oleh: zizi hashim
Gabungan sajian desa 2 negara dibawakan khas istimewa oleh restoran dan syarikat katering tempatan, Santapan Ummis Hijau Kasturi sempena menjelangnya bulan suci Ramadhan tidak lama lagi. Berlokasi di Sentul Point, sangat berbaloi meredah jem apabila dihidangkan juadah sungguh lazat, benar-benar bak air tangan ibu sendiri. Sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan air tangan ibu sambil mengimbas nostalgia sungkei di desa tercinta.
Setakat ini, buffet Ramadhan di sekitar Kuala Lumpur yang paling murah dengan menawarkan harga kasih sayang RM59.90 bersih untuk dewasa. Manakala separuh harga ditawarkan bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah serta warga emas berusia 60 tahun ke atas. Rebutlah promosi ‘early bird’ yang ditawarkan sehingga 12 Mac 2024 dengan harga cuma RM50 sahaja. Masih mengekalkan tema ‘Nostalgia Sungkei Di Desa: Air Tangan Ibu’ yang sudah menjadi konsep dan identiti signatur mereka, seleksi lebih dari 45 jenis makanan gabungan hidangan Malaysia dan Brunei bakal tersedia sepanjang Ramadhan bermula 13 Mac sehingga 8 April 2024.
Memberi nuansa dan vibes suasana berbuka di desa, mengundang keseronokan dan keterujaan dalam menikmati hidangan juadah enak masakan dan menu yang berbeza mengikut giliran negeri setiap hari, dibawah penyediaan pemilik yang juga Chef di restoran ini, Chef Haji Fauzi dan Chef Hajah Norziah, pasangan suami isteri yang berdedikasi.
“Sebenarnya, ibu masak bukanlah untuk hidangan hotel 5 bintang. Ibu ikhlas masak dengan air tangan sendiri, penuh kasih sayang untuk anak-anak supaya bila makan akan sentiasa terasa rindu pada ibu.” ujar Chef Hajah Norziah yang ditemui pada petang 26 Februari yang lalu. Buffet Ramadhan ini bertujuan murni untuk mengeratkan lagi ukhwah bersama keluarga dan rakan-rakan melalui iftar berjemaah. “Menu yang ibu masak semuanya berdasarkan permintaan pelanggan setia kami.”
Tidak hairanlah, berbekalkan pengalaman terdahulu berkhidmat sebagai Chef peribadi Istana Nurul Iman, sambutan yang cukup menggalakkan di kalangan loyal customer mereka diterima selama 3 tahun bertapak di Sentul Village Kuala Lumpur. Pelbagai sajian berasal dari Bandar Seri Begawan turut disajikan, berdasarkan khidmat selama lebih dari 8 tahun bersama kerabat diraja Brunei.
Ditambah pula dengan pengalaman lebih dari 30 tahun berkecimpung dalam bidang kulinari secara professional. “Sehingga ke hari ini kami masih berbakti apabila ada dikalangan kerabat yang mencemar duli ke Malaysia, merindui air tangan kami. Sememangnya sajian yang menggamit memori.” jelas pasangan suami isteri ini lagi. “Beraneka rasa dari Terengganu, Kelantan, Johor – semua ada. Meskipun lebih tertumpu kepada masakan kampong tetapi ada juga masakan western seperti Grill Lamb Chop dan Chicken Chop.”
Antara menu utama dan istimewa yang menjadi trademark restoran ini ialah aneka masak lemak terdiri daripada Sup Berempah Daging Tetel dengan Roti Benggali, Ayam Masak Sambal Bawang Merah Brunei, Paru Masak Sambal Hitam Brunei, Gulai Lemak Telur Itik dengan Belimbing, Siput Sedut Masak Lemak Cili Api, Sambal Tumis Kampung Sotong Rendam, Telur Dadar Padang, Ikan Talapia Balado, Ikan Kembung Bakar, Cencaru Sumbat Bakar, Mee Kari Nyonya dan banyak lagi. Bagi memenuhi permintaan terhadap kuih yang sedang tular, Punten juga akan diselitkan dalam senarai buffet, lebih menarik dilengkapi bersama Sambal Hijau Ikan Bilis yang menjadi kegemaran pelanggan tetap.
“Keutamaan kami adalah para pelanggan yang disayangi, sentiasa memberi sokongan memberansangkan. Alhamdulillah, setiap hari sentiasa penuh dan susulan itu kami memilih menu-menu desa atas permintaan yang tinggi.” Pasangan ini juga mempunyai latarbelakang hebat, pernah berkhidmat di Royal Brunei Airlines, Holiday Inn Toronto, Kanada, Hilton Petaling Jaya serta pernah menjadi tenaga pengajar di Management and Science University (MSU) Shah Alam.
Daya tarikan lain adalah konsep gerai yang diperkenalkan kali ini dengan hidangan panas iaitu variasi goreng-gorengan dan locking sate ikan asli Kelantan. “Datang makan di sini buatlah macam rumah sendiri, pakailah baju apa pun asalkan selesa, baju kelawar pun boleh.” tambah Chef Hajah Norziah yang begitu ketara sifat keibuannya, cuba mewujudkan suasana intim kekeluargaan sesama pelanggan. Dakapan rindu masakan ibu pastinya mencuri hati anda sejak suapan pertama.
Bagi penggemar pelbagai jenis sambal, boleh datang mencuba rasa sambal beragam yang tersedia seperti Sambal Hijau Ikan Bilis dan Sambal Daging Berharga RM19.90 bagi 500gm, semua sambal-sambal ini sedia untuk dimakan dan boleh disajikan dengan aneka hidangan. Untuk info, restoran dibuka setiap hari sepanjang bulan Ramadhan dari jam 6:30 petang hingga 9 malam.
Sering menjadi pilihan catering bagi beberapa syarikat ternama seperti ASTRO, BERNAMA, TV3 dan banyak lagi, pastikan anda tidak ketinggalan untuk merasai kelazatan sajian di Santapan Ummis Hijau Kasturi dan nilaikan sendiri. Tempahan Ramadhan boleh dibuat melalui talian 03-40324383 (pejabat), 017-6534133 (operasi) atau 011-23058511 (produksi). Kanak-kanak berusia 3 tahun ke bawah adalah percuma.