba masanya untuk kita hasilkan sebuah filem tentang ikon seni bela diri tempatan yang wajar sekali kita banggakan. Kita buat pula IP Man versi Malaysia." ujar Khairul Anuar Latip selaku Penerbit Eksekutif dari SOL Pictures Sdn Bhd. "Setelah perbincangan diadakan, kami sepakat untuk mengangkat kisah Datuk Meor Abdul Rahman yang juga merupakan pengasas kepada Silat Seni Gayong ke layar perak. Ini selaras tujuan pembikinan filem Gayong dalam usaha kami untuk mempertontonkan realiti kehidupan seorang jaguh seni bela diri Malaysia.” sambungnya lagi ketika ditemui pada Majlis Pelancaran filem 'Gayong' yang berlangsung di Astana Putra, UPM Serdang pada 16 September lalu. 

Genre filem seni bela diri ini dipilih berdasarkan perkembangaan data analisa yang dilihat sendiri dimana ianya seringkali mendapat tempat di kalangan penonton Malaysia yang gemarkan filem aksi. Atas sebab itu lah, SOL Pictures  berasa terinspirasi untuk memproduksi filem aksi yang menonjolkan seni bela diri silat iaitu Gayong. Bakal diarahkan oleh Sutradara Faisal Ishak, filem 'Gayong' menampilkan barisan pelakon popular seperti Beto Kusyairy yang membawakan watak pengasas seni bela diri tersebut, selain Nabila Huda dan Syafie Naswip selaku tunjang utama.

Menurut Khairul Anuar lagi, apa yang lebih menarik lagi apabila turut ditampilkan dua pelakon aksi popular dari Yayan Ruhian (Indonesia) dan Chevanon Phukaokaew (Thailand) dalam ketrampilan istimewa yang didatangkan khas dari negara jiran. Dalam proses pembikinan filem berkenaan, pihaknya juga telah membuat temuramah bersama anak sulung Allahyarham iaitu Hajah Siti Fadzillah. Menerusi temuramah tersebut, banyak perkara menarik yang diceritakan berkenaan Allahyarham bapanya itu dan ia memberikan sokongan sepenuhnya untuk SOL Pictures memproduksikan filem ini.

“Kami merasakan perjuangan beliau sebagai seorang pengasas seni bela diri Silat Gayong ini adalah sebagai satu ‘warisan’ yang boleh dijadikan referensi bagi generasi mendatang,” jelasnya. Penggambaran akan dimulakan pada 5 Oktober ini di beberapa buah lokasi seperti Sedili, Desaru Bagan Lalang, Pantai Jengkok, Kelang, Tanjong Karang, Ipoh dan beberapa lokasi sekitar Lembah Klang. “Untuk tarikh tayangan pula, kami sasarkan agar filem ini dapat ditayangkan di pawagam seluruh negara pada Mei 2025,” ujarnya lagi.

Pemilihan Beto Kusyairy diangkat sebagai 'hero' utama filem ini, memberi rasa teruja yang 'lain macam' bukan sahaja kepada penonton, bahkan juga pada setiap pelakon dan krew yang terlibat. Sebaik sahaja mendengar nama Beto Kusyairy di dalam senarai pemegang watak, aura yang dimiliki oleh seorang Beto tidak mampu untuk diberikan kata 'Tidak'. Ini diakui oleh Nabila Huda dan Yayan Ruhian sendiri ketika ditemui. Belum lagi dibincang tentang bayaran, terus diberi persetujuan apabila mengetahui bakal bekerjasama dengan nama sebesar Beto Kusyairy. "Saya tidak pernah berlakon dalam filem Epik, ini yang pertama kali. Apatah lagi memegang watak isteri kepada Beto, wah saya dengan pantas bersetuju." ujar Nabila Huda sambil ketawa kecil.

Sementara itu, Beto Kusyairy melahirkan rasa terharu mendengar kata-kata Nabila Huda dan Yayan Ruhian. Tentunya sudah mahir menggayakan berbagai rentak seni silat gayong sehingga bakatnya juga disedari pengarah bagi menjayakan filem bergenrekan itu sepertimana watak Wahid yang dilakonkan dalam filem pecah panggung, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan. "Kali ini, saya akan beraksi sebagai Mahaguru Silat. Tugas berat dan besar, apatah lagi melakonkan karektor asal Datuk Meor Abdul Rahman. Tentunya bukan sesuatu yang mudah walaupun sudah ada pengalaman bersilat sebelum ini." katanya pada petang itu. Pelbagai persiapan perlu dilakukan rapi sebaik sahaja diberi kepercayaan menggalas peranan utama. Ini termasuklah inisiatif berjumpa dengan beberapa orang guru yang pernah mengenali Allahyarham Datuk Meor demi untuk mengkaji karektor mahaguru selain memperkemaskan lagi ketangkasan seni silat gayongnya.