'Bangunlah' Seorang Ora Fiza Dengan Nuansa Baru

oleh: zizi hashim

Setelah hampir dua dekad berkecimpung dalam industri hiburan, Ora Fiza yang mendapatkan kemasyhuran sebagai juara pertama program realiti TV3 "Mentor" pada tahun 2005 di bawah bimbingan penyanyi legendaris Datuk Zainalabidin, kini kembali hadir dengan sebuah mahakarya. 'Bangunlah' disusun dan ditulis oleh komposer John Jeeves dan Shazriq Azeman, merupakan sebuah lagu yang sarat dengan mesej kebangkitan dan bertahan hidup. Cerminan dari perjalanan pertumbuhan dan ketekunan kembara hidup Ora Fiza yang penuh cabaran, namun ia tetap bertahan teguh dalam mengejar impiannya.

Sememangnya nama Ora Fiza sudah tidak asing lagi di telinga industri muzik Malaysia. Sebelumnya dikenal sebagai Pija Mentor, kini dia telah membuat comeback dengan single pertama bertajuk 'Bangunlah'. Majlis pelancaran diadakan di Eclipse Cafe & Meal, terletak di Mitsui Shopping Park Lalaport, Kuala Lumpur pada 10 September 2024. Secara rasmi turut diumumkan kembalinya Ora Fiza dengan debut terbaru. Acara tersebut dihadiri oleh media arus utama, media elektronik, blogger, dan influencer, dimeriahkan dengan penampilan istimewa Ora Fiza yang terkenal dengan vokal sakti dan bakat luar biasa. Pelancaran ini juga memberi introduksi muzik video ‘Bangunlah’ untuk pertama kalinya kepada semua hadirin.

‘Bangunlah’ adalah air tangan kolaborasi pertama Ora Fiza dengan label rakaman Super Red Records, yang menandakan babak baru dalam perjalanan artistiknya. Menurut Ora Fiza, kesempatan tawaran merakamkan lagu ini diperolehi saat beliau menemani adiknya, One Juicy, yang juga seorang artis di bawah naungan Super Red Records, ketika  menandatangani kontrak dengan label tersebut. Tidak berlengah dan menunggu lama, label tersebut mengiktiraf bakat unik Ora Fiza dan kemudian menawarkan kontrak. Kedua adik-beradik itu kini menandatangani kontrak dengan Super Red Records, membawa bakat dan dinamik segar kepada label.

Mengekspresikan kegembiraannya di atas pelancaran single terbarunya, Ora Fiza berkata, “Saya sangat gembira akhirnya dapat menghadiahkan 'Bangunlah' kepada para peminat saya dan semua orang penting yang hadir sangat teguh dalam menyokong perjalanan karier seni saya. Lagu ini mempunyai tempat istimewa dalam hati saya kerana mencerminkan perjalanan hidup saya yang penuh suka duka dan jatuh bangun. Saya harap ianya memberi inspirasi semua pendengar untuk terus maju dan mencapai potensi sebenar mereka."

Pengasas bersama label Super Red Records, Richard Chua mengulas, “Bakat Ora Fiza dan dedikasinya sungguh luar biasa. Kami bangga dan teruja melihat bagaimana beliau terus mekar berkembang sebagai seorang artis. 'Bangunlah’ adalah bukti keteguhan kreativiti seninya, dan kami yakin akan terwujud sentuhan hati secara mendalam dengan pendengar.”

‘Bangunlah’ sudah tersedia untuk penstriman dan muat turun di semua platform muzik digital utama, termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music mulai 10 September 2024.