Berhibur Bersama Masdo Dan Gerhana SkaCinta Di Panggung Malam Minggu

oleh: zizi hashim

Apa plan anda malam minggu nanti? Selalunya malam minggu adalah masa untuk berehat santai bersama keluarga, keluar makan malam sambil menikmati kerlipan neon dan cahaya lampu gemerlapan sekitar Kuala Lumpur. Kalau yang bujang pula, ambil peluang dating bawa awek ronda kotaraya. Bagi yang belum ada plan, bolehlah mengisi kekosongan malam minggu dengan agenda istimewa yang diusahakan oleh Panggung Malam Entertainment. 

Sebuah acara Showcase 'Panggung Malam Minggu' direncanakan bakal terlaksana di Panggung Odeon bermula pada tanggal 21 September 2024 nanti. Suasana malam minggu akan bertukar istimewa dengan persembahan pertama 'Panggung Malam Minggu' yang membawakan Gerhana SkaCinta dan kugiran trending masakini, Masdo bersama kemunculan MOC dan Jemput Dengar sebagai pembuka acara.

Odeon Kuala Lumpur telah dipilih sebagai lokasi showcase ini, lokasi strategik yang dirasakan paling sesuai untuk semua peringkat usia serta bangsa. Apatah lagi terdapat kepelbagaian kemudahan pengangkutan awam yang tersedia di sekitarnya menjadikan Odeon KL mudah untuk dikunjungi, tiada alasan untuk tidak datang berhibur bersama. 

“Panggung Malam Entertainment telah berkecimpung dalam dunia acara muzik baik tempatan mahupun luar negara sejak 15 tahun lalu lagi. Rasanya sudah tiba masa bagi kami untuk membawakan sesuatu yang istimewa tahun ini buat peminat muzik yang tercari-cari lokasi hiburan strategik. Atas usaha menyokong industri muzik tempatan khususnya, maka terwujudlah Showcase Panggung Malam Minggu dengan pilihan artis utama iaitu Gerhana Ska Cinta dan Masdo sebagai pembuka acara.” ujar Pengarah Panggung Malam Entertainment, Khairul Afizi Aiyub atau lebih mesra dikenali dengan nama Fizi.

Menurut Fizi lagi, Masdo dipilih kerana lagu-lagu hits mereka yang merupakan kombinasi masa lalu dan masakini disalurkan melalui tenaga segar melodi indah ciptaan mereka semakin terkenal di Malaysia dan luar negara. Manakala Gerhana Ska Cinta pula dipilih berdasarkan portfolio yang aktif dan sentiasa memeriahkan industri muzik tempatan.

“Kebangkitan muzik pop 60-an cemerlang di tangan Masdo. Selain itu, nama mereka semakin harum di luar terutamanya di Indonesia. Nampaknya jalan untuk kumpulan ini melangkaui dan terus maju ke hadapan sangat cerah seperti bola disko. Manakala tentunya kita menghargai Kumpulan Gerhana SkaCinta yang muncul dari kebangkitan muzik Ska Malaysia pada akhir 90-an dan pihak penganjur menjemput mereka sempena meraikan ulang tahun ke-25 dalam industri seni. Gerhana SkaCinta juga kini banyak tampil mempersembahkan lagu-lagu popular Allahyarham Tan Sri P Ramlee bersama single "Rasa Sayang" buah tangan terbaru mereka.” tambah Fizi.

“Jom sama-sama rasakan malam minggu yang menarik di tengah kota dengan acara istimewa khas buat para peminat kami berkumpul dan menikmati persembahan yang menghiburkan,” ujar Putu Ceri mewakili Masdo.

Tiket-tiket berharga RM98 (early bird) dan RM118 (harga asal CAT 1) untuk free standing dan RM128 (early bird) dan RM158 (harga asal CAT 2) untuk free seating telah mula dijual sejak 13 Ogos 2024, jam 11 pagi di laman www.myticketempire.com.