30 Artis Karyawan Terima Sumbangan Prihatin Dari Yayasan Pekema

oleh: zizi hashim

Bukan sekadar wang ringgit, malahan lebih daripada itu, Majlis Sumbangsih PEKEMA Prihatin yang diadakan baru-baru ini pada 23 November 2024 bertempat di Hotel Pullman KLCC, adalah simbol kasih sayang, apresiasi dan tribute penghormatan kepada segala pengorbanan yang telah dicurahkan oleh 30 artis veteran dalam menghibur dan memajukan industri seni tanahair.  Acara penyerahan sumbangan kewangan bernilai RM5,000 setiap seorang, anjuran Yayasan PEKEMA (Persatuan Pengimport & Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia, memperlihatkan kemurahan dan kemuliaan hati PEKEMA dalam usaha membantu meringankan beban dan cabaran yang terpaksa dihadapi berikutan faktor usia dan kesihatan yang kian merosot membawa kepada kehilangan mata pencarian.

Nawaitu murni Yayasan PEKEMA menghulur sumbangan keseluruhan berjumlah RM150,000 itu adalah untuk meraikan jasa dan kontribusi seniman tempatan, khususnya para veteran dan individu yang memerlukan sokongan, telah menerbitkan rasa terharu sehingga ada yang menitiskan airmata di atas keprihatinan yang diberi dan ditakrif sebagai satu penghargaan cukup bermakna bagi para seniman yang telah banyak berjasa dalam dunia seni tanahair serta telah mengabdikan seluruh hidup untuk menghibur melalui karya seni yang memberikan impak besar bagi industri hiburan Malaysia.

“Jutaan terima kasih kami rakamkan buat Yayasan PEKEMA atas sumbangan kewangan yang tak ternilai ini khusus buat artis veteran dan uzur tanahair. Inisiatif ini membuktikan bahawa sektor korporat seperti PEKEMA amat memahami kepentingan menjaga kebajikan penggiat seni tempatan. Ia adalah satu langkah terpuji yang wajar dicontohi. Kami, warga seni, sangat menghargai segala usaha yang telah dilakukan dan amat berterima kasih atas keprihatinan yang diberikan.” tutur Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Dato’ Freddie Fernandez dalam ucapannya pada petang yang berbahagia itu.

Majlis Sumbangsih PEKEMA Prihatin itu turut dihadiri oleh Pengerusi Yayasan PEKEMA iaitu Datuk Mohamed Nazari Noordin yang turut menegaskan komitmen pihaknya dalam menyokong komuniti seni. “Artis-artis ini telah banyak menyumbang kepada industri hiburan dan budaya kita. Hari ini, kami ingin menunjukkan penghargaan atas jasa mereka dengan membantu mereka yang memerlukan.” ujarnya. Mendengarkan kata-kata itu, Dato' Freddie dengan teruja menambah, "Sebagai organisasi yang sentiasa mementingkan kebajikan dan kesejahteraan penggiat seni, Persatuan Karyawan Malaysia amat menghargai sumbangan besar yang diberikan."

Antara nama-nama penerima sumbangan yang tersenarai dalam 30 orang artis tersebut adalah Zaiton Sameon, Shuib Freedom, Mariam Ahmad, Norlia Ghani, Ali XPDC, Sheqal, Isma Alif, Shima, Sazali P. Ramlee, Shasha Rohaizad, Nas Ahmad, Alfred Ho, Roy, Dato' Jefrudin, Datuk Andre Goh, Zul Mahat, Sathiya, Yus Barat, M. Jamil, Sofia Ibrahim dan Mak Wan. Juga tidak ketinggalan turut berada di dalam senarai penerima yang merangkumi pelbagai golongan penggiat seni termasuk pelakon, penyanyi, pelawak, pemuzik dan DJ Radio ialah Dr. Sam Rasputin, Mak Jah, Kieran, Ebby Yus, Harun Hashim, Ruslan Salleh, Murali Abdullah, Zaleha Hamid dan Datuk Sarimah Ibrahim.

Majlis yang berlangsung dari jam 3 petang hingga 6 petang itu dimeriahkan dengan jamuan minum petang dan persembahan artis-artis sambil diiringi oleh alunan muzik dari buskers yang terpilih. Shima tampil elegan ke atas pentas dalam busana hijau emerald lantas melantunkan lagu hits yang sangat dirindui "Luka Di Lukai" dalam lontaran vokal yang masih gemersik dan lemak merdu. Begitu juga Zaiton Sameon cukup menghiburkan dengan lagu hits "Menaruh Harapan" diikuti dengan Roy yang membawakan 2 lagu iaitu "Stand By Me" dan "Wonderful World" disulami persembahan santai Ezlynn dan Norshila Amin sebelum majlis berakhir dengan sesi bergambar dan ramah mesra antara tetamu dan para artis.

"Artis-artis veteran dan para penggiat ini adalah warisan seni yang telah menghiburkan kita semua melalui karya-karya yang tidak ternilai harganya. Kini, setelah mereka memberikan segalanya, sudah tiba masanya bagi kita untuk memberikan sedikit bantuan kepada mereka yang memerlukan. Yayasan PEKEMA telah menunjukkan keprihatinan yang tinggi dalam menjaga kebajikan golongan ini, dan kami sangat berterima kasih atas kemurahan hati mereka," kata Dato’ Freddie lagi. 

"Kami berharap dengan sumbangan ini, para seniman yang telah berkhidmat untuk negara dapat merasai penghargaan yang sewajarnya. Sumbangan ini bukan hanya meringankan beban kewangan, tetapi juga memberi semangat untuk mereka terus dihargai sepanjang hayat mereka." Diharapkan semoga sumbangan kewangan yang diterima dari Yayasan PEKEMA ini dapat memberi kelegaan kepada 30 artis yang disantuni dan memerlukan.

Foto Kredit: Pa Pa Din / Mercikkk.Official