6 Sebab Wajib Hadir Festival Drums And Percussion Malaysia 2024

oleh: zizi hashim

Festival Drums and Percussion Malaysia 2024 akan menjadi wadah di mana setiap derap, setiap hentakan, setiap degupan menjadi bahasa tersendiri - sebuah simfoni yang bernyawa dari tangan-tangan maestro. Dari showcase Drums & Percussion hingga sessi interaktif yang menghidupkan semangat muzik, festival ini bakal menjadi saksi kejayaan seni perkusi negara, mengangkat bunyi tempatan ke pentas yang lebih gemilang. Gala Konsert All-Star Show akan menjadi klimaks epik, di mana setiap pukulan dram bagaikan cerita, setiap irama perkusi adalah puisi yang menggema. Antara artis dan pemuzik yang terlibat termasuk Arthur Kam, Batteryheadz Percussion, Dato Zainal Abidin, Kamrul Hussin, Lola, XPDC, Pa'ang Zaman, Rie Tsuji, Sān Percussion, Steve Thornton,  Gong, Ujang Exists dan jemputan khas lainnya. 

Sebab Pertama

Festival ini adalah ruang di mana setiap pencinta muzik perlu melakarkan jejak kerana acara ini menghimpunkan semua pemuzik terkenal negara, demikian menurut gitaris terkenal Aznan Alias. “Saya yakin bahawa highlight untuk festival ini merupakan workshop dan klinik yang diadakan di sebelah siang. Ini merupakan peluang terbaik untuk penonton, peminat muzik dan pelajar untuk mendapatkan infomasi terbaik, bertanya dan berdepan secara terus, sebuah acara ‘up close & personal and intimate.’ Malah festival ini memberikan bukan 1 tetapi 8 klinik untuk dihadiri, audiens boleh menimba ilmu dan pengalaman yang banyak di sini.“ ujarnya lagi, juga merupakan Pengarah Muzik buat penyanyi terkenal Dato’ M. Nasir.

Sebab Kedua

Acara ini akan melebarkan networking kepada mereka yang mahu menjadikan muzik sebagai karier, demikian disifatkan oleh Fly Halizor. “Para pengunjung terutamanya peminat muzik tanahair akan dapat belajar ilmu muzik dengan pelbagai jenis genre. Malah dapat mempelajari  ilmu baru sambil berhibur dengan konsert yang padat dengan pemuzik dan penyanyi professional Malaysia.” tuturnya yang merupakan pemain bass dan juga pensyarah muzik. 

Sebab Ketiga

Pa’ang Zaman yang merupakan pemain perkusi terkenal Malaysia pula menyatakan dalam nada berseloka 2 sebab utama kenapa festival ini perlu dihadiri. Katanya, ”Sebab ada Ujang Exists dan ada Pa’ang Zaman.“ Simple tapi padu.

Sebab Keempat

Rie Tsuji pula, seorang pemain kibod dan susunatur muzik menyatakan rasa terharunya dapat menjadi sebahagian dari festival yang julung-julung kali diadakan ini. “Saya dan beberapa pemuzik akan membawakan lagu "Sakura", sebuah lagu tradisional Jepun. Saya juga menyusun semula lagu "Imagine" oleh  John Lennon. Bunyinya akan  berbeza. Kita juga ada tetamu Istimewa.” ujar Rie. 

Sebab Kelima

‘Most Wanted Musician in Malaysia’ Ujang Exists menggalakkan semua peminat muzik tanahair untuk melihat persembahan yang bakal diadakan oleh para pemuzik di malam Gala Konsert "All-Star Show" itu nanti. “Hadirlah ke ‘Showcase & Drum Clinics’ yang akan diadakan di sebelah siang untuk menimba pelbagai ilmu dan berkongsi pengalaman secara ‘live’ dengan pemuzik Malaysia. Pada sebelah malamnya pula saya dan beberapa pemuzik lain akan bergabung untuk memberikan persembahan menarik. Saksikan sesuatu yang berlainan dari Ujang & Friends untuk persembahan malam gala itu nanti. Pasti lain dari yang lain!” ujar Ujang Exists. 

Sebab Keenam

“Objektif utama Festival of Drum and Percussion Malaysia dianjurkan adalah untuk mempromosikan seni drum dan perkusi, serta menyumbang kepada industri kreatif Malaysia selain meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian alat perkusi dan teknik melalui ceramah, bengkel, dan persembahan. Oleh yang demikian, kami selaku penganjur juga menganjurkan Gala Konsert "All-Star Show" yang merupakan kolaborasi dan gabungan Persembahan Moden Drum, Latin, World & Etnik Percussion, dan Malaysia tradisional percussion, diiringi oleh Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) bersama artis dan pemuzik jemputan untuk mempamerkan kepada semua bahawa bakat pelaku seni tempatan kita mempunyai kredibiliti yang perlu terus disokong dan dibanggakan.” ujar dari Jin dari JS Music selaku penganjur festival.

Festival ini dilihat bukan sekadar acara, ia adalah perjalanan transformasi dalam dimensi bunyi, di mana setiap hentakan, setiap bisikan akan meresap ke dalam urat saraf seniman muda. Inilah momentum di mana pengetahuan dan semangat muzik akan berkias, di mana setiap peserta adalah saksi kepada kelahiran inspirasi yang tak terbatas, merentasi sempadan muzikal, mempertemukan segenap maestro bunyi dari penjuru tanahair dan luar negara, di mana setiap artis adalah penutur bahasa irama yang luarbiasa.

Akan berlangsung pada 7 Disember 2024 di Dewan Seri Budiman UiTM Shah Alam, Selangor ini akan bermula dari 10 pagi sehingga 11 malam. Gala Konsert All-Star Show akan berlangsung pukul 8.45 sehingga 11 malam. Dua kategori tiket iaitu Festival Pass dan Tiket Konsert dijual kepada pengunjung. 

“Pemegang 'Festival Pass' akan dapat menikmati keseluruhan Festival, termasuk makan malam yang disediakan. Tiket konsert pula sesuai untuk sesiapa yang hanya berminat untuk menyaksikan Gala Konsert sahaja.” ujar Jin lagi. 

Jom jangan lepaskan peluang anda untuk menyaksikan julung kalinya sebuah perjalanan artistik, di mana pengunjung tidak sekadar mendengar, tetapi merasai setiap degupan, setiap hembusan muzik dan sebuah dimensi di mana muzik menjadi nyata dan nyata menjadi muzik.