Alunan Keindahan 'Raya Penuh Erti', Karya Bermakna Sigma Replacement

oleh: zizi hashim

Dalam pesona Syawal yang kian menjelma dan setelah 3 dekad mewarnai panorama muzik tanah air, Sigma Replacement akhirnya mempersembahkan karya Syawal perdana mereka, "Raya Penuh Erti". Menghadiahkan pendengar dengan sebuah lagu raya yang menggamit nostalgia dan menyentuh jiwa, melodi yang dianyam dengan halus ini mengundang pendengar ke dalam dimensi nostalgia yang meresap ke sudut hati, mengungkap kisah perjalanan muzik 30 tahun yang merakamkan ikatan persaudaraan yang teguh dalam gelanggang seni muzik tempatan.

Bayangkan atmosfera studio yang dibanjiri gelak tawa dan serpihan kenangan silam. Direkayasakan di bengkel bunyi Sigma Sound Studio, sebuah momen tercipta apabila karya yang menjadi titik pertemuan bagi jiwa-jiwa kreatif yang telah lama berjauhan berkumpul semula untuk merakam lagu raya pertama mereka sekaligus menjadi transmisi warisan kepada generasi pascanya. Yus Sigma, gitaris utama yang juga merupakan komposer dan penulis lirik lagu ini, telah berjaya menghasilkan sebuah karya yang merangkumi esensi sebenar Aidilfitri iaitu kekeluargaan, keampunan, dan kebersamaan. Komposisi ini merakamkan panorama Aidilfitri dengan nuansa melodik yang transenden dan naratif lirik yang sarat dengan falsafah kehidupan.

"Yang seronoknya semua rakan-rakan lama dari zaman bujang sampai berkeluarga dapat berkampung bersama 2 hari 2 malam dalam penghasilan lagu ini," ujar Amy Sigma selaku ketua kumpulan dan gitaris menggambarkan suasana rakaman yang sarat makna. "Semua bergabung sebagai kenangan manis, yang lama yang baru, bukan senang hendak berkumpul, ada yang berbelas tahun tak jumpa. Sanggup turun dari Kuala Lumpur dan dari Seremban datang berkumpul di Masjid Tanah." sambungnya lagi.

Salah satu aspek paling istimewa dalam penghasilan "Raya Penuh Erti" adalah pertemuan dua generasi muzik. Baihaqi, anak kepada Amy Sigma, turut terlibat dalam sesi rakaman, menjadikan projek ini bukan sekadar perjalanan nostalgia tetapi juga jambatan antara generasi. "Paling bahagia bila dapat lihat anakanda Baihaqi boleh bekerjasama dengan rakan-rakan ayahnya dalam sesi rakaman yang dilakukan," kongsi Amy lagi dengan penuh kebanggaan. "Ayah mana tak gembira dan bangga tengok anak saya sendiri boleh deliver seperti apa yang dibayangkan. Dedikasi dia bersengkang mata dari malam ke subuh amat saya hargai dan menyentuh hati." 

Dalam era muzik digital yang kini didominasi oleh rentak kontemporari, "Raya Penuh Erti" hadir dengan pendekatan klasik yang semakin jarang ditemui. Dibawakan dengan alunan gitar solo yang meresap ke jiwa pada bahagian intro, lagu ini membawa pendengar menelusuri perjalanan Aidilfitri yang sarat dengan tradisi dan kemeriahan. Lirik yang ditulis oleh Yus Sigma menggambarkan keindahan dan kemeriahan suasana raya yang sinonim – pakaian berwarna-warni, keriangan anak-anak, juadah yang tersedia untuk sanak saudara, dan yang paling penting, momen bermaaf-maafan yang menjadi intipati sebenar perayaan ini.

Jika direnung dengan mendalam, lirik "Raya Penuh Erti" membawa mesej yang amat relevan dalam konteks masyarakat hari ini. Bait-bait seperti "Marilah kita bermaafan, Lupakan segala sengketa" dan "Silaturahim sesama kita, Eratkan hidup aman sentosa" mengingatkan pendengar tentang nilai-nilai murni yang seharusnya dipupuk dan dipelihara, bukan sahaja semasa Aidilfitri, tetapi sebagai fabrik kehidupan seharian. Bahagian korus pula menyampaikan keceriaan dan kemurnian ucapan selamat yang tidak dipengaruhi oleh kepalsuan atau agenda tersembunyi – sesuatu yang semakin sukar ditemui dalam komunikasi moden yang sering kali diisi dengan retorik dan kepentingan tersendiri.

"Tahun ni tak kiralah bagaimanapun, mesti nak buat lagu raya sebab tahun ni lah kita dapat beraya bersama, tahun depan belum tahu lagi. Saya mahu simpan kenangan ini untuk arkib memori dan legasi yang akan datang." cerita Amy lagi. Pihak Legasi Sigma Sdn Bhd, yang memberikan kepercayaan kepada Sigma Replacement untuk mencipta single raya ini, melahirkan kepuasan dengan hasil kerja kumpulan ini dan terbuka dengan prospek kolaborasi masa hadapan. 

Sebagai sebuah karya kolektif, "Raya Penuh Erti" memperlihatkan bakat dan kepakaran setiap ahli Sigma Replacement. Dengan Pejal Sigma menerajui vokal utama, disokong oleh vokal latar dari keseluruhan kumpulan, lagu ini diperkayakan dengan lapisan muzik yang harmoni dan menyentuh. Yus Sigma pada gitar utama, Bye Sigma pada gitar kedua, Jai Sigma pada bass, dan Wan Luncai sebagai sessionist drum (menggantikan posisi Akim kerana ada terlibat kecemasan keluarga) bersama-sama dengan Fadzli Fauzy pada perkusi, telah mewujudkan simfoni yang indah dan merdu.

Dari segi penerbitan pula, lagu ini berada di bawah bendera Legasi Sigma Sdn Bhd dengan Amy Sigma selaku penerbit eksekutif. Proses rakaman, adunan, dan mastering dikendalikan oleh Fadzli Fauzy, memastikan kualiti audio yang memenuhi standard industri semasa. Sigma Replacement telah membuktikan bahawa nilai-nilai asas seperti persahabatan, keikhlasan, dan dedikasi kepada seni masih mampu menghasilkan karya yang menyentuh jiwa. "Raya Penuh Erti" dengan itu, bukan sahaja menjadi lagu yang sesuai didengar semasa musim perayaan, tetapi juga pengingat tentang erti sebenar Aidilfitri dan kekuatan hubungan manusia yang tulus.

Proses pembuatan muzik video untuk "Raya Penuh Erti" juga tidak kurang menariknya. Setelah sesi rakaman audio dijalankan di Sigma Sound Studio di Masjid Tanah, kumpulan ini kemudiannya berkumpul di Seremban untuk merakam muzik video. Lokasi yang dipilih – Lorong Seni Seremban – memberikan latar visual yang menarik dan bersejarah untuk karya mereka. "Rakaman dilakukan secara random ketika sesi rakaman di Sigma Sound Studio. Sebelum kami decide berkumpul di Seremban untuk rakaman video muzik seterusnya," jelas Amy memberikan gambaran proses kreatif yang spontan namun penuh dedikasi.

"Raya Penuh Erti" bukanlah sekadar lagu raya yang lain dalam katalog muzik Melayu, tetapi merupakan kesaksian ikatan persaudaraan, dedikasi, cinta dan pengabdian terhadap seni muzik yang telah bertahan melangkaui 3 peredaran zaman. Ia adalah testimoni kepada kekuatan kolaborasi kreatif yang mampu menjambatani generasi dan menghasilkan karya yang kekal relevan.