oleh: zizi hashim
Adalah merupakan satu kejutan besar apabila secara tiba-tiba Aizat Amdan membuat pengumuman akan bertanding dalam sukan Muay Thai setelah lebih setahun menjalani latihan intensif. Sebagai seorang figura seni yang tidak asing lagi, transformasi dari bidang nyanyian ke bidang sukan Muay Thai adalah perkara yang begitu kontra. Apatah lagi apabila Aizat memberitahu sudah pernah bertarung dalam perlawanan pertama baru-baru ini.
“Sebenarnya, minat dan keghairahan saya untuk menceburi sukan Muay Thai mula membara pada tahun 2015 lagi. Saya terpesona menyaksikan para peninju legendaris Muay Thai beraksi di gelanggang. Saya mulai berlatih, dan suatu hari pelatih saya dengan percaya diri memberitahu saya bahawa saya sudah siap sedia untuk bertarung. Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk bertarung, sehinggalah perlawanan debut saya yang tidak terduga pada tanggal 12 Oktober lalu.” cerita Aizat berkongsi tentang pertarungan Muay Thai amatur pertamanya.
Seiring dengan itu, mencetuskan ilham kepada Aizat untuk mencipta melodi lagu terbaru yang diberi judul 'Tegap Berdiri' bersama Mel Ramlan dan Izzy Musa, di bawah label Kasi Gegar Entertainment (KGE). Ketika diajukan soalan tentang mengapa Aizat memilih untuk hiatus agak lama, Aizat selesa berkongsi wawasan tentang proses kreativitinya, “Saya lebih suka chill dalam merencanakan dengan matang dan teliti langkah selanjutnya dalam perjalanan karier saya. Tidak tergesa-gesa atau gelabah untuk membanjiri pasaran industri dengan lagu-lagu terbaru. Ini sangat signifikan bagi saya, oleh itu membatasi diri pada produksi hanya setakat 5 lagu dalam setahun."
‘Tegap Berdiri’ mempamer cerminan refleksi kecintaan berkobar-kobar Aizat terhadap sukan Muay Thai. Dia menceritakan, “Uniknya, inspirasi lagu ini lahir secara tidak sengaja ketika saya mengendalikan sessi rakaman untuk 'Dari Studio Podcast' bersama Mel dan abang saya, Amar. Kami berdiskusi mengenai peristiwa terkini dan era emas kegemilangan bola sepak Malaysia sekitar tahun 1998, dan terdetik di hati saya, sekalipun kalah ‘di akhir nanti kau masih tegap berdiri’ yang menjadi kunci kepada lirik utama. Lagu ini membawa mesej yang kuat tentang daya tahan. “Hidup adalah perjalanan yang penuh dengan menang atau kalah, dan pasang atau surut, itu adalah lumrah. Apa yang penting adalah untuk terus bergerak ke hadapan dengan minda yang positif."
Mengambil masa hampir setahun untuk disempurnakan, melalui proses diskusi dan minat terbaru Aizat terhadap Muay Thai baru-baru ini memainkan peranan penting dalam membentuk lagu, menjadikannya sebagai penghormatan yang sesuai kepada perjalanannya. “Kali ini, saya meneroka genre pop yang diselitkan dengan elemen pengaruh muzik ‘City Pop,’ yang popular pada tahun era 80-an di Jepun dan juga Malaysia. Saya telah cipta versi saya sendiri, improvisasi yang saya gelar ‘KL-City Pop." ujar Aizat penuh teruja.
Turut mengiringi penghasilan single 'Tegap Berdiri' ialah sebuah video muzik yang dihasilkan secara kreatif dengan konsep cereka pendek. Aizat berkata, “Video muzik itu mengisahkan perjalanan saya ke dalam Muay Thai, daripada sessi latihan yang 'biasa biasa' sehinggalah 'fight' pertama saya. Nampak macam senang, realitinya dunia olahraga harus selalu kerja keras dan penuh keazaman, menguji kedua-dua had fizikal dan mental."
Samada dikenali sebagai Aizat AF, Ai.Z, atau Aizat Amdan, beliau menekankan bahawa setiap persona adalah ekspresi keseniannya. "Saya berusaha untuk menjadi diri saya yang sebenar, versi saya yang paling tulen. Transformasi adalah penting kerana ia menandakan pertumbuhan. Saya suka mendedahkan pelbagai aspek Aizat Amdan kerana semua yang saya lakukan adalah atas nama seni. Saya hanya mahu sesiapa yang mendengar lagu ini menikmatinya. Ia sesuai untuk rutin senaman anda, sama ada di rumah atau di gim, atau setiap kali anda berasa sedih. Ingatlah untuk mencabar diri anda setiap hari dengan pengalaman baharu, walaupun anda tersandung, bangkit semula dan 'tegap berdiri'."
‘Tegap Berdiri’ kini tersedia untuk dimuat turun di iTunes dan boleh ditetapkan sebagai nada dering melalui semua pembekal telekomunikasi tempatan. Anda juga boleh menikmatinya di pelbagai platform penstriman seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music.